ARKIB : 10/12/2011
SEMUA orang tahu walau gendang perang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) telah dibunyikan, salah satu faktor yang bakal menentukan tarikh pilihan raya ialah keadaan ekonomi semasa.
Ekonomi memainkan peranan penting kerana kalau pilihan raya diadakan semasa suasana ekonomi negara tidak begitu baik, tentulah parti yang memerintah akan menerima padahnya kerana pihak pembangkang akan pulon menggunakan ekonomi sebagai sasaran ceramah dan kutukan.
Persoalannya dengan semua orang menganggap PRU 13 semakin dekat, apakah semua orang telah melihat keadaan ekonomi semasa?
Kita tidak boleh bercakap tentang Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah kerana mereka masih lagi bergelut menyelesaikan masalah ekonomi masing-masing. Bank-bank di Eropah memerlukan 114 bilion euro untuk memperkukuhkan bank-bank mereka.
Timbul kebimbangan yang syarikat penarafan Standard & Poors akan menaraf semula kesemua 27 negara Kesatuan Eropah dan mata wang Euro diambang kehancuran.
Kalau itu berlaku, kita tidak boleh lari daripada serpihan yang bakal bertaburan nanti. Minggu ini sekali lagi Bank Negara Eropah (ECB) dipandang sebagai bakal melakukan sesuatu yang bakal menyelamatkan mata wang Euro.
Pendirian berbeza Jerman dan Perancis tentang bagaimana krisis euro ini wajar ditangani juga membuatkan penyelesaian bertambah susah.
China juga mengalami penurunan pertumbuhan yang rendah sejak dua tahun lepas. Kebimbangan inflasi dan pertumbuhan menjadi kebimbangan utama kerajaan China dan belum ada ketentuan yang kecairan akan dilepaskan ke dalam sistem kewangan kerana inflasi.
Inflasi boleh menimbulkan ketegangan sosial sekiranya tidak dikawal. Ini bermakna import daripada negara tersebut juga akan berkurangan seperti jua negara-negara Eropah dan Amerika.
Keadaan di India, suatu lagi kuasa besar ekonomi yang dunia meletakkan harapan, agak terbantut dalam usaha reformasi mereka dengan penolakan membenarkan peruncit besar seperti Wal Mart untuk memulakan operasi di negara tersebut. Pihak pembangkang bimbang ini akan membunuh peruncit kecil di India.
Tinggallah kita dengan perkiraan kita sendiri. Semua orang tahu keadaan sesuatu masa itu adalah ramalan. Ia bergantung atas apakah faktor yang digunakan untuk membuat ramalan. Misalnya defisit negara yang pada masa ini di paras 5.4 peratus (%) sama dengan Vietnam, Kemboja dan Laos. Jauh berbeza dengan negara ASEAN yang lain seperti Thailand dan Singapura, masing-masing diparas 2% dan 1%.
Ramai penganalisis luar memberi tumpuan kepada subsidi yang tinggi yang diberikan. Di sini timbul masalah pemerintah. Dipotong subsidi sebelum pilihan raya memang naas (bala). Tak dipotong orang akan melihat kita tidak tahu mengurus kewangan awam kita.
Pelabur asing akan mengambil kira defisit negara ini tidak boleh lari. Kemudian lonjakan kita ke arah kegiatan ekonomi nilai tinggi tidak berjalan dengan kadar yang dikehendaki dan ini juga menggugat kemasukan pelabur asing.
Kekurangan tenaga mahir yang mampu mengendalikan kegiatan ekonomi nilai tinggi seperti peralatan perkilangan dan perkhidmatan di negara kita masih lagi di putaran perlahan.
Selain daripada subsidi yang perlu dipotong, harga minyak dan komoditi juga menjadi perkiraan orang ekonomi. Minyak sekarang tidak berketentuan berada di lingkaran AS$86 setong dan ini akan mengakibatkan pendapatan Petronas dan seterusnya bahagian kerajaan.
Dasar Petronas yang berubah juga bakal sedikit sebanyak mengugat pendapatan keseluruhannya. Mungkin harga kelapa sawit memberikan sedikit sebanyak kestabilan kepada kita asalkan tidak ada pengurangan import daripada pengimport utama India dan China.
Isu cukai barangan dan perkhidmaan (GST) nampaknya senyap saja kerana semasa pilihan raya kalau diperkenalkan mungkin menimbulkan reaksi yang negatif di kalangan masyarakat.
Banyak pertaruhan diletakkan di atas program transformasi ekonomi yang diumumkan kemajuannya dari semasa ke semasa.
Walau apa pun usaha-usaha ini mengambil masa dan mungkin tidak sempat untuk gendang pilihan raya yang sudah dipalu.
Ramai yang meramal pertumbuhan kita tidak akan sampai 5% tahun ini dengan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu sedangkan kita perlu sekurang-kurangnya 6% setahun sehingga 2020 untuk mencapai hasrat kita.
Sama-samalah kita tengok. Dalam masa terdekat ini diadakan pilihan raya memang cari naas.
DATO SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur
(kini Bursa Malaysia)
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1210&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm#ixzz2WcygF9ii
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment