ARKIB : 01/10/2013
KUALA LUMPUR 30 Sept. - Kerajaan masih belum pasti untuk mengambil langkah mengurangkan subsidi gula setelah merancang pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak dua kali tahun depan.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pihaknya pada waktu ini masih memikirkan masalah atau bebanan yang perlu dipikul rakyat sekiranya subsidi gula dikurangkan.
"Kerisauan rakyat adalah kerisauan kami lebih-lebih lagi pertumbuhan ekonomi negara pada suku kedua tahun ini adalah rendah berbanding yang disasarkan kerajaan,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pembukaan Forum Khazanah Trend Mega 2013 di sini hari ini.
Tambah Ahmad Husni, peruntukan BR1M pada tahun depan sememangnya akan ditambah seperti dijanjikan dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.
"Kenaikan kadar BR1M bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah menangani kenaikan kos sara hidup mereka.
"Oleh itu, kerajaan akan melihat keperluan secara keseluruhan dalam proses menghasilkan bajet di mana beberapa aspek perlu dinilai untuk mengurangkan perbelanjaan tinggi negara," katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Husni berkata kerajaan kini meneliti intipati bagi Bajet 2014 dan dijangka siap sepenuhnya dalam masa dua minggu lagi.
Jelasnya, kerajaan optimis untuk mencapai defisit sebanyak empat peratus tahun ini berikutan pendapatan negara yang telah mencapai sasaran.
"Defisit negara pada tahun ini berkemungkinan empat peratus dan tahun hadapan dijangka susut kepada 3.5 peratus," katanya.
Sementara itu, semasa ditanya tentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Ahmad Husni berkata, kerajaan akan melihat perbelanjaan produktif untuk wang yang dibelanjakan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20131001/ek_04/Pengurangan-subsidi-gula-belum-pasti#ixzz2gcxbzGZX
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment