GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, December 2, 2009

GST: Tidak Ada Cukai Yang Tidak Membebankan

TUESDAY, DECEMBER 01, 2009

PADA 29 November, Bernama memetik Menteri Kewangan Kedua Ahmad Husni Hanadzlah sebagai berkata kerajaan telah menjalankan kajian yang “agak lama dan komprehensif” mengenai rancangan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST)

Saya tidak berhasrat berbahas mengenai semantik dengannya, tetapi saya rasa kurang selesa apabila dia berkata kajian itu “agak lama dan komprehensif.”

Mengapa agak lama dan agak menyeluruh? Mengapa tidak lama dan menyeluruh? Bagi cadangan yang sangat penting macam GST ini, kerajaan tidak boleh main agak-agak.

Kerajaan wajib tahu dan yakin bahawa pelaksanaannya nanti tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat seperti yang Ahmad Husni janjikan.

Cukai dalam apa bentuk sekalipun akan menjejas kesejahteraan orang atau pihak yang membayarnya. Sebab itulah macam-macam cara dan kaedah diperkenalkan oleh pemerintah di dunia bagi mengurangkan beban dan persepsi negatif percukaian.

Dalam keadaan paling teruk atau ekstrem, tindakan memperkenalkan cukai baru atau menaikkan kadar cukai yang sedia ada telah mencetuskan rusuhan dan dalam hal-hal tertentu telah menjatuhkan kerajaan.

Di negara kita sendiri, cadangan GST ini sudah lama dibuat tetapi tidak dilaksanakan kerana kerajaan kurang yakin dan kurang pasti kesannya kepada pembayar cukai dan pengguna.

Yang pasti adalah kerajaan tidak ada kerajaan yang akan memperkenalkan GST atau apa juga cukai jika ia tidak menambah hasil (pendapatan) perbendaharaan.

GST atau dalam bahasa Inggeris Goods and Services Tax adalah sejenis cukai di mana apa sahaja barang dan perkhidmatan yang digunakan oleh pengguna mengandungi elemen cukai. Sebab itulah ia juga dikenali sebagai cukai kepenggunaan (consumption tax). Dalam erti kata yang lain, asasnya jauh lebih luas daripada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang ada sekarang.

Kali terakhir GST dibangkitkan adalah pada tahun 2004 apabila Pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan yang cukai itu akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari, 2007.

Bagaimanapun, menjelang tarikh itu Pentadbiran Abdullah mengalami krisis kewibawaan dan keyakinan yang serius dan banyak cadangan tidak dilaksanakan.

Bercakap kepada pemberita di Gopeng, Ahmad Husni berkata sebanyak 143 buah negara telah melaksanakan GST. Dalam Asean hanya Malaysia, Brunei dan Myanmar yang belum memperkenalkannya.

Ini bermakna GST menjadi pilihan kerana ia adalah sistem percukaian yang paling luas asasnya dan paling produktif. Ahmad Husni berkata kerajaan menjangka pendapatan tahunan meningkat RM1 bilion dengan pelaksanaan GST bagi menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan.

Pada 21 November, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Mohd Najib Abdul Razak mengumumkan yang rang undang-undang berhubung GST akan dibentangkan untuk bacaan pertama pada akhir sidang Dewan Rakyat sekarang.

Cara pemerintah dan media massa kawalannya menghebah dan memperjelaskan GST akan menentukan penerimaan atau penolakan rakyat jelata terhadapnya. Ini sangat relevan kepada Barisan Nasional kerana pelaksanaan cukai baru itu hampir dengan pilihan raya umum akan datang.

Menurut Ahmad Husni, GST dijangka dilaksanakan 18 bulan selepas bacaan kedua rang undang-undang pada Mac tahun depan. Ini bermakna cukai itu akan berkuat kuasa sekitar Ogos atau September, 2011.

Logiknya kadar GST lebih rendah daripada kadar Cukai Jualan (5-15 peratus) dan Cukai Perkhidmatan (lima peratus). Di negara jiran Singapura kadar GST adalah tujuh peratus manakala Negeri Thai dan Indonesia 10 peratus. Ada ramalan mengatakan kadar yang akan dikenakan di Malaysia lebih rendah daripada itu – di sekitar lima peratus.

Seperti yang pernah dihujahkan oleh ketua bahagian percukaian tidak langsung firma perakaunan KPMG, Philppe Norre, cukai GST perlu dirangka dengan sebegitu rupa agar berkesan dan di masa yang sama tidak menyusahkan pembayar cukai.

Beliau berkata hanya bahan makanan asas dan perkhidmatan seperti kesihatan, perubatan dan pendidikan perlu dikenakan cukai paling rendah. Satu struktur yang mudah dengan hanya satu atau dua kadar adalah lebih berkesan dan berjaya. Tambahnya kebanyakan negara yang mengamalkan GST mengenakan satu kadar sahaja.

Kesimpulannya, pertama, tidak ada cukai yang tidak membebankan. Itulah sebabnya dalam bahasa ekonomi, kewangan dan fiskal disebut beban cukai (tax burden). Bagi GST ini, beban yang dianggarkan adalah RM1bilion yang berupa penambahan hasil kerajaan.

Kedua, pelaksanaan GST jika tidak diawasi dengan ketat akan diperalat dan dimanipulasikan oleh pengeluar, pengedar dan peruncit untuk menipu (profiteering).

Di sinilah kita meletakkan satu lagi penanda aras kepada KPI Perdana Menteri kerana dia juga adalah Menteri Kewangan. Idea dan pelaksanaan GST kini menjadi tanggungjawab mutlak beliau.

Dan ketiga, tambahan hasil cukai daripada GST akan hanya memanfaatkan pembayar cukai dan rakyat jelata jika dibelanjakan dengan berhemah. Rekod pencegahan pembaziran dan penggunaan berhemah tabungan negara oleh sektor awam belum cukup meyakinkan.

No comments:

Post a Comment