ARKIB : 21/08/2012
TIADA siapa dapat menafikan
golongan wanita mempunyai kuasa atau pengaruh yang kuat dalam perkembangan
ekonomi sesebuah keluarga, masyarakat dan negara. Maka, tidak hairanlah jika
ada suami yang melantik isteri mereka sebagai 'Menteri Kewangan' dengan
menyerahkan segala pendapatan untuk diuruskan perbelanjaan keluarga.
Ia bukan sahaja berlaku di dalam
negara, mengikut statistik, wanita global keseluruhannya mengawal lebih RM70
trilion perbelanjaan pengguna dan dijangka akan meningkat kepada RM98 trilion
pada lima tahun yang akan datang.
Kuasa mereka sebagai pengguna,
pengeluar, pekerja, dan usahawan kini semakin mendapat perhatian perancang pemasaran
produk kerana menurut kertas putih Ernst & Young, pendapatan mereka
meningkat hampir dua kali ganda berbanding pertumbuhan keluaran dalam negara
kasar gabungan China dan India.
Kertas itu juga menyatakan
pendapatan global wanita dijangka meningkat daripada AS$13 trilion kepada AS$18
trilion dalam tempoh lima tahun akan datang.
Di Malaysia tidak terkecuali,
kajian mendapati golongan wanita masih menjadi pembuat keputusan utama dalam
membeli-belah untuk sesebuah keluarga dengan penguasaan kira-kira 63 peratus.
Bagaimanapun, setiap wanita
mempunyai cara tersendiri ketika hendak berbelanja atau menguruskan kedudukan
kewangan mereka.
Sebagai contoh, bagi Puan
Salinah, seorang suri rumah sepenuh masa, beliau hanya membeli mengikut
perancangan dan keperluan keluarga, manakala Cik Siti, seorang eksekutif muda
menyatakan beliau kebiasaannya mudah lupa apabila mempunyai peluang berbelanja.
Puan Sharon pula berkata:
"Saya mengira berapa banyak saya berbelanja di setiap kedai. Saya juga
melihat perbezaan antara harga di pelbagai kedai."
Jika direnung kepada kenyataan
wanita-wanita tadi, anda tentu mengetahui dalam kategori mana anda berada
apabila dikaitkan dengan cara berbelanja.
Bagaimanapun, apa yang lebih
penting ialah adakah anda mengetahui berapa banyak cukai yang anda telah bayar
kepada kerajaan setiap kali membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan?
Pada umumnya, kebanyakan wanita
begitu mengkagumi barang-barang yang mereka beli dan kemudiannya sibuk
berkongsi dengan rakan-rakan tanpa menyedari berapa banyak cukai yang telah
dibayar hasil pembelian barangan itu.
Jika membeli barangan, sudah
tentu mereka telah membayar cukai jualan dan jika ke restoran atau spa
kecantikan, maka cukai perkhidmatan pula yang akan dikenakan.
Maka di sini dapat dilihat
bagaimana golongan wanita merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi
negara, sama ada mereka yang berjimat cermat dengan sentiasa membuat
perbandingan ketika hendak membeli sesuatu barangan atau mereka yang hanya
gemar membeli-belah tanpa mengira berapa banyak dibelanjakan atau berapa banyak
cukai dibayar.
Kuasa beli
Memandangkan golongan wanita
mempunyai kuasa membeli yang besar, maka seharusnya juga mereka mengetahui
bagaimana mereka boleh mendapatkan harga barangan yang lebih rendah jika skim
cukai barangan sekarang diubah.
Penetapan harga barangan sudah
tentu mengambil kira kos cukai yang terpaksa pengeluar tanggung seperti cukai
jualan 10 peratus atau cukai perkhidmatan 6 peratus yang dikenakan dalam skim
percukaian masa kini.
Apabila skim cukai baru
diperkenalkan iaitu skim cukai barangan dan perkhidmatan (GST) atau VST (cukai
nilai tambah) sekitar 4 peratus atau 5 peratus, sudah tentu ia akan disambut
baik oleh golongan wanita kerana mereka dapat berbelanja lebih (kerana harga
barangan lebih murah) dan menyumbang lebih (kerana pungutan cukai kerajaan
meningkat).
Mereka juga tentu menyedari
betapa pentingkan kutipan cukai untuk sesebuah kerajaan melaksanakan pelbagai
projek pembangunan sama ada untuk pendidikan percuma di sekolah, pendidikan
bersubsidi di institusi pengajian tinggi negara dan pusat-pusat didikan kanak-kanak.
Golongan tersebut juga tidak
pernah terkecuali dalam agenda pembangunan negara, sama ada yang dilaksanakan
oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat secara khusus atau
melalui pelbagai kementerian lain secara amnya.
Sebagai contoh, rancangan membina
hospital khusus untuk wanita dan kanak-kanak, bantuan kepada ibu-ibu tunggal,
pinjaman kredit mikro kepada wanita (dari TEKUN dan pelbagai agensi),
pembangunan usahawan wanita dan sebagainya - sudah menjadi bukti cukup yang cukai
dikutip oleh kerajaan telah dikembalikan untuk faedah bersama rakyat.
Peranan wanita dalam pembangunan
ekonomi sesebuah negara sememangnya tidak dapat dinafikan dan golongan tersebut
seharusnya berasa bangga dengan sumbangan mereka yang boleh ditingkatkan lagi
jika sama-sama menyokong usaha kerajaan memperkenalkan skim cukai baru GST.
Bagaimanapun, mereka seharusnya
meningkatkan kefahaman mengenai ilmu percukaian baru itu dahulu bagi memudahkan
mereka menerangkan kepada keluarga atau rakan-rakan mengenai kelebihan skim
cukai baru itu, berbanding skim cukai kepada barangan dan perkhidmatan masa
kini.
Bagi kerajaan pula, kutipan cukai
akan membolehkan kerajaan terus membangunkan negara dan juga menjamin generasi
masa depan agar hidup mereka sentiasa terbela dan mendapat segala kemudahan
asas kehidupan dengan baik.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20120821/ek_02/Sumbangan-wanita-kuasa-beli-dan-cukai-barangan#ixzz2WGhvI7JG
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment