ARKIB : 20/10/2010
KUALA LUMPUR 19 Okt. Peningkatan cukai perkhidmatan daripada lima kepada enam peratus dilihat sebagai persediaan awal kerajaan sebelum melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Pengarah Eksekutif Baker Tilly Monteiro Heng Tax Services Sdn. Bhd., Chan Kee Hoong berkata, pendekatan tersebut dilakukan supaya rakyat tidak berasa asing setelah GST dilaksanakan kelak memandangkan sistem cukai tersebut bakal menyaksikan peningkatan harga beberapa jenis barangan.
Menurutnya, pendekatan seumpama itu turut dipraktikkan negara lain apabila mahu menggantikan sistem cukainya kepada GST.
Ia merupakan satu langkah bijak oleh kerjaan. Tetapi apa yang agak membantutkan pelaksanaannya adalah persediaan rakyat untuk menghadapinya.
Kerajaan seharusnya kerap menerangkan kepada rakyat mengenai GST melalui seminar, hebahan media serta pengedaran risalah informasi agar mereka lebih memahaminya katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semasa pembentangan Bajet 2011, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan cukai perkhidmatan ke atas semua perkhidmatan yang dikenakan cukai sebelum ini meningkat kepada enam peratus berbanding lima peratus pada masa ini.
Kata Kee Hong, peningkatan cukai sebanyak satu peratus itu mendatangkan pendapatan kira-kira RM600 juta kepada kerajaan.
Walaupun pelaksanaan GST ditangguhkan, tetapi beliau yakin GST akan tetap dilaksanakan satu hari nanti.
Tambahnya, cadangan pelaksanaan GST pada kadar empat peratus adalah munasabah kerana ia bermula pada paras yang rendah, tambahan pula ia baru diperkenalkan.
Seperti Singapura, pada awal pelaksanaan GST di negara itu, kadarnya adalah tiga peratus dan ketika ini menjadi tujuh peratus. Bagaimanapun ia mengambil masa panjang bagi peningkatan itu berlaku. ujarnya.
Berdasarkan pengalaman beberapa negara lain, beliau tidak menafikan harga sesetengah barangan akan meningkat melalui pelaksanaan GST dan ia memakan masa kepada rakyat untuk mengadaptasi perubahan tersebut.
Saya mencadangkan setelah GST dilaksanakan, cukai-cukai lain seperti cukai pendapatan, cukai individu dan cukai korporat dikurangkan bagi mengimbangi bebanan rakyat, katanya.
Pada masa sama, beliau menjangkakan barangan keperluan harian seperti beras dan tepung masih dikawal sekalipun GST dilaksanakan.
Kee Hoong turut memuji pengurangan duti import ke atas kira-kira 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan kerana ia menggalakkan aktiviti ekonomi domestik dan menjadikan negara sebagai pusat membeli-belah dan pelancongan yang kompetitif di rantau Asia Tenggara.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan sepatutnya menyediakan insentif kepada sektor swasta bagi melatih dan menyediakan tenaga mahir tempatan kerana ia bakal menggalakkan mereka (swasta) membangunkan kepakaran di dalam sektor masing-masing.
Dan pada masa sama, beliau mahu kerajaan berusaha membawa pulang tenaga kerja mahir di luar negara kerana pengalaman serta kepakaran mereka boleh dikongsi bersama dengan tenaga kerja tempatan yang lain.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1020&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_05.htm#ixzz2WRsb23Uu
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment