ARKIB : 06/05/2010
KUALA LUMPUR 5 Mei - Pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) yang mula dilaksanakan pada tahun 1993 telah memberi kesan positif kepada peniaga terutama dalam konteks pemasaran produk di peringkat global.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Mukhriz Mahathir berkata, sejak perjanjian itu dilaksanakan kerajaan mendapati mereka lebih mudah untuk memasarkan produk masing-masing khususnya di rantau ASEAN tanpa melalui banyak sekatan.
''Kerajaan mendapati pelaksanaan AFTA sebenarnya berjaya mewujudkan kumpulan peniaga di negara ini yang lebih kompetitif dan barangan yang mereka hasilkan juga amat berkualiti. Ini semuanya bertujuan memudahkan produk mereka dipasarkan.
''Pelaksanaan perjanjian ini juga telah mewujudkan tahap persaingan yang sihat antara peniaga selain membolehkan mereka mendapatkan bahan mentah dengan kadar yang lebih murah dari negara ASEAN lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Azian Osman pada sidang Dewan Negara hari ini.
Mukhriz berkata, hasil daripada perjanjian berkenaan, ASEAN kini merupakan destinasi eksport terbesar bagi negara.
''Pada tahun 2008 dan 2009 pasaran ASEAN telah menyumbang sebanyak 26 peratus perdagangan barangan global bagi negara kita. Semuanya adalah hasil pelaksanaan GST," katanya.
Menjawab soalan tambahan Azian, Mukhriz berkata, Malaysia tidak menghalang kemasukan barangan dari negara ASEAN pada harga yang murah walaupun ada kebimbangan akan berlaku lambakan.
''Apabila kita memberi komitmen untuk menyertai AFTA, kita harus membenarkan kemasukan barangan dari negara ASEAN meskipun harganya lebih murah. Cuma kita boleh ambil tindakan jika barangan itu mendapat subsidi dari negara asal atau tidak berkualiti.
''Mahu tidak kita mahu kita terpaksa bersaing dengan produk-produk ASEAN. Atas sebab ini kita sentiasa memastikan barangan yang dihasilkan oleh pengusaha kita sentiasa berada pada tahap kualiti terbaik agar kita mampu bersaing," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0506&pub=utusan_malaysia&sec=Parlimen&pg=pa_02.htm#ixzz2WRGRNYMP
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment