GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, August 1, 2012

Muktamad 18 fokus gubal Bajet 2013


Publication: BH
Date of publication: Jul 31, 2012
Section heading: Bisnes
Page number: 004
Byline / Author: Oleh Mohd Zaky Zainuddin


Petaling Jaya: Kerajaan akan memuktamadkan perbincangan terperinci 18 kumpulan fokus bagi penggubalan Bajet 2013 minggu ini, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai.

Beliau berkata, daripada 18 kumpulan fokus itu, 15 sudah bermesyuarat dengan Kementerian Kewangan, manakala selebihnya dijangka selesai beberapa hari lagi.

Perbincangan 18 kumpulan fokus itu menyentuh kepada pelbagai bidang termasuk pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), teknologi hijau, rumah mampu milik dan pelan transformasi bandar, katanya pada sidang media selepas melancarkan cawangan francais pertama perunding perkahwinan, ADAMAS Weddings Sdn Bhd, di Petaling Jaya, semalam. Hadir sama, Pengasas ADAMAS, Dr Khoo Kien Ling.

Jun lalu, Kementerian Kewangan memulakan sesi pertama perbincangan kumpulan fokus bagi Bajet 2013 dengan tumpuan kepada inisiatif baru untuk meningkatkan pelaburan swasta dalam persekitaran ekonomi global semasa yang tidak menentu.

Mesyuarat 18 kumpulan fokus itu diadakan bagi membincangkan secara terperinci isu berkaitan, dengan hasil perbincangannya akan dijadikan sebagai input kepada penggubalan Bajet 2013 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 28 September ini.

Donald berkata, semua cadangan dikemukakan dipertimbangkan dan sedang diteliti, manakala hasilnya hanya diketahui apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan bajet berkenaan nanti.

Kerajaan akan mengambil kira semua cadangan termasuk pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan cukai korporat, katanya.

Sementara itu, Kien Ling berkata, ADAMAS merancang membuka sekurang-kurangnya satu cawangan di setiap negeri di seluruh negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Selain itu, katanya, syarikat turut meninjau peluang meneroka pasaran di China, Singapura dan beberapa negara di Asia Tenggara menjelang 2017.

ADAMAS House of Ethereal Weddings, Kota Damansara adalah cawangan pertama kami dan dikembangkan ke beberapa lokasi lagi dalam masa terdekat termasuk Johor Bahru (akhir tahun ini), katanya.

Beliau berkata, ADAMAS meninjau peluang meluaskan cawangan di Klang dan Pulau Pinang selain sedang berbincang dengan pihak ketiga di Kemboja untuk tujuan sama.

Semua cawangan akan dibuka menerusi sistem francais dan ia menjadikan ADAMAS sebagai syarikat perunding perkahwinan pertama yang beroperasi secara francais di negara ini, katanya.

INFO

18 kumpulan fokus

- Semua perbincangan dimuktamadkan minggu ini.
- 15 kumpulan sudah bermesyuarat setakat ini.
- Perbincangan berkisar mengenai PKS, teknologi hijau, rumah mampu milik dan pelan transformasi bandar.

No comments:

Post a Comment