Publication: BH
Date of publication: Aug 30, 2012
Section heading: Bisnes
Page number: 008
Byline / Author: Oleh Shahrizan
Salian
Kuala Lumpur: Daya tahan luar
biasa ekonomi Malaysia hasil pelaksanaan beberapa program pembaharuan menyeluruh
kerajaan meletakkan negara ini pada landasan kukuh mencapai sasaran
pertumbuhannya tahun ini, kata penyedia analisis dan maklumat ekonomi
antarabangsa, The Economist Group.
Ketua Ahli Ekonomi Asia Tenggara
dan Asia Selatan Economist Corporate Network, Justin Wood, berkata unit
penyelidikan ekonomi kumpulan itu yang menerbitkan majalah perniagaan, The
Economist menimbang meningkatkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK) Malaysia antara 4.8 peratus hingga 4.9 peratus tahun ini.
Prestasi mantap
Katanya, semakan semula unjuran
itu akan dibuat susulan prestasi mantap ekonomi Malaysia seperti ditunjukkan
pada separuh pertama tahun ini.
Malaysia menunjukkan peningkatan
daya tahan disokong perbelanjaan domestik yang kukuh serta pertambahan
pelaburan ke dalam aset tetap seperti infrastruktur, hartanah dan jentera,
katanya pada taklimat tinjauan ekonomi Malaysia anjuran Philip Morris
(Malaysia) Sdn Bhd, di sini, semalam.
Wood berkata, The Economist Group
mengekalkan unjuran pertumbuhan Malaysia pada 4.7 peratus tahun ini, iaitu
penurunan kecil berbanding tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, kumpulan
penerbitan itu mengunjurkan ekonomi Malaysia akan kembali mencatatkan aliran
kukuh sehingga 2016 dengan purata pertumbuhan sekitar 5.5 peratus bermula tahun
depan.
Dijangka berkembang
Ekonomi Malaysia agak mengejutkan
kerana menunjukkan peningkatan dari segi daya tahan. Perbelanjaan domestik
berterusan kukuh dan dijangka berkembang sekitar tujuh peratus setahun, sekali
gus lebih pantas daripada pertumbuhan KDNK.
Kedudukan itu menambah lagi daya
tahan ekonomi negara ini ditambah pula dengan cerita pelaburan
memberangsangkan, katanya.
Kekal OPR
Wood berkata, Bank Negara Malaysia
dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada tiga peratus sehingga
tahun ini, sebelum inflasi dijangka meningkat tahun depan berikutan kemungkinan
berlaku perubahan struktur subsidi kerajaan serta pelaksanaan cukai barangan
dan perkhidmatan (GST).
Secara keseluruhannya, Bank
Negara telah melakukan kerja yang cemerlang dengan melaksanakan dasar yang
betul pada masa yang sepatutnya, katanya.
Sementara itu, beliau berkata,
pelabur melihat program pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan sejak dua tahun
lalu sebagai antara faktor penting keputusan pelaburan mereka di negara ini.
Ekonomi Malaysia kukuh dan
pelaburan langsung asing (FDI) terus meningkat. Semua ini disebabkan
keprihatinan kerajaan terhadap setiap maklum balas pelabur asing sebelum ini,
katanya.
Beliau berkata, satu daripada
kriteria paling penting yang dikehendaki pelabur asing dalam sesebuah negara
adalah kestabilan politik diiringi dasar yang jelas sebagai satu pakej.
INFO
Ekonomi Malaysia
= Pertumbuhan separuh pertama:
5.1 peratus
= Pertumbuhan suku pertama: 4.8
peratus
= Pertumbuhan suku kedua: 5.4
peratus
No comments:
Post a Comment