GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, March 29, 2012

Kerajaan, pembangkang perlu duduk semeja bincang GST


ARKIB : 28/03/2012

KUALA LUMPUR 27 Mac- Kerajaan dan pihak pembangkang perlu duduk semeja membincangkan pendekatan terbaik untuk melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala (gambar) berkata, pelaksanaan GST wajar dipertimbangkan secara logik dan realistik kerana ia mampu memberi banyak faedah kepada Malaysia.

Secara terbuka, beliau menaruh harapan supaya kedua-dua pihak dapat berbuat demikian selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) menambah, pelaksanaan GST mampu mengurangkan beban yang terpaksa dipikul oleh 1.7 juta pembayar cukai individu.

''Malaysia memiliki 28 juta penduduk dan daripada jumlah itu hanya 8.5 juta mendaftar tetapi yang menjadi pembayar hanya 1.7 juta sahaja.

''Jika GST tidak dilaksanakan, kita sebenarnya tidak berlaku adil kepada 1.7 juta pembayar cukai ini. Mengapakah kita tidak menyebarkan bebanan ini kepada semua yang layak?,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada pada sesi ceramah bertajuk Program Terkini Transformasi Ekonomi anjuran Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia di sini hari ini.

Malah, katanya, pelaksanaan GST adalah kritikal bagi Malaysia kerana negara perlu mengurangkan kebergantungan kepada pendapatan petroleum pada masa depan.

Tegas Idris, pelaksanaan GST tidak akan membebankan rakyat, sebaliknya sebanyak 143 buah negara sudah memperkenalkan GST dan menikmati pelbagai faedah.

Antara faedahnya ialah pengecualian cukai bagi produk makanan utama, pengurangan cukai korporat dan peribadi serta penghapusan cukai jualan dan perkhidmatan.

Berdasarkan kajian, Malaysia mampu menjana pendapatan sebanyak RM6.3 bilion sekiranya mengenakan 4.0 peratus GST, RM9.7 bilion (5.0 peratus) dan RM25.7 bilion (7.0 peratus).

Ketika ditemui selepas ceramah itu, Idris mengakui Malaysia belum bersedia untuk melaksanakan GST kerana rakyat masih belum mampu menerima dasar percukaian tersebut.

Antara puncanya kerana rakyat bimbang akan berlaku inflasi dan kenaikan harga makanan utama.

''Saya masih menaruh harapan agar pendidikan dan kesedaran berhubung GST diperluaskan supaya pelaksanaannya boleh dilakukan,'' ujarnya.

Ditanya bilakah kerajaan benar-benar bersedia untuk mewujudkan GST, Idris berkata: ''Mungkin ia mengambil masa yang panjang."

Katanya, sekiranya GST diluluskan sekali pun, ia mungkin mengambil masa setahun selepas itu bagi pelaksanaannya.


© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment