GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, June 2, 2010

Kenal pasti kuasa beli rakyat sebelum tarik subsidi


ARKIB : 01/06/2010


BERSEDIAKAH rakyat Malaysia menjalani kehidupan tanpa subsidi? Inilah persoalan pokok yang perlu dijawab seikhlasnya sebelum kerajaan mengumumkan keputusan muktamad mengenai pemansuhan atau penarikan subsidi untuk rakyat.

Sebelum jawapan tepat dapat diberikan untuk soalan ini, senario ekonomi semasa dan masa depan negara dan rakyat mesti dikaji terlebih dahulu.

Rakyat telah menikmati subsidi sejak bertahun-tahun lamanya. Nikmat subsidi ini menyebabkan rakyat negara ini amat bertuah kerana dibantu sehingga ada di antara mereka menjadi kaya raya. Golongan ini terdiri daripada 20 peratus rakyat Malaysia.

Jangan kata golongan kaya tidak pernah menikmati subsidi. Mereka juga pernah menikmati subsidi sehingga berjaya menjadi kaya raya. Bahkan ada di antara mereka masih lagi menikmati subsidi dalam perniagaan.

Subsidi yang dinikmati mereka mengurangkan kos operasi perniagaan dan seterusnya memberi keuntungan yang lebih besar berbanding tanpa menikmati subsidi kerajaan. Melalui subsidi, setiap tahun mereka menambah kekayaan. Buktinya, kajilah golongan terkaya di Malaysia yang dilaporkan pada minggu lalu.

Itu golongan yang benar-benar terkaya di Malaysia, bagaimana pula yang tidak termasuk dalam kategori tersebut tetapi kaya dan menikmati subsidi?

Bagaimana pula bagi rakyat marhaen yang terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana dan rendah? Mereka juga menikmati subsidi, tetapi subsidi hanya digunakan untuk menjalani kehidupan seharian bukan bagi menjana keuntungan besar.

Subsidi makanan, kesihatan, pendidikan, minyak petrol adalah antara subsidi yang dinikmati mereka selama ini. Golongan ini amat memerlukan subsidi untuk menampung kehidupan mereka. Cuba bayangkan jika rakyat Malaysia yang berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan, apa akan berlaku kepada mereka jika subsidi ditarik?

Tiga perkara yang pasti merunsingkan fikiran mereka adalah pertama, harga barang keperluan akan meningkat. Kedua, harga barangan lain yang berkait rapat dengan barangan yang mendapat subsidi juga akan meningkat.

Ketiga, harga barangan yang tidak berkait langsung dengan barangan subsidi juga berkemungkinan besar akan meningkat.

Jadi, apakah akan terjadi kepada kuasa beli mereka sebelum dan selepas subsidi ditarik? Jawapannya cukup jelas sekali iaitu kuasa beli mereka akan semakin parah. Ada yang berkata, apa susah, pantau dan kuat kuasa sahaja undang-undang. Golongan sebegini sebenarnya mengetahui penguatkuasaan undang-undang sahaja jarang sekali boleh mendisiplinkan peniaga-peniaga di Malaysia.

Buktinya, isu menyorok gula tidak pernah selesai sehingga kini. Lainlah halnya jika lesen-lesen import diberikan secara meluas kepada peniaga tanpa dimonopoli segelintir peniaga. Maka, kuranglah masalah ini.

Ini di pihak rakyat, bagaimana pula di pihak kerajaan? Dilaporkan bahawa Malaysia akan terjerumus ke kancah muflis pada 2019 jika mempunyai hutang dan subsidi yang tinggi. Ini bermakna, setahun sebelum rakyat Malaysia ternanti-nanti tarikh keramat 1 Januari 2020 sebagai negara maju, rupa-rupanya muflis yang akan berlaku ekoran terlalu banyak hutang dan subsidi.


Jadi, bagaimana untuk mengelak negara daripada muflis? Strategi paling ampuh adalah mengurangkan defisit negara pada tahap di bawah tiga peratus. Namun, bagaimana defisit dapat dikurangkan pada tahap tersebut tanpa mengurangkan atau memansuhkan subsidi?

Ada yang mencadangkan agar dilaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk menambah perolehan kerajaan melalui cukai. Tetapi sekali lagi, adakah rakyat bersedia menerima sistem cukai terbaru ini?

Satu lagi cara adalah memastikan momentum pertumbuhan ekonomi pada tahap tertinggi. Jadi, perolehan melalui cukai korporat akan meningkat. Strategi ini nampak lebih berkesan kerana ia tidak memberi kesan secara langsung kepada rakyat berbanding dengan memperkenalkan GST. Tetapi cukupkah hanya dengan strategi itu?

Kerajaan perlu mempunyai lebih banyak strategi seperti membelanjakan wang secara berhemah agar projek-projek kerajaan benar-benar berada pada kos sebagaimana yang dirancangkan. Contohnya, jumlah projek terbengkalai dan tertangguh yang banyak menyebabkan kerajaan menanggung kos yang begitu tinggi.
Kerajaan patut menumpukan pada perbelanjaan seperti ini yang mana kos tidak nyata lebih tinggi kepada rakyat berbanding dengan pembayaran subsidi.

Berkaitan dengan hutang negara. Fokus kerajaan patut lebih tertumpu ke arah hutang pihak swasta. Sudah sampai masanya, sektor swasta perlu berhemah dalam mengurus hutang-hutang mereka. Jangan amalkan cara perniagaan di negara-negara Barat. Lebih-lebih lagi sektor swasta merupakan pemacu utama ekonomi negara pada masa akan datang.

Untuk menjadikan sektor swasta lebih cekap dan berdaya saing, subsidi untuk sektor swasta perlu ditarik balik terutama melibatkan syarikat-syarikat konglomerat yang memperoleh keuntungan beratus-ratus juta dan berbilion-bilion ringgit.

Rumusannya, kuasa beli majoriti rakyat Malaysia yang seramai 80 peratus adalah faktor terpenting sebelum penarikan subsidi dilakukan oleh kerajaan. Tingkatkan dahulu pendapatan mereka ke tahap tertinggi dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, maka barulah difikirkan mengenai penarikan subsidi secara berperingkat yang diberikan kepada mereka selama ini.

Rohami Shafie
Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0601&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm#ixzz2WRKHVBY1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment