ARKIB : 12/06/2010
CADANGAN pembinaan bangunan Parlimen yang baru di Putrajaya menggantikan bangunan sedia ada mendapat pandangan negatif kebanyakan penulis blog.
Beberapa penulis lain menyentuh mengenai kekecohan di bilik rehat Dewan Negara apabila Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) diherdik, dimaki-hamun dan ditolak turut mendapat perhatian.
Blog The Sense, Credibility and Accountability (sensecredaccountability.blogspot.com) berkata, semua pihak perlu menilai sama ada pembinaan bangunan baru untuk para wakil rakyat bersidang itu berbaloi atau sebaliknya.
Ini kerana, kata blog itu, mereka yang mewakili rakyat dan bersuara demi rakyat itu tidak lebih daripada budak-budak tadika yang buat bising di dalam kelas mereka.
"Apa yang dilaungkan, dislogankan dan ditemberangkan dalam Parlimen tidak lebih daripada kata-kata politik yang langsung tidak ada manfaat kepada rakyat.
"Semuanya hanya mahu mempopularkan diri sendiri dan mencari publisiti murahan demi kepentingan politik masing-masing," katanya.
Justeru, katanya, apakah patut bangunan Parlimen baru dibina, sedangkan mereka yang menggunakannya langsung tidak menghargai kepentingannya.
Penulis blog Cucu Tok Selampit (/khairulryezal.blogspot.com) pula berkata, cadangan pembinaan bangunan baru Parlimen itu tidak kena pada masanya.
Ini kerana, pada masa yang sama, kerajaan bercadang mahu mengenakan Cukai Makanan dan Perkhidmatan (GST) serta penghapusan subsidi bagi mengelak negara menjadi bankrap.
"Teruk dan daif sangatkah keadaan Parlimen yang ada sekarang sehingga menjadi satu keutamaan untuk membina infrastruktur yang baru?
"Perlu sangatkah sebuah bangunan Parlimen yang baru dibina buat masa ini untuk kegunaan beratus orang Ahli Parlimen berbanding dengan jumlah yang sama digunakan untuk faedah jutaan rakyat marhaen yang miskin dan kurang berkemampuan?," tulis beliau.
Penulis ini bertanya sama ada Parlimen baru itu amat diperlukan bagi memajukan ekonomi dan pembangunan ke arah negara maju atau akhirnya ia hanya menjadi sebuah projek gajah putih.
Mengenai insiden yang berlaku di ruang rehat Dewan Negara Rabu lalu, penulis blog Putra Merdeka (politikputramerdeka.blogspot.com) berkata, tindakan pemimpin pembangkang yang mengadakan ceramah serta memaki-hamun kerajaan di dalam ruang rehat Parlimen itu jelas menunjuk sikap sebenar mereka.
"Inilah biadapnya puak-puak pembangkang! menjadikan Parlimen sebagai tempat untuk menunjukkan kebiadapan dan kurang ajarnya kepada kehormatan dewan dan Ahli Parlimen Barisan Nasional!" katanya.
Katanya, Speaker Dewan Rakyat perlu menjalankan siasatan bagaimana perkara tersebut boleh berlaku dan kemuliaan Parlimen dicemar dengan membawa penyokong dan berkempen sehingga menimbulkan perasaan sakit hati di kalangan ahli dewan yang lain.
Penulis blog Mesin Taip Buruk (mesintaipburuk.blogspot.com) pula berkata, pertubuhan bukan kerajaan yang menyokong pembangkang kini semakin berani bertindak termasuk melaungkan fitnah dan caci-maki kepada kerajaan di dalam Parlimen.
"Sebelum ini, mereka hanya berani berdemo di jalanan tetapi kini sudah berani masuk lobi Parlimen dan membantai kerajaan (terutama UMNO) terang-terangan di depan batang hidung Ahli Parlimen BN. Ayoyo... Apa sudah jadi?
"Mereka datang sebagai tetamu di Parlimen tetapi berani menghalau keluar seorang Ahli Parlimen di dalam Parlimen," kata penulis ini.
Justeru penulis berharap pihak Speaker menjalankan siasatan berhubung insiden itu dan mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab.
Kelolaan LUKMAN ISMAIL
lukman.ismail@utusan.com.my
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0612&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_09.htm#ixzz2WRMJNcAp
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment