GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, May 17, 2013

Konon kerajaan naikkan harga barangan asas


ARKIB : 16/05/2013

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 15 Mei - Kumpulan tentera siber yang dipercayai ditaja DAP, 'Red Bean Army' kini bertungkus lumus menyebarkan berita palsu di internet kononnya kerajaan telah menaikkan harga barangan asas seperti petrol, minyak masak, gas memasak, gula, tepung dan roti bagi menghasut rakyat untuk terus membenci kerajaan.

Menurut beberapa blog, dakyah kumpulan itu di laman sosial seperti Facebook dan Twitter telah berhasil membuatkan pengguna internet berasa marah kepada kerajaan, sekali gus mempercayai kononnya pakatan pembangkang merupakan pentadbir yang lebih baik daripada Barisan Nasional (BN).

Pengendali blog tun faisal dot com sebagai contoh, mendedahkan empat penipuan pembangkang tentang kenaikan harga gula yang tidak benar kecuali jika dilakukan oleh pekedai yang menyokong pembangkang serta pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) oleh kerajaan yang sebenarnya belum dikuatkuasakan sehingga kini.

Dua lagi penipuan katanya, termasuk oleh Timbalan Setiausaha Agung Pas, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi yang mendakwa kerajaan menaikkan harga gas memasak sebanyak RM2 kepada RM30 setong sedangkan perkara itu tidak benar, selain kenaikan harga roti jenama Gardenia yang tidak berasas sama sekali.

Syed Azman didapati menyebarkan dakyah mengenai kenaikan harga gas itu di akaun Twitternya pada Khamis lalu yang kemudiannya di tweet semula oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Rakyat yang naif dan mempercayai mereka, hanya akan dipermainkan disebabkan kepercayaan ini.

"Disebabkan itu jangan undi dan sokong penipu, kerana bila mereka menipu dan ada sharelike dan retweet penipuan mereka, anda juga turut bersubahat menipu rakyat Malaysia. Di bawah adalah struktur harga gas di Malaysia," katanya di http://tunfaisal.blogspot.com Sabtu lalu.

Blog The Flying Kick pula mendakwa kenaikan harga barang selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) oleh pekedai yang menyokong pembangkang memang berlaku sebagai sabotaj terhadap kerajaan.

Katanya, peruncit tersebut kebanyakannya kaum Cina dan bukan dalam kalangan Melayu yang masih bersama UMNO dan BN.

"Malaysia sekarang ini sedang dilanda demam fitnah yang berterusan. Kepala fitnah utamanya adalah Anwar Ibrahim. DAP pula membantu dari belakang dengan menyediakan kemudahan media dan penerangan," katanya.

Disebabkan dakyah dan manipulasi berita palsu oleh Red Bean Army di internet, Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. terpaksa membuat penjelasan harga produknya tidak dinaikkan.

Gerakan terancang kumpulan tersebut dilihat bertujuan menguatkan hujah mereka apabila sering menuduh kerajaan akan menaikkan harga barang selepas pilihan raya diadakan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130516/po_01/Konon-kerajaan-naikkan-harga-barangan-asas#ixzz2WdA0la7v
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment