GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, February 4, 2013

Sukar berkata tidak


Publication: BM
Date of publication: Feb 3, 2013
Section heading: Kembara
Page number: 004
Byline / Author: Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

KEMBARA di Itali, turut membuahkan rasa bangga di hati. Bangga lantaran kerana kebanyakan rakyat Itali yang ditemui penulis memang tahu serta memuji keindahan Malaysia.

Paling tidak dapat lupakan apabila ada yang menyatakan `Malaysia is a very good muslim country'. Dari peniaga jalanan hinggalah ke butik ternama.

Memikirkan tinggi kadar tukaran wang antara RM ke Euro, menyebabkan cara berbelanja perlu dilakukan secara berhati-hati. Tetapi apabila berada di Itali, mustahil untuk berkata, tidak!

Memang itulah kebiasaannya. Apabila bercadang hendak ke negara `mahal' sama ada untuk tugasan atau melancong, sudah tanamkan tekad untuk tidak mahu beli-belah.

Itu sebelum pergi lagi. Apabila sudah berada di negara yang dikunjungi, soal harga mahal atau kadar tukaran mata wang yang tinggi macam dilupakan.

Apatah lagi untuk membeli produk sinonim di Itali seperti barangan kulit serta jenama besarnya yang sudah melakar sejarah panjang seperti Bvlgari atau Furla. Secara umum, produk tempatan boleh didapati dengan harga 50 peratus lebih rendah berbanding membeli produk sama di ibu kota.

Ternyata kehebatan produk tempatan Itali memang setanding dengan keunggulan bangunan sejarah dan peninggalan tamadun Rome yang dikagumi di seluruh dunia.

GST untungkan pelancong

Sejak hari pertama menjejak kaki ke Itali, pemandu pelancong, Damien Mok sudah pun mengingatkan, supaya tidak rambang mata membeli di butik, sekitar Milan atau Venice kerana lawatan pada hari terakhir ke Rome, rombongan kami akan dibawa ke Serravalle Designer Outlet (SDO) iaitu lokasi berbaloi untuk membeli barangan berjenama pada tawaran potongan harga sehingga 70 peratus.

SDO terletak di Castel Romano Roma, Rome, Itali mengambil masa kirakira 50 minit perjalanan menaiki bas dari Milan. Premis pertama dan terbesar di Itali itu, dibuka sejak 2000.

Sememangnya ia lubuk barangan pereka ternama. Lebih 180 butik tersedia dalam kawasan seluas 40,000 meter persegi. Luas seluruh kawasan adalah 200,000 meter persegi.

Bermula dengan ikon jenama Prada hinggalah ke menjadi kegilaan ramai seperti Moschino, harga ditawarkan amat berpatutan. Kunjungan berkumpulan mendapat diskaun tambahan lagi, antara 5 hingga 15 peratus. Sebenarnya di Itali saja ada empat lagi cawangan sama, SDO paling besar.

Landskap dengan binaan seni bina klasik Itali, diuruskan Kumpulan McArthurGlen, sebuah syarikat pembangunan Eropah yang membangunkan 13 pusat sama di Great Britain, Perancis dan Austria.

Tidak dinafikan tanda harga rendah, menjadi dorongan pembeli mudah terpedaya. Di butik Prada, umpamanya, kebanyakan beg tangan boleh didapati serendah 400 euro, seolaholah harganya cuma RM400. Tetapi tetap berbaloi, kerana produk sama mencecah hampir RM8,000, di Malaysia.

Skim cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pula memberi lebih keuntungan kepada pelancong. Butik kegemaran ramai ini memberi had belian tidak melebihi 2,000 euro seorang atau kirakira RM8,000

DESTINASI MENARIK

Rome

Jalanan sepanjang 5 kilometer sekitar `Trevi Fountain' atau pancuran air yang menjadi lambang kota ini, turut dipenuhi butik berjenama. Menariknya, sekiranya rajin berjalan, banyak butik ternama menyediakan potongan harga menarik. Tinggalan sejarah bersama seni bina mengagumkan, menjadikan pengalaman di sini sukar dilupakan

Venice

Menyusuri `Grand Canal' menaiki gondola melengkapi percutian ke Itali. Bagaimanapun ia juga bergantung kepada nasib. Kalau air naik, operasi boleh jadi tergendala.

Antara sebab ia popular kerana terusan ini menjadi pengangkutan utama digunakan sejak 1800 dulu. Pengalaman menaikinya, bagi sesetengah orang, seperti saya mungkin biasa saja.

'Gondolier' atau pendayung sampan adalah satu pekerjaan dihormati. Untuk menjadi gondolier, seseorang itu perlu menduduki kursus selama dua tahun. Kaca Murano antara produk terkenal di sini. Dari Grand Canal ke kilang Murano, mengambil masa berjalan kaki selama 10 minit. Terkenal dek pembuatan halus dan berseni, satu set pinggan mangkuk boleh mencecah puluhan ribu ringgit.

Florence

Jolokan syurga barangan kulit. Premis kecil berhampiran Santa Maria del Fiore (juga dikenali sebagai Duomo), sebuah gereja lama tinggalan era Renaissance. Bagi peminat produk kulit seperti beg dan pakaian tanpa jenama, ia mudah didapati di sepanjang laluan berhampiran, menyediakan beraneka produk kulit bermutu tanpa jenama pada harga serendah Euro50 (RM200). Sungguhpun ramai peniaga jalanan (rata-rata berkulit hitam), membawa beg berjenama tetapi berhati-hati kerana ia adalah palsu.

Verona

Kota dipenuhi aura cinta Romeo dan Juliet oleh William Shakespear. Patung Juliet bukan saja menjadi lokasi mengambil gambar tetapi, menurut kepercayaan, sekiranya ingin menemui cinta, sentuh bahagian payu dara patung berkenaan. Kalau ingin `menyelami' cinta Juliet, rumahnya juga tersedia dilawati dengan bayaran tertentu.

Milan

Duomo Square memiliki 135 binaan berbucu tajam daripada batu marmar. Pembinaannya mengambil masa 423 tahun untuk disiapkan. Sebagai dataran utama di Milan dan salah satu tempat pelancongan yang paling terkenal di ibu kota Itali, khususnya perniagaan. Himpunan terkini banyak ditawarkan di sini.

Pierotucci

Kilang kulit, Pierotucci menyediakan peluang untuk mengetahui lebih dekat bagaimana kaedah pembuatan barangan kulit buatan tangan. Fortuna antara produk kegilaan ramai kerana satu koleksi tersedia dalam unit terhad saja.

Banyak jalan kaki

Kembara merentas Itali, atas tajaan bersama agensi pelancongan : Bestour & Travel (M) Sdn Bhd dan pereka futuristik, Hideaki Lim selama 7 hari/5 malam menerusi Etihad yang menawarkan penerbangan setiap hari ke Eropah melalui Abu Dhabi. Kembara ke sini sedikit memenatkan kerana perlu banyak berjalan kaki.

Di Ponte Veccio, jambatan tertua di Florence umpamanya, bas pelancongan dilarang masuk, bagi menjaga seni bina itu daripada gegaran menyebabkan perlu kita berjalan kaki atau menaiki teksi saja. Perjalanan menaiki bas dari satu kota ke kota ke kota yang lain memakan masa sekurang-kurangnya lima jam.

Patuh kepada jadual adalah satu kemestian kerana Itali, menetapkan peraturan khusus di mana bas pelancongan perlu sampai sebelum jam 8 malam ke sesebuah hotel penginapan.

No comments:

Post a Comment