GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, May 12, 2011

Cukai mungkin dikurangkan?


ARKIB : 11/05/2011

NAJIB Tun Razak berjalan bersama Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah selepas Majlis Konsultasi Bajet 2012 di Kementerian Kewangan, Putrajaya, semalam. Turut kelihatan, Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussein dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.


PUTRAJAYA 10 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, cukai pendapatan persendirian dan korporat mungkin boleh dikurangkan apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan.

Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, kerajaan perlu meneruskan Program Pendidikan Kesedaran Awam untuk mendidik masyarakat tentang manfaat yang bakal diperoleh menerusi GST.

‘‘Kita perlu melihat penerimaan orang ramai terhadap GST dan kerajaan akan lakukan tinjauan yang tepat.

‘‘Pengumuman mengenai pelaksanaannya akan dibuat apabila sampai masanya agar kadar ditetapkan boleh diterima rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Konsultasi Bajet 2012 di Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Ditanya sama ada GST akan dilaksanakan tahun depan, Perdana Menteri berkata, perkara itu akan diberitahu kemudian.

GST yang juga dikenali sebagai VAT atau cukai nilai tambah di kebanyakan negara ialah cukai penggunaan ke atas barangan dan perkhidmatan.

Perdana Menteri turut menyarankan agar Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerangkan kepada rakyat tentang kebaikan cukai itu.

“Apabila rakyat sudah faham dan ada penerimaan, maka itulah masa yang paling sesuai untuk kita laksanakan GST. Saya akan umumkan apabila tiba masanya,” kata Najib.

Beliau turut membayangkan bahawa orang ramai boleh menjangkakan berita baik pada belanjawan seterusnya kerana kerajaan sentiasa mengutamakan rakyat.

‘‘Sebagai contoh apabila kerajaan merasionalisasikan subsidi, ia tidak bermakna kami tidak mengutamakan rakyat sebaliknya bertujuan mengurangkan perbelanjaan kerajaan supaya lebih banyak projek dapat dilaksanakan pada masa akan datang,” jelas beliau.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0511&pub=utusan_malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm#ixzz2WdIeeTnX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment