GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Sunday, September 15, 2002

Kerajaan diharap turunkan cukai korporat tarik pelaburan langsung asing


ARKIB : 14/09/2002

Oleh: ABU HAKIM TANZIMUDDIN
KUALA LUMPUR 13 Sept. - Kerajaan di harap akan menurunkan kadar cukai korporat sekurang-kurangnya dua peratus lagi kepada 26 peratus dalam pembentangan Belanjawan 2003 pada Jumaat depan untuk menarik kemasukan pelaburan langsung asing.


Pengarah CPA Australia (Bahagian Malaysia), Viji Nair berkata, penurunan cukai itu penting untuk memastikan Malaysia kekal menarik sebagai destinasi pelaburan berbanding negara-negara serantau yang lain.

Beliua berkata, cukai korporat yang lebih rendah mampu mengimbangkan kos hartanah termasuk kos penyewaan dan tenaga kerja yang lebih tinggi di Malaysia berbanding negara serantau lain.

``Semua ini adalah berkait dengan usaha untuk menjadikan Malaysia kekal sebagai tempat yang menarik bagi melabur dan menjalankan perniagaan.

``Saya bukan membuat perbandingan tetapi sekadar memberi contoh, Singapura misalnya akan menurunkan lagi cukai korporat kepada 22 peratus tahun depan,'' katanya pada sidang akhbar sempena Belanjawan 2003 Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Presiden CPA Australia (cawangan Malaysia) Wong Mun Sum dan Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff, pengerusi eksekutif sebuah firma akauntan bertauliah, Khairuddin Hasyudeen & Razi (KHR).

Viji menambah, serentak dengan penurunan cukai korporat, kerajaan mungkin memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan pengguna (GST) yang lebih meluas.

Tindakan ini bertujuan memastikan kerajaan mendapat semula hasil yang hilang akibat penurunan cukai korporat itu serta kehilangan hasil lain termasuk penghapusan pelbagai tarif berpunca daripada pelaksanaan penuh Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA).

``Pendekatan mempunyai sistem percukaian GST yang meluas merupakan satu amalan biasa di kalangan banyak negara seperti Australia dan Singapura di rantau ini,'' katanya.

Sementara itu Nik Mohd Hasyudeen, ahli CPA Australia berkata, kerajaan sudahpun memulakan usaha meluaskan GST di negara ini dan ia dapat dilihat apabila kerajaan mengurangkan kadar perolehan sesebuah perniagaan yang boleh mengenakan GST dalam beberapa belanjawan sebelum ini.

Beliau berkata, ketika Belanjawan 2002 dibentangkan pada tahun lalu, kadar itu diturunkan dari RM300,000 kepada RM150,000 yang bermakna lebih banyak perniagaan mengenakan cukai GST.

Wong pula berkata, Belanjawan 2003 tidak seharusnya terus defisit seperti beberapa tahun lalu khususnya selepas krisis kewangan 1997/98.

Katanya, jumlah perbelanjaan tidak sepatutnya lebih daripada yang dapat ditampung oleh belanjawan berkenaan.

``Kerajaan mungkin boleh memperkenalkan insentif-insentif untuk merangsang industri tempatan terutamanya seperti sektor pemprosesan makanan yang menyaksikan import besar setiap tahun,'' katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0914&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm#ixzz2Wd2EDlj9 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment