2013/07/13 - 05:17:23 AM
Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan membolehkan kerajaan mengurangkan cukai korporat dan pendapatan untuk menggalakkan pelaburan, kata seorang pakar ekonomi.
Pakar ekonomi yang enggan dikenali itu, berkata GST itu akan membantu negara mengekalkan bakat untuk mendorong pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran global yang berdaya saing.
Beliau berkata pertumbuhan ekonomi negara akan membantu mencipta pekerjaan nilai tambah dan meningkatkan pendapatan.
“Bagaimanapun, sebagai rakyat, kita perlu memperbaiki diri kita untuk mendapat manfaat daripadanya,” katanya kepada BERNAMA di Kuala Lumpur, semalam.
Kadar tetap
Sungguhpun kerajaan belum menentukan kadarnya ketika Rang Undang-Undang GST dibentangkan, ia telah membayangkan kadar tetap akan bermula daripada empat peratus, katanya.
“Pada kadar ini, GST adalah lebih rendah daripada cukai jualan dan perkhidmatan pada masing-masing 10 peratus dan enam peratus,” katanya.
Syarikat dengan pendapatan tidak melebihi RM500,000 setahun juga mungkin dikecualikan daripada mengenakan GST, katanya.
“Ini bermakna, kita akan membayar harga yang lebih rendah untuk beberapa barangan dan perkhidmatan jika perniagaan itu menyalurkan penjimatan itu kepada rakyat.
“Dalam dunia sebenar, bagaimanapun, ini tidak selalunya terjadi, memandangkan beberapa perniagaan akan mengambil kesempatan dan menyimpan penjimatan itu sebagai keuntungannya,” katanya.
Pakar ekonomi itu berkata dengan GST, kerajaan akan mengumpulkan lebih banyak pendapatan dan aktiviti mengelak cukai boleh dikurangkan berikutan mekanisme cukai itu yang boleh mengekang perkara itu.
“Ia adalah cukai yang lebih adil kerana ia adalah cukai berdasarkan penggunaan. Lebih banyak anda pakai, lebih banyak anda bayar. Sebaliknya, semakin rajin anda bekerja, semakin banyak pendapatan anda dan anda patut menikmati cukai yang kurang,” katanya.
Berdasarkan kepada pengalaman Singapura, beliau berkata, lebih 80 peratus daripada GST yang dikumpulkan adalah daripada golongan kaya dan pelancong kerana nilai penggunaan pada umumnya lebih tinggi.
Sementara itu, RHB Research berkata GST akan membantu kerajaan melaksanakan struktur cukai yang lebih luas.
"Kini, asas cukai kerajaan adalah sempit, dengan hanya 11 peratus daripada syarikat berdaftar dan 14.8 peratus pekerja membayar cukai," katanya dalam satu nota penyelidikan baru-baru ini.
Asas cukai yang kecil, bersama dengan kebergantungan kepada hasil minyak, yang mewakili 34 peratus daripada jumlah perolehan pada 2012, akan membuatkannya lebih sukar bagi kerajaan untuk bergerak, katanya.
"Hasilnya, terdapat kapasiti terhad daripada kerajaan untuk mengurangkan cukai pendapatan korporat dan peribadi untuk menjadikan Malaysia lebih menarik kepada pelabur dan mengekalkan bakat," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment