GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, December 23, 2013

Pilih berhemah berbanding populis


Publication: HM
Date of publication: Dec 18, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 014
Byline / Author: Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: "Penjawat awam mesti melayan rakyat dengan mesra dan berkesan bukan saja lencana `senyum', tapi orang pun senyum sama maka natijahnya rakyat akan berasakan kepuasan terhadap kerajaan," kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri menegaskan 1.4 juta penjawat awam adalah tulang belakang dan teras pentadbiran mesti memberikan khidmat terbaik kepada pelanggan supaya persepsi terhadap kerajaan akan lebih meyakinkan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak memainkan peranan yang besar kerana penjawat awam sebagai barisan depan berada di hujung sistem pentadbiran kerajaan.

"Apabila kita sebut transformasi kerajaan ia terhad dari segi model untuk negara, model pembangunan, dasar, belanjawan, prakarsa kerajaan, tetapi betapa pentingnya penjawat awam jadi tunjang transformasi yang cukup bermakna.

"Jadi di samping kerajaan jaga kebajikan kakitangan awam dan tuan puan layan rakyat dengan mesra dengan berkesan maka negara akan bertambah maju lagi," katanya ketika merasmikan konvensyen tritahunan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) ke-26, di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib sekali lagi menegaskan pendekatan populis bukan cara pilihannya untuk mentadbir negara.

Sebaliknya beliau berkata, mentadbir secara berhemah dengan fokus mahu memaju dan menambahkan hasil pendapatan negara adalah kaedah terbaik.

"Realiti ini saya percaya anda semua sedar, saya boleh jadi Perdana Menteri yang berdiri atas landasan populis, tapi saya akan meranapkan dan merosakkan masa depan negara yang tercinta," katanya.

Beliau menjelaskan, menaburkan janji manis bahawa hutang negara boleh dijimatkan dan penurunan harga minyak sedangkan punca kewangan tidak dinyatakan bukan cara kerajaan sekarang mentadbir negara.

Katanya lagi, kerajaan yang ada hari ini akan terus mengembangkan ekonomi negara, menambahkan hasil dan itu akan memberi manfaat kepada penjawat awam.

Kerana itu, katanya, CUEPACS menyokong langkah kerajaan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Kita harus melihat bahawa negara ini mesti kita majukan terlebih dulu bila hasil negara bertambah dan alhamdulillah kebelakangan ini selepas kita memulakan perjalanan transformasi, hasil negara bertambah," katanya.

Sementara itu, beliau menyampaikan ucapan penghargaan kepada Omar yang tidak akan mempertahankan jawatannya.

Katanya, Presiden CUEPACS selama tujuh tahun itu amat disenangi kerajaan kerana lebih gemar pendekatan perbincangan berbanding konfrontasi yang membawa kebaikan kepada kebajikan penjawat awam.

"Datuk Omar rakan setia kepada kerajaan pilih jalan bermesyuarat, maka saya bagi penghormatan sebagai presiden yang amat disenangi kerajaan.

"Kerana bila ada persefahaman seperti ini maka akan lebih mudah untuk kita terus membangunkan negara," katanya.

No comments:

Post a Comment