GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, December 23, 2013

Pakar ekonomi, NGO sokong kaedah baru ganti BR1M


Publication: BH
Date of publication: Dec 21, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 012
Byline / Author: Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

Kuala Lumpur: Pakar ekonomi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersetuju satu kaedah baru lebih berkesan diperkenalkan bagi menggantikan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Mereka juga berharap kaedah itu merangkumi aspek mendidik rakyat untuk berdikari dan mengurangkan kebergantungan mereka kepada bantuan kerajaan.

Pakar ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam, berkata apa saja kaedah baru diperkenalkan menggantikan BR1M, ia perlu mengurangkan kebergantungan rakyat kepada kerajaan.

Ekonomi tidak kukuh

"Pemberian BR1M adalah baik, namun jika ia diberi setiap tahun, rakyat akan terus bergantung kepada BR1M saja. Ini boleh menyebabkan pembangunan ekonomi tidak kukuh dan tidak maju.

"Lebih baik gunakan wang itu untuk memperkasa murid sekolah supaya apabila keluar nanti mereka boleh berdikari dan tidak perlu bantuan kebajikan.

"Ini boleh dilakukan dengan meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris, Sains dan Matematik murid, selain memberi latihan dan pendedahan. Ada kalangan mereka tidak bekerja dan hanya bergantung kepada BR1M saja," katanya kepada BH.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abd Rahman, berkata jika BR1M perlu diteruskan, pembayaran perlu dilakukan secara berperingkat dan bukan sekali gus.

"Jika bantuan BR1M diberi sekali gus, ia hanya memberi kesan jangka masa pendek. Sebaliknya, jika diberi secara berperingkat seperti RM100 setiap bulan, ia boleh membantu meringankan beban rakyat berpendapatan rendah," katanya.

Malah, beliau juga mencadangkan bantuan wang tunai itu ditukar dalam bentuk kad khas yang mempunyai nilai tertentu.

Sokong perubahan

Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Datuk Zainal Abidin Sakom turut menyokong perubahan bagi mengurangkan kebergantungan rakyat kepada bantuan kerajaan.

"Bagi saya, lebih baik satu peratus daripada enam peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai 2015 dikumpulkan secara berasingan dan digunakan untuk membiayai pelbagai keperluan rakyat miskin, termasuk membayar bil elektrik dan air mereka," katanya.

Mereka mengulas kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, kelmarin, kerajaan mengkaji memperkenalkan kaedah baru membantu rakyat berpendapatan rendah bagi menggantikan BR1M.

No comments:

Post a Comment