GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Showing posts with label Mynewshub. Show all posts
Showing posts with label Mynewshub. Show all posts

Tuesday, April 22, 2014

Polis Tolak Perhimpunan Bantah GST Sebab Penganjur Tak Dapat Kebenaran DBKL



April 21, 2014

KUALA LUMPUR – Penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung lokasi perhimpunan bagi membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dirancang 1 Mei ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad, berkata polis terpaksa menolak permohonan penganjur bagi mengadakan perhimpunan itu kerana hanya memberikan notis pemberitahuan mengenai perhimpunan itu tanpa kebenaran daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur bagi lokasi perhimpunan.

“Penganjur sudah mengemukakan notis kepada pihak berkuasa untuk melakukan demonstrasi berkenaan di Dataran Merdeka tetapi kita terpaksa menolak permohonan berkenaan.

“Mereka gagal memenuhi syarat mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 yang memperuntukkan supaya pihak penganjur memberikan notis dan kebenaran daripada pemilik lokasi sebelum melakukan perarakan mahupun berkumpul,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zainuddin berkata, jika penganjur telah mendapat kebenaran daripada pihak berwajib bagi lokasi perhimpunan, polis sedia untuk mengawal selia perhimpunan itu bagi mengelakkan berlakunya ketegangan dan kekacauan.

Permohonan itu dikemukakan wakil penganjur antaranya Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md Ramli di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada kira-kira 2.30 petang hari ini.

- BERNAMA

Kementerian Kewangan Latih 330 Penceramah GST



April 20, 2014

TEMERLOH – Bagi meningkatkan pemahaman rakyat mengenai pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kerajaan melatih 330 penceramah untuk memberi penerangan GST di setiap kawasan Parlimen.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata setiap kawasan Parlimen akan diadakan empat program penerangan mengenai GST di empat kawasan berbeza oleh seorang penceramah yang dilatih itu.

“Setiap penceramah kita bekalkan dengan input berkaitan seperti dokumen, pemacu pena yang mengandungi graf dan maklumat berkaitan GST untuk digunakan dalam pembentangan multimedia mereka supaya rakyat mudah faham apabila ceramah diselitkan dengan input ini.

“Setiap kawasan Parlimen diperuntukkan RM10,000 oleh Kementerian Kewangan yang mana setiap program membabitkan RM2,500 dan ia akan diadakan di empat balai raya berbeza,” katanya kepada pemberita selepas memberi penerangan pelaksanaan CBP kepada Umno Cawangan Temerloh di sini hari ini.

Beliau berkata semua penceramah itu dipilih sendiri oleh Ketua Umno Bahagian di setiap kawasan Parlimen dan mereka menjalani latihan selama tiga hari.

“Penerangan GST di setiap kawasan Parlimen di seluruh negara ini akan dilaksanakan dalam masa dua bulan ini, bermula minggu ini manakala di Sabah dan Sarawak kita akan tetapkan tarikh lain kemudian,” katanya.

Ahmad berkata bagi kawasan yang belum memiliki penceramah yang sesuai, pihaknya telah memaklumkan kepada Ketua Umno Bahagian untuk menghantar penceramah terbaik untuk dilatih.

Dalam pada itu, beliau berkata tahap pemahaman rakyat mengenai GST masih rendah iaitu di bawah 50 peratus.

“Saya belum berpuas hati dengan perkara ini, tahap pemahaman rakyat masih rendah, kita harap dengan program penerangan yang akan diadakan nanti oleh penceramah dilatih, semakin ramai yang akan memahaminya,” katanya. – BERNAMA

Rakyat Sudah Boleh Terima Pelaksanaan GST



April 20, 2014

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata sebahagian besar rakyat sudah boleh menerima pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Katanya berdasarkan pemerhatian dalam program penerangan yang dilaksana oleh kementeriannya, rakyat sudah semakin memahami GST.

“Gerakan untuk memberi pemahaman ini berjalan sepanjang masa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Koperasi Setia Kuala Lumpur Berhad di sini hari ini.

Semasa membentangkan Bajet 2014 Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan GST akan dilaksana bermula April 2015.

CBP berkadar enam peratus itu akan menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang berkadar keseluruhan 16 peratus. – BERNAMA

Gabem Bantu Perjelas GST Kepada Rakyat



April 19, 2014

KOTA BHARU – Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) melalui lebih 200 badan bukan kerajaan (NGO) di bawahnya akan membantu kerajaan memperjelas kepada rakyat di peringkat akar umbi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dijadual dilaksanakan pada April 2015.

Menyatakan demikian Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, “Sesi penerangan di kalangan pemimpin Umno dan NGO sedang dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Pertubuhan Suara Wanita Malaysia (Wanita) dan Seminar Keusahawanan Gabem di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Kota Bharu Datuk Fatmi Mohd Salleh.

“GST merupakan satu sistem cukai yang lebih adil kerana ia meliputi semua peringkat pengguna,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak semasa membentangkan Belanjawan 2014 pada Oktober tahun lepas berkata cukai tunggal GST pada kadar 6 peratus akan menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan sedia ada yang berkadar keseluruhan 16 peratus. – BERNAMA

Thursday, April 17, 2014

Kastam Perhebat Sesi Penerangan CBP


April 17, 2014

PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan memperhebat sesi penerangan, termasuk menggunakan media sosial agar rakyat memahami dan menerima pelaksanaan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP) mulai April tahun depan.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Khazali Ahmad berkata pelbagai program seperti ceramah perdana akan diadakan di peringkat negeri untuk menyalurkan maklumat dan memberi penerangan kepada pelbagai lapisan masyarakat agar memahami CBP.

“Kita sudah menulis kepada setiausaha (kerajaan) negeri untuk mengadakan ceramah perdana di seluruh negara. Dijangka 20 hingga 30 ceramah perdana akan diadakan untuk memberi penerangan dan menguar-uarkan kepentingan serta kelebihan pelaksanaan CBP kepada orang ramai.

“Program seperti ini akan merungkai segala kemusykilan berhubung pelaksanaan CBP bagi memastikan pelaksanaannya dapat berjalan dengan lancar demi menjana kemakmuran ekonomi negara dan rakyat pada keseluruhannya,” katanya kepada pemberita selepas Ceramah Perdana CBP di sini hari ini.

Untuk memberi penjelasan dan penerangan sehingga ke peringkat akar umbi, beliau menambah JKDM akan mengadakan pelbagai program di peringkat daerah.

Kira-kira 2,000 penjawat awam menghadiri ceramah perdana yang dirasmikan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah. Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Untuk memperluas sesi penerangan, Khazali berkata JKDM akan menggunakan media sosial untuk mendekati generasi Y untuk merungkai segala kemusykilan dan persoalan mengenai pelaksanaan CBP pada April tahun depan.

Mengenai ceramah perdana kepada penjawat awam hari ini, beliau berharap ia dapat dimanfaatkan oleh penjawat awam untuk membantu kerajaan memberi penerangan kepada orang awam supaya mereka memahami dan mendapat maklumat tepat mengenai pelaksanaan CBP.

“Bagi tujuan pemahaman kepada pelaksanaan CBP, aspek yang paling penting adalah meningkatkan latihan dan publisiti kepada semua lapisan masyarakat.

“Dalam konteks ini, JKDM bersama Kementerian Kewangan telah dan secara berterusan mengadakan siri-siri publisiti dan latihan seperti konsultasi awam, lawatan industri dan perbincangan serta mengadakan konsultasi cukai dengan pihak konsultan seperti Malaysian Institute Of Taxation,” katanya. – BERNAMA

Saturday, April 12, 2014

Guna Media Sosial Terangkan Tentang GST

mynewshub

April 12, 2014

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memperhebatkan lagi penerangan tentang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada orang ramai terutama golongan muda negara melalui media sosial.

Ia berikutan tinjauan Pemuda UMNO baru-baru ini mendapati masih ada golongan muda menganggap penguatkuasaan GST tidak memberi faedah kepada kerajaan secara keseluruhan.

Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun berkata, tinjauan itu juga mendapati kebanyakan responden memilih penerangan GST perlu dibuat melalui media sosial dengan mengekalkan penerangan melalui media arus perdana.

“Mereka memilih Facebook sebagai saluran utama dan diikuti televisyen, laman web, surat khabar dan radio menjadi pilihan yang terakhir.

“Tinjauan oleh Akademi Pemuda UMNO itu mengambil dua kaedah pendekatan iaitu Tinjauan Umum dan Kajian Sentimen Media Sosial antara Oktober hingga April lalu,” katanya melalui satu kenyataan media semalam.

Mengulas lanjut, Khairul Azwan berkata, antara yang menjadi kehendak generasi muda berhubung pelaksanaan GST adalah memastikan penurunan cukai individu manakala insentif cukai ditambah dari semasa ke semasa.

Menurutnya, beberapa isu lain yang harus diberi tekanan adalah memastikan isu-isu ketirisan dalam Laporan Ketua Audit Negara dikelola dengan lebih baik dan pengecualian GST ke atas bil perkhidmatan internet.

Justeru, katanya, Pemuda UMNO akan sedaya upaya membantu pihak kerajaan dalam menerangkan tentang GST kepada masyarakat agar kesan serta impak positif dari GST ini akan sampai kepada kepada semua peringkat masyarakat.

Friday, April 11, 2014

Kerajaan Tidak Lantik MYEG Kutip Cukai GST


April 10, 2014

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan tidak melantik Syarikat MYEG Services Sdn. Bhd. (MYEG Services) untuk mengutip Cukai Barang Dan Perkhidmatan (GST) bagi pihak kerajaan.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, syarikat itu cuma menjalankan Projek Customs Online Service Tax Reporting (COSTR) iaitu satu Kaedah Pemantauan Data Jualan (Invoice dan Resit Jualan) secara elektronik atas talian (on-line).

“Melalui sistem yang akan dibangunkan ini, data jualan dirakam secara elektronik dari mesin juruwang dan dihantar secara elektronik ke server Electronic Monitoring System (EMS) secara real time kepada pusat data kastam.

“Sistem ini terpakai kepada sektor perkhidmatan yang melibatkan operator restoran, bar, snek bar, rumah kopi luar hotel dan operator kelab malam, dewan tari, kabaret, pusat kesihatan, rumah urut, rumah awam kelas 1 serta rumah bir kelas 1,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Khazali berkata, berdasarkan terma dan syarat-syarat projek itu, MYEG Servies hanya dibayar sekiranya pihak syarikat dapat membuktikan bahawa penggunaan sistem yang dibangunkan menjana peningkatan hasil daripada sektor-sektor berkenaan melebihi 14 peratus daripada hasil yang dicatat pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, syarikat itu tidak akan menerima apa-apa bayaran sekiranya peningkatan kutipan hasil adalah kurang daripada 14 peratus.

Beliau menerangkan, projek itu tidak melibatkan sebarang kos kepada kerajaan dan pelesen cukai perkhidmatan bagi sektor berkenaan dari segi pembangunan kerana kos terlibat ditanggung sepenuhnya oleh syarikat itu. – mynewshub.my

Tuesday, April 8, 2014

SEGERA: Dewan Rakyat Lulus Rang Undang-Undang GST


April 7, 2014

KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat pada Isnin meluluskan Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

Rang undang-undang itu diluluskan menerusi undi belah bahagi sebanyak dua kali dengan undian kali pertama pembangkang memperoleh 81 undi berbanding penyokong kerajaan mendapat 118 undi.

Undian kali kedua menyaksikan pembangkang kekal 81 undi, manakala penyokong kerajaan memperoleh 119 undi.

Terdahulu ketika menggulung perbahasan rang undang-undang yang mewujudkan peruntukan bagi pengenaan dan pemungutan cukai barang dan perkhidmatan (GST) itu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata GST akan memberi implikasi positif kepada nilai eksport dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Eksport akan meningkat 0.5 peratus kerana barang-barang eksport akan jadi murah dan kompetitif, dan KDNK secara keseluruhan akan meningkat kepada 0.3 peratus,” katanya.

Ahmad berkata struktur GST di Malaysia merangkumi pengecualian terhadap pelbagai jenis barang dan perkhidmatan yang bertujuan memenuhi keperluan rakyat di negara ini.

Ini berbeza di Singapura yang mengenakan GST ke atas semua jenis barang dan perkhidmatan kecuali perkhidmatan kewangan serta rumah kediaman, katanya.

Kadar GST sebanyak enam peratus yang ditetapkan kerajaan adalah bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa setelah mengambil kira beberapa faktor termasuk pengurangan cukai individu, cukai korporat dan bantuan kewangan tunai, jelasnya.

Selain itu, Ahmad berkata kerajaan akan mempertimbangkan cadangan untuk tidak menggunakan terma ‘caj perkhidmatan’ bagi perkhidmatan di hotel dan restoran memandangkan terdapat pengguna keliru antara cukai perkhidmatan yang dikenakan kerajaan dan pengusaha.

“Apa yang penting sekarang ialah memberi penerangan kepada pengguna mengenai caj perkhidmatan dan perbezaannya dengan cukai barang dan perkhidmatan.

“…dan ada baiknya cadangan itu dibincangkan agar caj perkhidmatan ditukar nama sama ada menggunakan terma caj restoran, caj hotel atau tips,” kata Ahmad.

Beliau berkata langkah itu juga sebagai usaha untuk memastikan tidak ada pengusaha restoran atau hotel yang mengambil kesempatan dengan mengenakan caj tersebut sehingga mengelirukan pengguna.

Oktober lepas, semasa pembentangan Bajet 2014 di Parlimen, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelaksanaan CBP berkuat kuasa 1 April 2015 pada kadar enam peratus, menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang berkadar keseluruhan 16 peratus.

Persidangan dewan bersambung esok.

———————————

GST sebenarnya dapat mendidik pengguna menjadi lebih berhemat. Sekiranya pengguna tidak mahu membayar lebih GST maka hadkan perbelanjaan kepada yang perlu sahaja. Ini berdasarkan kepada GST adalah cukai penggunaan di mana lebih banyak anda pakai atau beli lebih banyak anda bayar.

Orang berada mungkin akan mengguna lebih. Ini secara tidak langsung dapat menyumbang kepada pendapatan negara yang akhirnya dapat digunakan untuk kepentingan rakyat juga.

Antara kebaikan lain GST ialah kadar GST adalah lebih rendah (enam peratus) berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada kadar 10 peratus dan enam peratus. SST adalah cukai berganda, sebaliknya GST adalah sistem satu cukai terhadap barangan dan perkhidmatan. Di bawah SST pengguna terpaksa membayar harga yang lebih mahal kerana cukai jualan merupakan sebahagian daripada kos yang akan dimasukkan ke dalam harga jualan dan dikenakan cukai perkhidmatan apabila menyediakan perkhidmatan kepada pengguna.

Pada masa sekarang, pengguna tanpa mengira kelas pendapatan telah membayar cukai jualan dan cukai perkhidmatan ke atas perbelanjaan harian mereka. Namun cukai yang dibayar itu terutamanya cukai jualan tidak tercatat di dalam resit kerana ia terselindung di dalam harga bayaran. Apabila GST dilaksanakan beban cukai yang ditanggung akan turun. Ini bermakna dengan pelaksanaan GST kebanyakan barangan dan perkhidmatan akan mengalami penurunan harga. Yang penting ialah apabila GST dilaksanakan pihak peniaga seharusnya menyalurkan penjimatan tersebut melalui penurunan harga.

Kajian yang dijalankan mendapati Indeks Harga Pengguna (HIP) akan mengalami penurunan sebanyak 8-10 peratus. Kita yakin dengan penubuhan jawatankuasa pemantau GST yang ditubuhkan kerajaan nanti dapat memastikan GST dilaksanakan dengan lancar dan berkesan. Kerajaan juga dari masa ke semasa akan menilai impak sosial terhadap rakyat kesan daripada pelaksanaan GST.

Pengguna juga harus faham bahawa GST tidak dikenakan ke atas barangan makanan asas, pengangkutan awam, tol, pembelian dan penyewaan rumah kediaman, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan, pengeluaran pasport dan lesen, penggunaan elektrik bagi 200 unit pertama bagi pengguna domestik dan pelbagai barangan asas dan perkhidmatan lain.

GST dapat meningkatkan aliran pendapatan negara. Kerajaan pusat dijangka akan menjana lebih banyak pendapatan dengan pelaksanaan GST. Pendapatan kerajaan yang bertambah ini dapat digunakan untuk perbelanjaan pembangunan dan kesejahteraan rakyat. Lebih ramai orang miskin akan dapat dibantu. GST juga membolehkan kerajaan mengurangkan cukai korporat dan pendapatan.

Ini dapat menggalakkan pelaburan, mendorong pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran global yang berdaya saing. Pertumbuhan ekonomi negara pula akan mencipta pekerjaan dan meningkat pendapatan. Pelaksanaan GST di 160 negara di dunia membuktikan GST adalah sistem percukaian yang baik, cekap dan adil kerana semua orang membayar cukai berdasarkan penggunaan.

Kesimpulan, GST membantu memperluaskan asas percukaian negara, memastikan negara mempunyai sistem cukai yang lebih berdaya tahan serta memperbaiki pematuhan dalam urusan kutipan cukai kerajaan. Agensi antarabangsa seperti Bank Dunia dan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) sudah lama mengingatkan kerajaan bahawa negara ini mempunyai sumber percukaian yang kecil dan tidak dapat bertahan lama untuk jangka masa panjang. Hanya 1.5 juta sahaja pembayar cukai di negara ini, manakala sumber minyak pula tidak akan dapat bertahan lama.

Monday, March 24, 2014

Rakyat Diyakini Terima Baik Perlaksanaan GST


March 22, 2014 

PARIT – Rakyat keseluruhannya diyakini menerima baik pelaksanaan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) selepas pelbagai program penerangan mengenai keperluan sistem itu diadakan di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Beliau berkata setakat ini kerajaan mendapati rakyat memberi reaksi cukup baik kerana penerangan mengenai GST pada kadar 6 peratus berbanding cukai jualan dan perkhidmatan sebanyak 16 peratus ketika ini, disampaikan dalam cara yang mudah difahami.

“Kita ada masa lebih kurang setahun lagi sebelum ia (GST) dilaksanakan pada April 2015. Dengan rancangan yang telah kita atur sama ada di dalam dan luar bandar untuk menjelaskan keperluan GST, saya jangka apabila tiba tempoh pelaksanaannya, insyaAllah perkara (kefahaman rakyat) ini dapat kita selesaikan,” katanya kepada pemberita pada program Karnival Ke Desa dan Kembara Jalinan Kasih di Bota Kiri di sini hari ini.

Ibrahim berkata Jabatan Penerangan merupakan agensi dipertanggunjawab menyalurkan maklumat kerajaan, dis amping itu pegawai penerangan di seluruh negara dilatih supaya dapat memberi penjelasan terperinci mengenai GST kepada rakyat.

“Kita menyenaraikan barangan atau perkhidmatan yang dikenakan GST secara terperinci semasa memberi penjelasan kepada masyarakat luar bandar agar mereka mudah memahami sistem tersebut.

“Barangkali mereka sebelum ini tidak dimaklumkan bahawa 160 negara telah pun melaksanakan GST dan kesemua negara ini telah maju ke hadapan. Jadi sudah sampai masanya Malaysia juga melaksanakan sistem percukaian yang lebih baik lagi bagi memastikan kesejahteraaan negara dapat kita lalui bersama,” katanya.

Ibrahim berkata peniaga juga digalakkan mengambil bahagian dalam program penerangan itu agar mereka dapat melaksanakan GST dengan lebih baik.

Mengenai karnival selama dua hari itu, beliau berkata ia diadakan bagi merapatkan hubungan kakitangan jabatan dengan masyarakat luar bandar.

Antara aktiviti dijalankan adalah bacaan yasin, berzikir dan solat hajat selain mengunjungi rumah penduduk yang tinggal dalam serba kekurangan, katanya.

Pada majlis itu beliau turut menyampaikan dua buah van termasuk sebuah van jenazah untuk kegunaan qariah Masjid Ar Rahman Ekor Bota, Bota Kiri. – BERNAMA

Wednesday, March 19, 2014

15,542 Pengusaha Restoran Dijangka Kutip GST


KUALA LUMPUR – Sebanyak 15,542 restoran dijangka mengutip Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) apabila ia dilaksanakan 1 April tahun depan.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata jumlah itu meningkat berbanding ketika cukai perkhidmatan dikenakan iaitu 4,357 restoran.
“GST merupakan satu daripada langkah kerajaan menyusun semula struktur percukaian negara supaya lebih telus, cekap dan mesra peniaga,” katanya menjawab soalan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) pada Persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata, bagi memastikan kepentingan semua lapisan masyarakat diambil kira, GST akan dikecualikan bagi kategori barangan keperluan asas dan perkhidmatan asas seperti kesihatan, pendidikan swasta, pengangkutan awam, tol dan rumah kediaman.
Ahmad berkata, kajian Jabatan Kastam Diraja Malaysia mendapati golongan berpendapatan RM1,000 ke bawah membelanjakan lebih 33.4 peratus daripada pendapatan mereka ke atas makanan dan minuman manakala 31.4 peratus lagi bagi perumahan, air, elektrik dan bahan api lain.
Ahmad berkata, dengan jumlah 64.8 peratus itu, hampir kesemua barangan dan perkhidmatan itu dikecualikan daripada GST.
Selain itu, beliau berkata sehingga bulan lepas, 4,967 program kesedaran dan latihan GST dijalankan dan dihadiri 271,288 individu terdiri daripada golongan sasar iaitu pengguna, jabatan kerajaan, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.
“Bagi golongan peniaga yang merupakan kumpulan kritikal dalam pelaksanaan GST, kerajaan telah merangka dan sedang menjalankan program taklimat dan latihan melalui tiga kaedah iaitu sama ada dianjurkan oleh kerajaan atau pihak swasta ataupun secara bersama oleh kerajaan dan swasta,” katanya.
Sementara itu, ketika ditemui di lobi Parlimen, Ahmad berkata kerajaan akan memberi tambahan bantuan tunai secara ‘one-off’ atau sekali pembayaran berjumlah RM300 kepada penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tahun depan bagi menampung kenaikan Indeks Harga Pengguna (IHP) akibat pelaksanaan GST.
Beliau berkata jumlah bantuan itu akan membabitkan peruntukan RM2.5 bilion yang merupakan sebahagian kutipan hasil GST pada tahun terbabit.
“Jika kerajaan umum nilai BR1M tahun depan RM700, maka tambah RM300 akan dapat RM1,000, jika RM800, maka nilainya RM1,100, jika lebih maka lebihlah lagi rakyat dapat (BR1M),” katanya.
Beliau berkata, mekanisme lain yang akan dilaksanakan ialah pengurangan cukai pendapatan persendirian sebanyak satu hingga tiga peratus membabitkan peruntukan RM2.44 bilion. – BERNAMA

Wednesday, March 12, 2014

GST: Tentukan Kaedah Terbaik Beri Penerangan



March 11, 2014

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menentukan kaedah terbaik dan berkesan dalam memberi penerangan mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan April tahun depan, kata Tan Sri Shahrir Abdul Samad (BN-Johor Baharu).

Beliau berkata ini bagi memastikan rakyat dan golongan peniaga benar-benar faham mengenai cukai itu dan impaknya kepada kehidupan seharian mereka.

“Bukan sahaja buat majlis penerangan tetapi kena tentukan kaedahnya difahami, pendekatan penerangan perlu dipantau, barulah kita boleh tahu sama ada penerangan mudah difahami atau tidak,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Shahrir berkata kerajaan juga mungkin boleh membuat sesi penerangan yang berbeza khusus untuk golongan peniaga yang akan melaksanakan cukai itu terhadap barangan mereka.

“Bila maklumat daripada penerangan kepada ahli perniagaan disampaikan kepada pengguna atau pemimpin masyarakat, ia akan timbulkan salah faham dan cara penyampaiannya tidak berkesan, kita yang dengar pun tak faham,” katanya.

Beliau berkata bancian juga boleh dibuat untuk menentukan sama ada mereka yang diberi penerangan itu benar-benar jelas mengenai GST.

“Tanya (dalam) bancian adakah anda faham tentang soal GST, setelah diberi penerangan masih tidak faham juga, panggillah pegawai daerah atau ketua kampung yang dah dengar penerangan cuba terangkan balik,” katanya.

Persidangan Dewan bersambung esok. – BERNAMA

Monday, March 10, 2014

REHDA: Laksana GST Beransur-Ansur



March 10, 2014

PETALING JAYA – Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) mencadangkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan secara beransur-ansur kerana ia akan memberi kesan kepada kemampuan pengguna membeli rumah.

Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Pelaburannya, Datuk Ng Seing Liong, berkata enam peratus GST, yang akan dilaksanakan mulai 1 April 2015 adalah agak tinggi dan akan membebankan pengguna.

“Margin pemaju juga akan menjadi lebih rendah dengan pelaksanaan GST,” katanya dalam taklimat media mengenai ‘GST – Kesan Ke Atas Industri Perumahan’ di sini hari ini.

Ng berkata, REHDA telah mengemukakan beberapa cadangan mengenai GST kepada kerajaan dan sedang menunggu maklum balas.

“REHDA telah menggesa Kementerian Kewangan memberi pertimbangan serius kepada cadangan terbabit kerana pelaksanaan GST dalam bentuk yang ada sekarang akan menyebabkan beban kewangan, menambah kepada kos pembangunan dan seterusnya kenaikan harga rumah serta akhirnya akan ditanggung pembeli,” kata Ng.

Beliau berkata, REHDA mahu kerajaan memperluaskan barangan dan perkhidmatan berkadar sifar kepada komponen kos utama projek pembangunan hartanah seperti batang keluli, besi, simen, konkrit dan agregat pasir atau menimbangkan bantuan kepada pembekal bagi membantu mereka mengatasi masalah aliran tunai.

“Pembekal terbabit mungkin melepaskan kos dalam bentuk harga yang lebih tinggi,” katanya.

Industri itu juga mahu duti setem ke atas pemindahan hartanah dikekalkan pada kadar maksimum tiga peratus sekarang, bukan empat peratus seperti dicadangkan, katanya.

Ng bekata, pelaksanaan GST akan menambah selapis lagi kos kerana sudah wujud pelbagai ‘cukai’ dikenakan seperti cukai keuntungan hartanah, levi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan dan cukai perkhidmatan.

Cadangan lain, katanya, ialah membenarkan pemaju menggunakan peruntukan tetap – sama ada keluasan terbina , keluasan tanah (ekar) atau sebarang kaedah (pengasingan antara pembangunan kediaman dan komersil – dalam menuntut baki cukai input.

Untuk perjanjian pembelian tanah yang dilakukan sebelum April 2015, bayaran diterima ke atas invois yang dikeluarkan sebelum tarikh itu tetapi bekalan tanah diperolehi selepas tarikh berkenaan, tidak dimasukkan ke dalam GST, katanya. – BERNAMA

Monday, February 17, 2014

Jelajah Negeri Pahang Jelaskan GST Kepada Belia



February 16, 2014

KUANTAN – Majlis Belia Pahang akan menjelajah ke semua daerah di negeri itu bagi membantu kerajaan menjelaskan tentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada golongan muda.

Presidennya Khairul Amin Osman berkata mereka menyasarkan untuk mengumpul sekurang-kurangnya 100 belia pada satu-satu sesi penjelasan di setiap daerah.

“Usaha ini bagi membolehkan belia memahami lebih lanjut tentang GST dan kemudian menjelaskan kepada masyarakat di kawasan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas majlis penerangan GST peringkat daerah Kuantan anjuran persatuan itu, di sini semalam.

Katanya bermula dengan daerah Kuantan, jelajah itu akan diteruskan ke daerah lain dalam masa terdekat.

“Kita jangka keseluruhan sesi penerangan ke 11 buah daerah itu dapat diselesaikan pada bulan Jun depan,” katanya.

Cara itu katanya diharapkan dapat mewujudkan 1,100 belia yang arif mengenai GST dan berperanan memberi penjelasan kepada masyarakat di akar umbi.

Dalam pembentangan Bajet 2014 pada Oktober tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelaksanaan GST pada kadar enam peratus bermula April 2015.

Pelaksanaan GST itu menggantikan dua cukai sedia ada iaitu cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang berkadar keseluruhan 16 peratus. – BERNAMA

Monday, January 27, 2014

Cadang Info Khas GST Di TV & Pawagam


January 27, 2014

KUALA LUMPUR – Slot khas di televisyen dan iklan di pawagam adalah antara cadangan yang diutarakan kepada kerajaan sebagai cara untuk memberi penerangan mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada rakyat.

Hasil tinjauan rawak Bernama di empat lokasi tumpuan ramai di sekitar ibu negara mendapati 45 peratus daripada 56 responden mahukan kerajaan menyediakan slot khas berdurasi pendek di semua stesen televisyen, juga radio berhubung pelaksanaan GST mulai April 2015.

Sebanyak 18 peratus responden yang majoritinya golongan muda pula berpendapat iklan pendek di pawagam boleh memberi informasi pantas dengan pendekatan lebih santai dan efektif.

Tinjauan di Kuala Lumpur Sentral, Hospital Kuala Lumpur, stesen bas Pekeliling dan Jalan Semarak turut mendapati 10 peratus responden menyarankan kerajaan menggunakan iklan transit di pengangkutan atau lokasi awam.

Sementara iut 15 peratus responden mahukan wakil kerajaan turun padang mengadakan seminar terbuka untuk soal jawab serta debat berhubung GST, dan dua peratus responden berpendapat rakyat perlu mengambil inisiatif sendiri mendapatkan maklumat GST.

Seorang pesara swasta, P Nadesan, 68, mengakui penerangan kerajaan berkaitan pelaksanaan GST masih kurang dan maklumat tidak sampai dengan tepat malah mengelirukan.

Beliau yang berasal dari Klang berkata slot khas mengenai GST boleh ditayangkan sekurang-kurangnya dua kali seminggu pada waktu puncak di semua saluran televisyen.

“Boleh ditayangkan juga semasa iklan, tidak perlu lama asalkan semua maklumat penting diberitahu dan iklan itu juga perlu pelbagai serta kreatif…jangan sama sahaja,” katanya.

GST akan diperkenalkan kerajaan dengan kadar enam peratus, menggantikan sistem cukai kepenggunaan sedia ada yang termasuk cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) sebanyak 16 peratus.

Sehingga 2009, GST dilaksanakan di 146 negara – Perancis menjadi negara pertama melaksanakannya pada 1954.

Dalam kalangan negara Asean, Indonesia negara yang terawal melaksanakan GST iaitu pada 1984, diikuti negara lain kecuali Malaysia, Brunei dan Myanmar.

Seorang responden berusia 55 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Remy berkata slot GST itu perlu dipanelkan oleh golongan profesional, seperti pakar ekonomi dan kewangan, bukan golongan politik.

Katanya kerajaan tidak boleh bergantung sepenuhnya dengan kaedah penyebaran maklumat melalui Internet memandangkan ia boleh dimanipulasi golongan tidak bertanggungjawab dan bukan seorang pakar.

“Saya dapat maklumat pun dari kedai-kedai kopi, yang banyak negatifnya, jadi kerajaan perlu jelaskan adakah benar atau tidak GST ini membebankan rakyat,” katanya.

Mahasiswa universiti swasta, Nur Juliani Abdul Jabar, 24, berkata iklan pendek di pawagam adalah lokasi penyebaran maklumat yang strategik memandangkan tempat itu paling gemar dikunjungi golongan muda.

“Kalau golongan muda dididik dan didedahkan dengan maklumat GST, maka mereka juga boleh menjadi ejen penyampai maklumat GST kepada anggota keluarga dan rakan yang lain,” katanya.

Sementara itu, penjawat swasta Mohd Jofri Shah, 23, berpendapat penjual barang makanan asas, perkhidmatan pengangkutan dan perkhidmatan kerajaan perlu mempamerkan logo atau papan tanda bahawa premis itu tidak mengenakan GST, sewaktu peringkat permulaan pelaksanaannya nanti.

Menurut Kementerian Kewangan, antara barang makanan asas yang tidak dikenakan GST ialah beras, gula, garam, tepung, minyak masak, kacang dhal, rempas ratus, ikan masin, cencalok, budu dan belacan.

Selain itu, perkhidmatan yang dikecualikanialah bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna, pengeluaran pasport, kesihatan, pembelajaran di sekolah, pengangkutan serta perkhidmatan kewangan terpilih.

“Ini membantu mengelak pengguna daripada ditipu penjual barang serta penyedia perkhidmatan yang tidak dikenakan GST,” kata Mohd Jofri.

Seorang doktor perubatan yang mahu dikenali sebagai Dr Jeremy, 40, berkata kerajaan perlu meluaskan operasi penerangan mereka sehingga ke kawasan luar bandar bagi memastikan ia benar-benar difahami ketika pelaksanaannya kelak.

Beliau berkata, jika ia tidak difahami dengan jelas, maka sistem itu akan disalah anggap sebagai sistem cukai baharu yang membebankan mereka.

Peniaga alat telekomunikasi, Shawn Teh, 24, pula berkata kerajaan boleh menggunakan sistem dalam talian 24 jam khas mengenai GST bagi membolehkan rakyat berhubung secara terus menerusi telefon atau Internet.

“Boleh juga gunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk hantar kepada rakyat menjelaskan tentang GST,” katanya.

Kakitangan kerajaan, yang hanya mahu dikenali sebagai Rosmah, 57, berkata rakyat perlu berubah dan berusaha mendapatkan sendiri maklumat berkaitan GST memandangkan banyak kemudahan teknologi yang boleh digunakan pada masa kini.

“Rakyat sendiri kena ambil tahu dan jangan percaya dengan pihak tertentu, jangan kita tertipu kerana sikap tidak ambil tahu kita,” katanya. – BERNAMA

Monday, January 13, 2014

Penceramah GST Akan Digerak Masa Terdekat



January 12, 2014

MELAKA – Kerajaan akan menggerakkan kumpulan pencemarah cukai barang dan perkhidmatan (GST) di peringkat parlimen dalam masa terdekat bagi memperjelas secara terperinci pelaksanaannya kepada rakyat.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata kumpulan yang dianggotai pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Kewangan itu dijangka melaksanakan tugas berkenaan selepas tamat Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional peringkat negeri yang dilaksana secara berperingkat di seluruh negara pada 2 Feb depan.

“Penjelasan mengenai GST ini akan terus diperluas di peringkat parlimen dan dewan undangan negeri kerana kita tidak mahu isu ini dimomokkan pembangkang sehingga mengelirukan rakyat.

“Kita juga tidak mahu tertinggal untuk melaksanakan sistem GST ini kerana ia adalah sistem percukaian yang paling baik di dunia, yang mampu menambah dan meningkatkan ekonomi negara di masa depan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri seminar itu hari ini, yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Beliau juga berkata penjelasan berbentuk ceramah akan diadakan di parlimen tertentu mengikut keperluan dan kumpulan sasaran.

Bagaimanapun, pihak yang ingin mendapatkan penjelasan terperinci berhubung GST diminta menghubungi JKDM negeri masing-masing, katanya.- BERNAMA

Tuesday, January 7, 2014

Pelaksanaan GST: Gaji Pekerja Mesti Dinaikkan



January 7, 2014

KUALA LUMPUR – KPMG Malaysia menggesa sektor awam dan swasta supaya menaikkan gaji pekerja mereka secara berperingkat-peringkat berikutan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) April depan.

Rakan Pengurusan baharu dilantik Johan Idris mencadangkan kenaikan enam peratus setahun bagi membantu pekerja menangani kos sara hidup yang tinggi di Malaysia.

“Enam peratus adalah permulaan yang baik terutama selepas pelaksanaan GST, tarif baharu elektrik, pemotongan subsidi petrol dan kadar bahari tol,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran edisi kedua penerbitan ‘Kajian Ke Atas Pengarah Bukan Eksekutif 2013 – Profil dan Gaji’.

Johan berkata pelaksanaan GST tidak boleh dielakkan kerana Malaysia adalah sebuah negara sedang membangun. – BERNAMA

GST Bakal Menyumbang 0.3% Kepada KDNK



January 6, 2014

PUTRAJAYA – Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan bermula 1 April 2015, mampu menyumbang pertambahan 0.3 peratus kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK), dan eksport sebanyak 0.5 peratus pada 2015/2016.

Beliau berkata, peningkatan eksport itu disebabkan harga barangan yang dieksport tidak dikenakan GST, menjadikan harga barangan eksport negara lebih kompetitif dan laris di luar negara.

“Pelaksanaan GST yang lebih telus dan adil ini juga akan mampu mengekang aktiviti ‘wang gelap’ pada kadar peratusan tertentu,” katanya pada sidang mediadi sini, Isnin.

Menurut Ahmad, negara membangun seperti Malaysia mempunyai kadar peratusan wang gelap atau aktiviti pengelakan cukai, yang tinggi iaitu sekitar 30 peratus daripada keseluruhan KDNK, berbanding negara maju sekitar 10 hingga 15 peratus.

Beliau berkata, sejajar pengurangan aktiviti wang gelap, ia akan membantupertumbuhan KDNK serta hasil negara akan turut bertambah dan ini merupakan manfaat jangka masa panjang yang akan dinikmati negara melalui pelaksanaan GST.

Beliau berkata, kerajaan tidak menafikan terdapat impak sementara ke atas harga barangan pada awal pelaksanaan cukai tersebut, namun dalam tempoh beberapa bulan hingga ke setahun, harga barangan akan kembali stabil kerana GST mampu mengurangkan kos perniagaan.

“Pada pihak pengguna pula mereka tidak akan menerima kesan penyebatian dan penurunan seperti yang dialami semasa pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan yang telah menyebabkan mereka menanggung beban cukai berlebihan,” katanya.

Ahmad turut memaklumkan bahawa kerajaan menjangkakan negara akan mengumpul pendapatan bersih hasil GST sebanyak RM3.7 bilion pada 2015 dan RM9.09 bilion pada 2016.

Pada masa yang sama, Ahmad mengumumkan Kementerian Kewangan akan meneruskan seminar ‘Pemerkasaan Ekonomi Nasional’ yang bermatlamat untuk menerangkan mengenai pelaksana GST kepada rakyat di setiap negeri, yang telah pun bermula sejak Disember lepas, dan berakhir pada 2 Februari di Kuala Lumpur.

“Seminar ini akan turut memberi penerangan kepada rakyat mengenai isu semasa ekonomi dan 11 langkah penjimatan yang dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.

Seminar itu menyasarkan kehadiran 2,000 hingga 3,000 orang di setiap negeri daripada lima kumpulan utama iaitu pegawai kerajaan, pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan, belia dan penuntut pengajian tinggi serta badan swasta dan syarikat berkaitan kerajaan. – BERNAMA

Thursday, January 2, 2014

GST 6% Akan Di Guna Pakai Untuk Tempoh Yang Lama





January 2, 2014

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus, dijangka diguna pakai untuk satu tempoh yang lama, kata Pengarah Bahagian Cukai Dalam Negeri Jabatan Kastam Subromaniam Tholasy.

Beliau berkata kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk menaikkan kadar peratusan itu secara mendadak tanpa memberitahu orang ramai bagi mengelak ia menyebabkan kejutan kepada rakyat.

“Saya percaya cukai tunggal – GST – yang bakal menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST), akan dikenakan ke atas rakyat Malaysia untuk satu tempoh yang panjang.

“Namun, saya tidak pasti tempoh pelaksanaan enam peratus itu,” katanya kepada Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2014, mengumumkan pelaksanaan GST berkuat kuasa 1 April 2015, dengan cukai itu dilihat lebih telus dan seragam berbanding SST yang dikenakan ketika ini.

Cukai SST dikatakan mempunyai kelemahan seperti cukai bertindih, cukai berganda dan cukai bertingkat yang menjadi punca harga sesetengah barangan dan perkhidmatan menjadi mahal.

Menurut Subromaniam ada sesetengah pihak menyifatkan kadar peratusan cukai GST enam peratus itu tinggi.

“Ia akan dipulangkan semula dalam bentuk pengurangan cukai termasuk cukai korporat dan juga cukai pendapatan individu,” katanya, sambil menambah bahawa kerajaan mengenakan kadar itu setelah membuat pengiraan terperinci.

Beliau berkata pada kadar enam peratus, GST dapat membantu mengimbangi semula jumlah kutipan cukai negara.

Kerajaan menjangkakan pada 2020 ekonomi negara bakal mencapai lebihan perbelanjaan berikutan pelaksanaan GST pada 2015, di samping defisit negara yang akan berkurang tahun demi tahun, tambahnya.

Oleh itu, kerajaan sedia untuk memberikan pemahaman mengenai pelaksanaan GST kepada orang ramai sebelum tempoh pelaksanaannya.

Subromaniam berkata kerajaan mahu golongan belia seperti mahasiswa dan persatuan tampil membantu kerajaan dengan berkongsi pemahaman mereka mengenai cukai tersebut kepada rakyat.

“Tempoh 16 bulan masih tidak mencukupi bagi pihak kerajaan untuk memberikan pendidikan kepada masyarakat, dan oleh itu kerjasama orang ramai sangat penting.

“Media massa juga memain peranan penting dalam penyebaran maklumat mengenai pelaksanaan GST di negara ini,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Cukai, Kementerian Kewangan Malaysia (MoF), Khairul Annuar Osman berkata pihak yang berminat untuk bekerjasama dengan kerajaan seperti menjayakan forum mengenai GST, boleh
berbincang dengan MoF.

Segala perbelanjaan yang terlibat dalam menjayakan program tersebut akan dibiayai MoF menerusi peruntukkan RM100 juta yang diumumkan dalam Bajet 2014 bagi tujuan latihan GST, katanya.

“Buat masa ini, kerajaan berjaya mengumpul beberapa penjawat awam, termasuk anggota politik yang bersedia berkongsi pemahaman GST mereka dengan rakyat,” katanya sambil menambah penyebaran maklumat GST penting, terutama kepada pihak yang bakal dikenakan cukai tersebut agar mereka tidak keliru.

Khairul berkata pelaksanaan GST akan memberi impak kepada gaya hidup rakyat dan beliau menasihatkan agar mereka bijak berbelanja serta hanya berbelanja mengikut kemampuan.

“Memang akan berlaku kenaikan harga ke atas kebanyakan barang, tetapi asas diperlebar tidaklah begitu besar dan kerajaan telah memberikan jaminan untuk memantau kenaikan harga yang luar biasa,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak bimbang akan kenaikan harga yang mendadak kerana kerajaan bakal mengeluarkan garis panduan harga barang yang biasa dibeli oleh pengguna, termasuk harga bagi kenderaan.

“Senarai tersebut dijangka dikeluarkan tiga bulan sebelum pelaksanaan GST,” katanya. – BERNAMA

Thursday, November 28, 2013

Beri Ruang Kerajaan Baiki Sistem Cukai Negara




November 28, 2013

GEORGETOWN – Rakyat harus bersikap adil dan memberi peluang kepada kerajaan untuk menerang dan menjelaskan mengenai pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke peringkat akar umbi dalam usaha menambah baik sistem percukaian negara.

Pegawai Kemajuan Negeri Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Syed Shaari Syed Abdullah berkata rakyat perlu memberi masa dan ruang kepada kerajaan untuk memperjelas perkara itu dan jangan mudah mempercayai tohmahan pihak tertentu.

“Kalau kita lihat di negara mana pun memang GST ini satu sistem yang lebih adil. Cuma di negara kita ni kita belum biasa lagi, jadi adalah berbagai tohmahan. Semua orang tak suka dikenakan cukai. Kalau boleh nak jadi macam Brunei tidak payah dikenakan cukai.

“Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan GST ini. Sebab itu, kerajaan mengambil masa untuk melaksanakannya. Kita pun kena ‘adil’ kepada kerajaan, bagi peluang untuk memperbaiki sistem ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taklimat GST bertajuk ‘Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksanakan Janji’, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Ishak Abdullah.

Kira-kira 300 peserta daripada jabatan dan agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan Komuniti 1Malaysia menghadiri taklimat anjuran bersama anjuran bersama Pejabat Pembangunan Persekutuan Pulau Pinang dan Jabatan Penerangan Pulau Pinang itu.

Sementara itu, Ishak berkata sesi penerangan pelaksanaan GST itu akan berterusan dari semasa ke semasa dan memfokuskan kepada penjawat awam kerana mereka adalah jurucakap tidak langsung kerajaan.

Beliau berkata sesi penerangan di peringkat akar umbi akan dibuat dalam skala yang lebih kecil menerusi pertubuhan bukan kerajaan di bawah jabatan itu iaitu Komuniti 1Malaysia. – BERNAMA

Tuesday, November 26, 2013

GST Jamin Sistem P’cukaian Efisyen Dan Telus




November 26, 2013

LABUAN – Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan membolehkan sistem pungutan cukai dilaksanakan secara efisien dan telus.

Pengarah Projek (1) Kementerian Kewangan Malaysia Izlizan Othman berkata pelaksanaannya dapat memperbaiki kelemahan pengurusan cukai SST (cukai perkhidmatan dan jualan) seperti menyelesaikan cukai berganda atau cukai yang selama ini tidak disalurkan semula kepada kerajaan.

“Pelaksanaan GST akan memberi kebaikan kepada semua kerana sistemnya mudah difahami berbanding SST yang dikenakan pada kadar berbeza bagi perkhidmatan dan barangan yang berlainan, dan mengelirukan rakyat tetap tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya dalam satu taklimat GST di sini minggu lepas.

“Sudah semestinya GST mempunyai kelebihan berbanding percukaian sedia ada,” katanya.

SST yang mengenakan cukai 16 peratus akan digantikan dengan GST enam peratus mulai April 2015.

Sementara itu Izlizan berkata pelaksanaan GST tidak akan membebankan rakyat, malah GST merupakan sebahagian daripada program pembaharuan terhadap sistem percukaian negara yang lebih mantap dan telus.

Izlizan berkata sistem GST lebih cekap, berkesan serta telus kerana pengguna sendiri akan mengetahui jumlah cukai yang mereka bayar untuk mendapatkan produk atau barangan.

Mengenai isu peningkatan harga akibat pengambilan untung, Izlizan berkata kerajaan akan menggunakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 untuk mengekang masalah itu.

“Panduan pembeli, seperti senarai 900 barangan yang dikenakan GST akan dikeluarkan tiga bulan sebelum pelaksanaan GST bagi memaklumkan mengenai perubahan harga,” katanya. – BERNAMA