GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, May 7, 2010

Pelaksanaan AFTA beri kesan positif kepada peniaga


ARKIB : 06/05/2010


KUALA LUMPUR 5 Mei - Pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) yang mula dilaksanakan pada tahun 1993 telah memberi kesan positif kepada peniaga terutama dalam konteks pemasaran produk di peringkat global.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Mukhriz Mahathir berkata, sejak perjanjian itu dilaksanakan kerajaan mendapati mereka lebih mudah untuk memasarkan produk masing-masing khususnya di rantau ASEAN tanpa melalui banyak sekatan.

''Kerajaan mendapati pelaksanaan AFTA sebenarnya berjaya mewujudkan kumpulan peniaga di negara ini yang lebih kompetitif dan barangan yang mereka hasilkan juga amat berkualiti. Ini semuanya bertujuan memudahkan produk mereka dipasarkan.

''Pelaksanaan perjanjian ini juga telah mewujudkan tahap persaingan yang sihat antara peniaga selain membolehkan mereka mendapatkan bahan mentah dengan kadar yang lebih murah dari negara ASEAN lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Azian Osman pada sidang Dewan Negara hari ini.

Mukhriz berkata, hasil daripada perjanjian berkenaan, ASEAN kini merupakan destinasi eksport terbesar bagi negara.

''Pada tahun 2008 dan 2009 pasaran ASEAN telah menyumbang sebanyak 26 peratus perdagangan barangan global bagi negara kita. Semuanya adalah hasil pelaksanaan GST," katanya.

Menjawab soalan tambahan Azian, Mukhriz berkata, Malaysia tidak menghalang kemasukan barangan dari negara ASEAN pada harga yang murah walaupun ada kebimbangan akan berlaku lambakan.

''Apabila kita memberi komitmen untuk menyertai AFTA, kita harus membenarkan kemasukan barangan dari negara ASEAN meskipun harganya lebih murah. Cuma kita boleh ambil tindakan jika barangan itu mendapat subsidi dari negara asal atau tidak berkualiti.

''Mahu tidak kita mahu kita terpaksa bersaing dengan produk-produk ASEAN. Atas sebab ini kita sentiasa memastikan barangan yang dihasilkan oleh pengusaha kita sentiasa berada pada tahap kualiti terbaik agar kita mampu bersaing," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0506&pub=utusan_malaysia&sec=Parlimen&pg=pa_02.htm#ixzz2WRGRNYMP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

9 item dikecualikan daripada GST


ARKIB : 06/05/2010

Awang Adek Hussin (kanan) memerhati Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan (tiga dari kiri) berbual dengan Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah (kiri) di Parlimen, semalam.

KUALA LUMPUR 5 Mei - Kerajaan mencadangkan sembilan item dikecualikan daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) apabila cukai tersebut mula dilaksanakan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, item itu membabitkan produk pertanian seperti padi dan sayur-sayuran segar; barang makanan termasuk beras, gula, garam, tepung dan minyak masak; binatang ternakan dan daging seperti lembu, kerbau, babi, kambing serta ayam dan itik.

Beliau berkata, telur termasuk telur masin, ikan, udang, kerang, sotong termasuk yang dikering dan dimasinkan juga akan dikecualikan daripada GST.

Selain itu, katanya, bekalan elektrik dan air setiap bulan bagi pengguna domestik masing-masing pada kadar 200 unit pertama dan 35 meter padu pertama juga akan dikecualikan daripada GST.

''Item lain adalah barangan dan perkhidmatan yang dieksport serta perkhidmatan antarabangsa.

''Oleh itu, orang ramai tidak perlu bimbang kerana banyak barangan keperluan asas seperti makanan dikecualikan daripada GST," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Nor Hayati Onn pada Sidang Dewan Negara hari ini.

Dalam pada itu Awang Adek berkata, GST hanya akan dilaksanakan di negara ini selepas undang-undang Anti Pencatutan (keuntungan) diluluskan terlebih dahulu.

Beliau berkata, undang-undang itu perlu dikuatkuasakan bagi mengelakkan peniaga yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga barangan mereka secara sewenang-wenangnya atas alasan GST.

Beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang itu juga mampu menghalang peniaga-peniaga daripada mendapat keuntungan secara berlebihan.

''Kerajaan sedar tahap pemahaman masih belum menyeluruh sehingga timbul kebimbangan dan kerisauan di kalangan rakyat bahawa pelaksanaan GST akan menjadikan harga-harga barang dan perkhidmatan naik.

''Justeru bagi mengelakkan kegiatan mengambil untung secara berlebihan, undang-undang Anti Pencatutan (keuntungan) perlu diluluskan terlebih dahulu sebelum GST dilaksanakan," katanya.

Awang Adek dalam pada itu turut memberitahu sidang Dewan Negara bahawa pelaksanaan GST akan banyak memberi kelebihan dan faedah kepada kerajaan antaranya asas cukai kerajaan akan lebih luas dengan tidak terlalu bergantung kepada cukai pendapat serta petroleum.

''Ia juga boleh mengukuhkan hasil dan kewangan kerajaan dalam jangka masa panjang dan akhirnya membolehkan kerajaan menguruskan perbelanjaan pembangunan dengan lebih baik dan mampu membayar gaji penjawat awam dengan kadar yang lebih tinggi," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0506&pub=utusan_malaysia&sec=Parlimen&pg=pa_01.htm#ixzz2WRFqq3SF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, May 6, 2010

GST tidak dilaksana sehingga Akta Kawalan Harga diluluskan


ARKIB : 05/05/2010

KUALA LUMPUR 5 Mei - Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) oleh kerajaan tidak akan dilakukan sehingga Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan diluluskan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Awang Adek Hussin.

Beliau berkata akta tersebut dilihat mampu mengawal para peniaga daripada bertindak mengambil untung berlebihan selepas GST dilaksanakan kelak.

Akta itu kini dalam proses penilaian terakhir Jabatan Peguam Negara dan dijangka dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Parlimen selewat-lewatnya Jun ini.

"Ada kebimbangan bahawa mungkin ada peniaga yang tidak bertanggungjawab akan menaikkan harga barang mereka atas alasan GST untuk mendapat keuntungan berlebihan.

"Justeru atas faktor kebimbangan tersebut perlu ada undang-undang yang boleh membasmi peniaga-peniaga ini daripada mengambil untung berlebihan, iaitu akta tersebut (Kawalan Harga dan Anti Pencatutan) perlu diluluskan terlebih dahulu sebelum GST dilaksanakan,” katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Nor Hayati Onn di Dewan Negara di sini hari ini.

Nor Hayati ingin tahu bila kerajaan akan melaksanakan GST dan usaha terkini kerajaan bagi memastikan pelaksananaanya diterima masyarakat. - Bernama

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0505&pub=utusan_malaysia&sec=Terkini&pg=bt_16.htm#ixzz2WdPXqzkB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, May 4, 2010

GST tidak bebankan rakyat


ARKIB : 03/05/2010


BERA 2 Mei - Penangguhan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bukan atas desakan pembangkang tetapi kerajaan mahu memberi penerangan seluas-luasnya kepada rakyat agar memahami dasar itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak akan melaksanakan GST dalam tempoh terdekat ini bagi membolehkan penerangan mengenainya dilakukan ke seluruh negara.

Menurutnya, penjelasan itu akan dibuat oleh Kementerian Kewangan dan kementeriannya.
''Kerajaan perlu membuat penjelasan supaya rakyat memahami tujuan sebenar GST yang tidak akan membebankan mereka sama sekali," katanya.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata demikian selepas majlis perasmian mesyuarat agung tahunan berkelompok cawangan-cawangan UMNO Bahagian Bera di sini hari ini.

Ismail Sabri menegaskan, pelaksanaan GST kelak tidak akan membebankan rakyat kerana ia tidak melibatkan barangan kawalan, sebagaimana didakwa oleh pihak pembangkang.

Tegasnya, dalam keadaan sekarang kerajaan tidak berhasrat menaikkan harga barangan mahupun perkhidmatan kerana mengambil kira pelbagai faktor sebelum melaksanakan sesuatu dasar.

Sambil membidas tindakan parti pembangkang itu, beliau mahu rakyat berfikiran rasional dan tidak mudah terikut-ikut atau terpengaruh dengan dakyah pembangkang.

Mengenai bekalan gula di Kedah dan Perlis pula, Ismail Sabri menafikan berlakunya krisis bahan itu sebagaimana dilaporkan oleh media baru-baru ini.

Beliau sebaliknya menjelaskan, kekurangan gula hanya disebabkan oleh masalah teknikal melibatkan beberapa peniaga dengan pemborong yang menyebabkan kuantiti gula tidak dihantar mengikut keperluan biasa.

Jelasnya, sebanyak 600 tan gula stok simpanan telah pun dihantar ke negeri terbabit menyebabkan bekalan bahan itu kini melebihi keperluan.

Tambah beliau, sepatutnya bekalan stok gula itu dihantar atau dibekalkan pada musim perayaan, tetapi kerajaan terpaksa menghantarnya bagi memastikan tiada krisis bahan itu di kedua-dua negeri terbabit.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0503&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_29.htm#ixzz2WRFUfs9K
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday, May 2, 2010

Polis surai perhimpunan haram di Dataran Merdeka


ARKIB : 01/05/2010


KUALA LUMPUR 1 Mei - Polis menyurai sekumpulan 500 orang yang berkumpul secara haram di Dataran Merdeka di sini bagi membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sempena Hari Pekerja hari ini.

Kumpulan itu berhimpun di luar pejabat Majlis Peguam di Lebuh Pasar Besar sejak awal pagi sebelum menuju ke Dataran Merdeka manakala satu kumpulan lagi cuba memasuki perkarangan bangunan Parlimen pada pukul 11 pagi.

Bagaimanapun polis telah mengarahkan kedua-dua kumpulan itu supaya bersurai kerana mereka tidak mempunyai permit untuk mengadakan perhimpunan itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, polis terpaksa menghalang kumpulan itu daripada memasuki kawasan Parlimen dan berkumpul di sekitar di Dataran Merdeka kerana mereka tidak mempunyai permit untuk berhimpun.

Katanya, tiga lelaki yang berumur dalam lingkungan 20-an ditahan kerana telah meningkari arahan polis dan berhimpun di Dataran Merdeka dengan membawa kain rentang. - Bernama

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0501&pub=utusan_malaysia&sec=Terkini&pg=bt_18.htm#ixzz2WRFAN4xr
© Utusan Melayu (M) Bhd