GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, May 7, 2010

9 item dikecualikan daripada GST


ARKIB : 06/05/2010

Awang Adek Hussin (kanan) memerhati Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan (tiga dari kiri) berbual dengan Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah (kiri) di Parlimen, semalam.

KUALA LUMPUR 5 Mei - Kerajaan mencadangkan sembilan item dikecualikan daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) apabila cukai tersebut mula dilaksanakan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, item itu membabitkan produk pertanian seperti padi dan sayur-sayuran segar; barang makanan termasuk beras, gula, garam, tepung dan minyak masak; binatang ternakan dan daging seperti lembu, kerbau, babi, kambing serta ayam dan itik.

Beliau berkata, telur termasuk telur masin, ikan, udang, kerang, sotong termasuk yang dikering dan dimasinkan juga akan dikecualikan daripada GST.

Selain itu, katanya, bekalan elektrik dan air setiap bulan bagi pengguna domestik masing-masing pada kadar 200 unit pertama dan 35 meter padu pertama juga akan dikecualikan daripada GST.

''Item lain adalah barangan dan perkhidmatan yang dieksport serta perkhidmatan antarabangsa.

''Oleh itu, orang ramai tidak perlu bimbang kerana banyak barangan keperluan asas seperti makanan dikecualikan daripada GST," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Nor Hayati Onn pada Sidang Dewan Negara hari ini.

Dalam pada itu Awang Adek berkata, GST hanya akan dilaksanakan di negara ini selepas undang-undang Anti Pencatutan (keuntungan) diluluskan terlebih dahulu.

Beliau berkata, undang-undang itu perlu dikuatkuasakan bagi mengelakkan peniaga yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga barangan mereka secara sewenang-wenangnya atas alasan GST.

Beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang itu juga mampu menghalang peniaga-peniaga daripada mendapat keuntungan secara berlebihan.

''Kerajaan sedar tahap pemahaman masih belum menyeluruh sehingga timbul kebimbangan dan kerisauan di kalangan rakyat bahawa pelaksanaan GST akan menjadikan harga-harga barang dan perkhidmatan naik.

''Justeru bagi mengelakkan kegiatan mengambil untung secara berlebihan, undang-undang Anti Pencatutan (keuntungan) perlu diluluskan terlebih dahulu sebelum GST dilaksanakan," katanya.

Awang Adek dalam pada itu turut memberitahu sidang Dewan Negara bahawa pelaksanaan GST akan banyak memberi kelebihan dan faedah kepada kerajaan antaranya asas cukai kerajaan akan lebih luas dengan tidak terlalu bergantung kepada cukai pendapat serta petroleum.

''Ia juga boleh mengukuhkan hasil dan kewangan kerajaan dalam jangka masa panjang dan akhirnya membolehkan kerajaan menguruskan perbelanjaan pembangunan dengan lebih baik dan mampu membayar gaji penjawat awam dengan kadar yang lebih tinggi," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0506&pub=utusan_malaysia&sec=Parlimen&pg=pa_01.htm#ixzz2WRFqq3SF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment