GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Showing posts with label GST Malaysia. Show all posts
Showing posts with label GST Malaysia. Show all posts

Thursday, April 2, 2015

Hari Kedua #GST: Macam mana nak tahu GST yg dikenakan itu betul???

Hari Kedua #GST: Setiap pengguna haruslah meminta resit pembayaran daripada peniaga sekiranya anda diminta membayar harga barang termasuk GST. Semak butiran-butiran resit anda seperti berikut:-
 
  1. Semak nama, alamat dan nombor contact syarikat tersebut.
  2. Semak Nombor Pendaftaran GST syarikat tersebut. Nombor Pendaftaran GST mestilah mempunyai 12 digits nombor. Sekiranya nombor tersebut terkurang atau terlebih daripada 12 digits, maka itu adalah nombor palsu. Sekiranya Nombor Pendaftaran GST tiada langsung tertera di atas resit pembelian, maka anda berhak menolak daripada membayar GST.
  3. Semak senarai barangan yang dibeli adakah barang berGST atau barang tiada GST. Barang-barang KEPERLUAN ASAS ISI RUMAH seperti beras, gula, garam, bawang, minyak masak, kopi, teh, ikan, sayur, ayam, daging, telor ayam, ikan bilis, belacan, topup prepaid, surat khabar, buku bacaan, buku kanak-kanak, susu bayi, tambang teksi, toll, bas awam dan banyak lagi TIADA GST. Semak senarai penuh barang dan perkhidmatan berGST di laman web KASTAM atau KPDNKK.
  4. Pastikan kod GST ditandakan pada setiap senarai barang yang dibeli. Contohnya: Z = Barang berkadar Sifar (0% atau tiada GST) dan S = Barang berkadar 6% (dikenakan GST).
  5. Pastikan jumlah GST yang dikira oleh peniaga adalah tepat mengikut senarai barang yang berGST tadi.


Sekiranya butiran-butiran yang dikehendaki oleh #KASTAM di atas tiada dalam resit anda, maka sila minta peniaga tersebut memulangkan duit GST anda. Sekiranya peniaga itu enggan, elok segera buat laporan kepada #KASTAM dan #KPDNKK.

Anda juga boleh menyemak status pendaftaran peniaga untuk GST di https://gst.customs.gov.my/TAP kemudian click pada "Lookup GST Status" di sebelah kanan laman tersebut. Anda boleh menyemak menggunakan Nombor Pendaftaran GST atau No Pendfataran Perniagaan atau Nama Syarikat. Maklumat terperinci peniaga tersebut akan keluar di bahagian bawah sekiranya butiran tersebut benar.

Hari Pertama ‪#‎GST‬: Pemohonan maaf oleh #7Eleven

Hari Pertama ‪#‎GST‬: Pemohonan maaf oleh #7Eleven

Harap duit pelanggan yang teraniaya dapat dipulangkan..

Hari Pertama #GST: #AduanGST - Boikot Peniaga Yang Penipu!!

Ada aduan mengenai #GST. Sila ambil gambar resit atau premis peniaga dan pos guna hashtag #AduanGST. Pembeli ada 3M - Memilih, Melapor dan Memboikot#beritaMalaysia @kastamHQ @AhmadMaslan

Hari Pertama ‪#‎GST‬: JANGAN SALAH FAHAM KEPADA #MYDIN #PenggunaBijak #CelikGST

Hari Pertama ‪#‎GST‬: Ramai viralkan resit ‪#‎Mydin‬ yg smlm kata xkan caj GST.. Alih2 ari ni dlm resit ada GST?...

Pencerahan: Jika anda menyemak harga jualan di Mydin sblm GST anda akan dpti bhw harga brg tersebut adalah sama dgn yg hari ini. Utk pengetahuan semua, brg tersebut sememangnya brg berGST. Cuma Mydin memilih utk menanggung GST tersebut dan mengekalkan harga sblm GST. Jadi pengguna masih boleh mendpt harga yg sama tanpa membyr tambahan 6% wlpn dlm resit seolah2 pengguna membayar GST.. Sepatutnya kita menghargai peniaga yg jujur dan berhati mulia seperti Mydin ni dan mengucapkan terima kasih kpd mereka.. Jgn lah memviralkan perkara yg salah dan merosakkan masyarakat atas agenda hasad dengki..

Hari Pertama ‪#‎GST‬: PERTAHANKAN HAK PENGGUNA!

Hari Pertama ‪#‎GST‬: Ni contoh pengguna yg pertahankan hak dia dengan cemerlang.. Tahniah bro .. Jom gunakan hak kita dengan berani!

Hari Pertama ‪#‎GST‬: Buat #ADUANGST #PenggunaBijak #CelikGST

Hari pertama ‪#‎GST‬: Gunakan hak anda sebagai pengguna ke atas peniaga tamak dan penipu dengan mengenakan GST ke atas barang dan perkhidmatan tidak tertakluk GST. Hubungi talian Hotline ‪#‎KASTAM‬ 1300888500 dan ‪#‎KPDNKK‬ 1300886800 atau Persatuan Pengguna Islam Malaysia (#PPIM) di talian 03-42577222 / 03-42566618 / 019-3591000



Hari Pertama ‪#‎GST‬: Semak Item Pembelian Anda

Hari pertama #GST: Kepada pengguna yang dikenakan #GST atas pembelian topup dan surat khabar, diharap anda dapat menyimpan resit dan buat aduan kepada pihak #KPDNKK dan #KASTAM untuk tindakan lanjut.. Anda juga boleh mengubungi Persatuan Pengguna Islam (PPIM) atau persatuan pengguna yg lain untuk sebarang aduan berkaitan GST salah caj oleh peniaga. Pertahankan hak anda


Apa Itu GST? - Fahami GST Lebih Dekat

#‎GST‬ adalah cukai kepenggunaan. Maksudnya cukai yg dikenakan apabila kita berbelanja/membeli barang atau perkhidmatan yg disenaraikan berGST. Untuk mengukur kesan GST ke atas diri masing2, maka rujuklah kepada paten perbelanjaan bulanan anda. Jika perbelanjaan anda lebih banyak kepada item tidak berGST, maka tiada kesan GST yg ketara ke atas anda. Kepada yg shopperholic anda mmg akan terkesan teruk dgn GST. Jadi aturlah perbelanjaan diri masing2 dgn cermat dan berhemat. Majulah anda untuk GST...

Pencerahan: Isu GST - Pengeluaran Wang Tunai di Mesin ATM/MEPS

Pencerahan: GST tidak dikenakan ke atas jumlah wang tunai yg dikeluarkan di mesin ATM selepas GST nanti. GST cuma dikenakan ke atas caj pengeluaran RM1 setiapkali anda menggunakan khidmat MEPS di mesin ATM. Maknanya caj MEPS RM1 + 6 sen GST.. Bukannya keluarkan RM500 cash kena GST RM30... Salah tu.. Ingat, khidmat MEPS shj. Jd elakkan guna MEPS ya...

Pencerahan: Salam Faham GST - Prepaid Topup

Pencerahan: GST tidak dikenakan semasa pembelian topup/prepaid kredit. GST akan dikenakan apabila anda menggunakan kredit tersebut (buat panggilan, sms, dll) sama spt skrg. Tiada apa2 perubahan. Jadi jika mana2 peniaga caj anda dgn GST semasa beli topup itu adalah satu penipuan.. Harap maklum

Friday, July 18, 2014

Inna Lillahi Waina Ilaihi Raji'un... Takziah... #MH17 #PALESTINE #GAZA

SALAM TAKZIAH






Tahun dan Hari yang mendukacitakan buat Malaysia. Allah mengetahui segalanya. Semoga Allah merahmati semua mangsa #MH17 #MalaysiaAirlines yang terkorban dan kurniakan kekuatan dan kesabaran kepada kaum keluarga mereka. Al-Fatihah untuk mangsa yang Muslim....




Dan kepada saudara-saudara kami di #Palestine #GAZA yang sedang diserang dari segenap penjuru oleh #Yahudi #Zionist #Israel laknatullah, semoga Allah SWT memberikan sepenuh kekuatan fizikal dan mental kepada kamu untuk mempertahankan diri dan negara kamu. Doa kami sentiasa bersama kamu... Al-Fatihah juga untuk yang telah terkorban.

Thursday, May 29, 2014

SEMBAH TAKZIAH



Assalamualaikum wbt

Admin ingin merakamkan sembah takziah kepada Kaum Kerabat Kesultanan Perak serta seluruh Rakyat Negeri Perak Darul Ridzuan di atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Negeri Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzuddin Shah. Semoga Roh Almarhum dicucuri Rahmat dari Allah Subhanahu Wata'ala. Amin..

Al-Fatihah

Friday, May 9, 2014

TAJUK: GST WAJAR DIALU-ALUKAN

Oleh Abdussalam Shokhawi
Email: salam@salihin.com.my
5 March 2014

TAJUK: GST WAJAR DIALU-ALUKAN

Dilema rakyat Malaysia pada ketika ini mengenai sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST banyak dipengaruhi oleh kekurangan maklumat atau maklumat salah yang disalurkan untuk pemahaman mereka. Kebanyakan maklumat mengenai GST yang ada pada ketika ini pula terlalu bersifat teknikal serta sukar difahami oleh golongan rakyat terbanyak terutamanya masyarakat di luar bandar. Dek kerana itulah, apabila GST semakin menjadi topik perbahasan harian rakyat, maka risiko jurang salah faham menjadi semakin membesar.

Secara umumnya pemahaman rakyat Malaysia mengenai cukai dan peranannya kepada negara masih lagi di tahap yang rendah. Kebanyakan masyarakat masih tidak menyedari bahawa pada masa sekarang mereka telah pun dikenakan cukai kepenggunaan di dalam perbelanjaan mereka iaitu dalam bentuk Cukai Jualan (5%, 10% atau kadar spesifik) dan Cukai Perkhidmatan (6% atau kadar spesifik). Elemen kedua-dua cukai ini telah pun diserap ke dalam harga jualan setiap barangan kecuali Cukai Perkhidmatan yang dikenakan di peringkat pengguna akhir seperti di kedai-kedai makanan, kawasan pakir kereta berdaftar dan yuran perkhidmatan professional. Apabila GST dilaksanakan pada kadar enam peratus pada 1 April 2015, kedua-dua Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan akan dimansuhkan serentak. 

Rasional pelaksanaan GST

Tujuan utama GST diperkenalkan di Malaysia adalah untuk menangani kelemahan yang terdapat di dalam sistem Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan sedia ada. Antaranya seperti ketirisan hasil kerajaan akibat daripada aktiviti penyeludupan, pemindahan harga serta manipulasi sumber yang sering berlaku di peringkat peniaga. Dengan erti kata lain, pada masa kini, terdapat peniaga yang memulangkan cukai kepada kerajaan kurang daripada jumlah yang mereka pungut dari pelanggan mereka. Kelemahan-kelemahan ini sukar di atasi oleh pihak berkuasa kerana terdapat ruang-ruang (loopholes) pada sistem Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang mudah dimanfaatkan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab. 

Masyarakat pengguna juga harus mengetahui bahawa GST tidak berperanan sebagai kos di dalam proses pengeluaran di mana-mana peringkat peniaga. Ini sama sekali berbeza dengan layanan perakaunan yang diberikan kepada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan pada ketika ini, di mana kedua-dua cukai lapuk ini merupakan kos yang mempengaruhi penetapan harga barang dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh peniaga. Dengan pelaksanaan GST dan pemansuhan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan, peniaga tiada lagi alasan cukai sebagai beban yang menekan mereka untuk menaikkan harga. Jika sistem Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan tetap dilaksanakan oleh kerajaan, maka pengguna akan terus menjadi mangsa dan terperangkap di dalam situasi cukai bertindih yang wujud di dalam harga barang dan perkhidmatan di pasaran.

Kebanyakan ahli-ahli ekonomi tidak menafikan bahawa GST boleh menyebabkan kadar inflasi negara akan meningkat secara one-off atau sekali sahaja pada masa awal pelaksanaannya. Jangkaan ini berdasarkan pengalaman negara-negara terdahulu yang melaksanakan GST (juga dikenali sebagai Value Added Tax (VAT) di kebanyakan negara lain) di mana berlakunya reaksi kejutan pasaran apabila peniaga akan menaikkan harga dan pengguna pula panik dengan perubahan harga. Walau bagaimanapun, kekeliruan dalam pasaran semasa tempoh awal pelaksanaan GST adalah bersifat sekali sahaja. Pasaran dijangka kembali selesa serta stabil apabila pengguna dan peniaga mula memahami mekanisme sebenar GST, manakala kerajaan pula melaksanakan tanggungjawabnya untuk mengimbangi pasaran dengan sempurna.

Pihak-pihak yang mempersoalkan keputusan kerajaan untuk melaksanakan GST perlu menerima hakikat bahawa GST adalah satu keperluan ekonomi yang tidak dapat dielakkan. Kebanyakan ahli ekonomi bersependapat bahawa GST adalah kaedah penyelesaian sumber yang paling berkesan dan berdaya tahan terhadap situasi turun naik ekonomi global. Ekonomi pula digerakkan sendiri oleh masyarakat pengguna melalui permintaan dan masyarakat peniaga melalui penawaran. Dengan adanya GST, saluran serta kaedah komunikasi antara pengguna, peniaga dan kerajaan akan terdorong untuk menjadi lebih efektif, telus, efisyen dan mesra.

Dalam pada itu, pelaksanaan GST juga amat penting kepada kerajaan dalam usaha untuk memacu Malaysia ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi dan maju pada tahun 2020. Untuk tujuan itu, Malaysia perlu berada dalam landasan ekonomi yang mampan dan berdaya saing di peringkat domestik dan global. GST adalah salah satu instrumen ekonomi yang akan merangsang sektor swasta untuk tumbuh aktif serta menggalakkan nilai perdagangan dan pelaburan langsung asing di samping mambawa aliran positif kepada pasaran modal insan. Untuk rekod, Kerajaan menjangkakan bahawa sasaran pendapatan perkapita rakyat Malaysia sebanyak AS$15,000 akan dapat dicapai sebelum 2020.

Inisiatif GST

Secara konsepnya, pelaksanaan GST dilihat sebagai memperluaskan skop asas cukai kepada rakyat. Menyedari hakikat itu, kerajaan telah membuat persediaan yang menyeluruh untuk mengimbangi kedudukan sosio-ekonomi masyarakat. Antaranya, kerajaan telah mewujudkan tiga kategori Kadar GST mengikut tahap keperluan sesuatu barang atau perkhidmatan kepada rakyat. Barang-barang keperluan asas yang belum diproses seperti produk pertanian, bekalan ternakan dan bahan asas masakan termasuklah susu bayi, telah diletakkan pada kategori Kadar Sifar GST. Manakala barang atau perkhidmatan awam pula seperti harta tanah dan kediaman, pengangkutan awam, pendidikan, perkhidmatan kesihatan, perkhidmatan kewangan serta caj lebuhraya akan dikecualikan GST. Bagi barang dan perkhidmatan lain yang dikategorikan sebagai bukan keperluan asas, akan diletakkan di bawah kategori Kadar Standard.

Di dalam pembentangan Bajet 2014 yang lalu, YAB Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan telah membuat pengumuman bahawa kerajaan bakal memberikan insentif-insentif khas kepada rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah dan sederhana bagi menghadapi kesan rasionalisasi subsisdi dan pelaksanaan GST kelak. Antaranya ialah bantuan tunai secara one-off sebanyak RM300 kepada penerima isi rumah Bantuan Rakyat 1 Malaysia atau BR1M serta penstrukturan dan pengurangan kadar satu hingga tiga peratus bagi cukai pendapatan individu. Kepada para peniaga pula, kerajaan telah mengalokasikan geran latihan GST dan perisian perakaunan masing-masing sebanyak RM100 juta dan RM150 juta, di samping potongan cukai tambahan untuk perbelanjaan latihan perakaunan dan ICT berkaitan GST serta pengurangan kadar Cukai Pendapatan Syarikat bagi tahun taksiran 2016. Kerajaan dijangka akan terus memberikan insentif-insentif tambahan secara berperingkat kepada rakyat di samping melanjutkan insentif-insentif sedia ada selepas pelaksanaan GST.

Tanggungjawab Ahli Yang Berhormat

Seperti yang kita sedia maklum, pelaksanaan GST adalah salah satu inisiatif tidak popular yang terpaksa diambil oleh kerajaan bagi mentransformasikan strategi pengurusan negara untuk mendepani masa hadapan yang kian mencabar. Sejak pengumumannya pada Oktober 2013, pelbagai maklum balas telah disuarakan oleh rakyat kepada kerajaan dalam pelbagai bentuk medium komunikasi. Yang jelasnya, kebanyakan maklum balas tersebut adalah kebimbangan mengenai beban dan skop cukai yang bakal ditanggung oleh rakyat dalam kehidupan seharian.

Suara kebimbangan rakyat terbanyak ini berhak didengari dan dianalisa dengan teliti oleh para pemimpin masyarakat yang mewakili mereka di Dewan Rakyat. Ini kerana, ahli-ahli Yang Berhormat (YB) inilah yang akan berhujah dan berbahas untuk meluluskan Rang Undang-Undang GST yang bakal dibentangkan di Parlimen pada sesi perbahasan bulan Mac 2014. Setiap YB seharusnya telah memahami GST dengan mendalam sebelum mereka melangkah masuk ke Parlimen untuk berbahas dan menyampaikan buah fikiran yang rasional mengenai GST demi kebaikan rakyat dan negara. Mereka perlulah juga bersedia dengan cadangan dan pandangan yang konstruktif supaya Akta GST yang bakal terbentuk akan menjadi model percukaian terbaik yang dapat memakmurkan negara seluruhnya. 

Berikut adalah antara cadangan umum yang boleh dipertimbangkan oleh para YB untuk dihujahkan kepada kerajaan semasa membahaskan Rang Undang-Undang GST kelak:-

1. Menyenaraikan lebih banyak barang dan perkhidmatan keperluan bayi dan kanak-kanak sebagai item Kadar Sifar (0%) GST. Contohnya seperti lampin pakai buang, pakaian bayi, botol susu dan buaian. Ini bertujuan untuk meringankan beban ibu bapa yang perlu menanggung keperluan anak-anak kecil.

2. Mewajibkan pasaraya-pasaraya besar untuk mempamerkan harga kesemua barang dan perkhidmatan yang ditawarkan di premis mereka secara dalam talian atau online di laman sesawang mereka. Ini adalah langkah perlindungan terhadap pengguna yang bertujuan untuk membantu pengguna melihat perubahan harga serta membuat perbandingan harga barang dan perkhidmatan sebelum berbelanja.

3. Menaikkan nilai geran untuk bantuan persediaan GST kepada peniaga-peniaga kecil dan sederhana. Ini akan membantu proses pematuhan di peringkat peniaga yang secara tidak langsung akan melindungi pengguna daripada peniaga yang mengambil kesempatan dengan alasan kos persediaan menghadapi GST yang terpaksa ditanggung oleh mereka.

4. Membenarkan pelancong asing yang layak di bawah Skim Bayar Balik Pelancong (Tourist Refund Scheme) untuk menuntut bayaran balik GST ke atas barang yang dibawa keluar bukan sahaja melalui lapangan terbang, malahan melalui pelabuhan dan sempadan darat bagi menyemarakkan lagi aktiviti ekonomi dan pelancongan di kawasan-kawasan yang terlibat. Ini boleh menjadikan Malaysia lebih kompetatif berbanding negara-negara serantau bagi menarik kehadiran pelancong asing yang mempunyai kemampuan berbelanja yang tinggi.

5. Menaikkan nilai pelepasan Cukai Pendapatan individu untuk perbelanjaan melibatkan pendidikan dan kesihatan sama ada untuk diri sendiri, suami/isteri atau anak-anak yang masih di bawah tanggungan. Ini sebagai langkah mengurangkan impak GST ke atas isi rumah.

6. Memaksimumkan penggunaan MyKad sebagai alat rasmi untuk penyaluran subsidi kepada golongan sasar semasa era GST. Contohnya menjadikan MyKad sebagai kad diskaun pengangkutan awam untuk golongan tua, pelajar dan golongan berpendapatan rendah serta sebagai identifikasi bantuan khas kepada golongan kurang upaya dan sebagainya. 

7. Memperkenalkan matapelajaran cukai dan GST sebagai subjek kenegaraan kepada rakyat Malaysia seawal pengajian di peringkat rendah sehinggalah ke pengajian tinggi. Ini bertujuan menerapkan pemahaman yang betul mengenai tanggungjawab bercukai sebagai warganegara di samping meredakan sentimen bercampur-baur terhadap GST di kalangan semua lapisan masyarakat.

Menangani kesan GST 

Kerajaan pastinya sedar bahawa rakyat terbanyak amat bergantung harap terhadap kerajaan dalam menangani isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Justeru itu, dalam persiapan menghadapi GST, kerajaan perlu memberikan perhatian yang khusus kepada para peniaga supaya mereka tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna dengan menafikan hakikat bahawa setiap barang dan perkhidmatan mempunyai ruang untuk dikurangkan harga di era GST. Kerajaan perlu menggerakkan usaha penguatkuasaan yang efektif untuk memastikan peniaga patuh dengan pemansuhan eleman Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan di dalam harga barang dan perkhidmatan di seluruh peringkat kitaran pembekalan (supply chain). Dengan langkah penguatkuasaan yang tegas, peniaga tidak boleh berselindung di sebalik GST untuk menaikkan harga secara tidak wajar. 

Kepada masyarakat pengguna pula, berikut adalah panduan ringkas yang boleh digunakan untuk menghadapi GST kelak:

1. Menyediakan rancangan perbelanjaan bulanan

Senaraikan perbelanjaan tetap yang berulang setiap bulan seperti bayaran ansuran kereta, rumah, insuran, bil-bil utiliti, yuran pendidikan, barangan keperluan dapur, perbelanjaan peribadi dan sebagainya. Bahagikan senarai perbelanjaan tadi kepada dua bahagian iaitu bahagian yang tidak tertakluk kepada GST dan bahagian yang tertakluk kepada GST. Pastikan alokasi wang untuk perbelanjaan tetap didahulukan dan kawal baki pendapatan untuk mengelakkan daripada berbelanja ke atas barang atau perkhidmatan bukan keperluan yang tertakluk kepada GST. 

2. Berbelanja di kedai yang berdaftar GST

Pengguna digalakkan berbelanja di kedai-kedai yang berdaftar sebagai kedai GST terutamanya di pasaraya-pasaraya besar yang setiap hari bersaing harga dengan pesaing-pesaing mereka. Selain mendapat manfaat harga rendah, pengguna juga dapat berlajar untuk membiasakan diri dengan sistem dan mekanisme sebenar GST. Saranan ini juga adalah bagi melindungi pengguna daripada peniaga yang tidak bertanggungjawab yang menaikkan harga semasa era GST. 

3. Berbelanja semasa musim promosi potongan harga 

Di Malaysia, seringkali promosi potongan harga seperti “Jualan Mega” dan “Hari Untuk Ahli” dilakukan oleh para peniaga sama ada untuk promosi harian, mingguan, bulanan atau tahunan. Pengguna boleh mengambil kesempatan dengan berbelanja pada musim promosi dengan harga yang murah dan menjimatkan.

4. Membuat simpanan untuk pelaburan

Setiap individu digalakkan membuat simpanan bagi lebihan pendapatan sekiranya ada. Simpanan boleh dibuat di bank, melabur di dalam amanah saham atau membeli pelindungan insuran. Simpanan untuk pelaburan mampu meminimumkan kesan GST ke atas pendapatan individu di samping memberikan pulangan positif jangka panjang seperti memperoleh keuntungan simpanan, gandaan dividen dan perbelanjaan kesihatan yang dijamin.

5. Aktifkan persatuan pengguna

Para pengguna disaran untuk bersatu dan memberikan sokongan kepada persatuan-persatuan pengguna untuk aktif membela dan mempertahankan hak setiap pengguna di seluruh pelusuk daerah di Malaysia. Semasa era GST kelak, persatuan pengguna perlu dijadikan one-stop centre dalam menyebarkan maklumat kepenggunaan serta menzahirkan “Kuasa Pengguna” (Consumer Power). Dengan cara ini, peniaga akan lebih bertanggungjawab supaya perniagaan mereka tidak terjejas oleh publisiti buruk yang boleh menggugat kepentingan mereka. 

6. Membuat aduan mengenai manipulasi harga 

Pengguna yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti manipulasi harga oleh peniaga semasa era GST disarankan membuat aduan kepada pihak berkuasa supaya tindakan penguatkuasaan undang-undang boleh dilakukan ke atas peniaga tersebut. Langkah membuat aduan mengenai aktiviti penipuan sebegini merupakan satu tanggungjawab setiap pengguna supaya tiada peniaga yang mengambil kesempatan semasa pelaksanaan GST kelak.

7. Memanfaatkan bantuan dan inisiatif kepenggunaan yang disediakan oleh kerajaan 

Terdapat pelbagai bantuan dan inisiatif kepenggunaan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan kepada rakyat. Contohnya seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M), Klinik 1 Malaysia, Bantuan Lesen 1 Malaysia (BL1M), Komputer Satu Malaysia, Bantuan Khas Awal persekolahan, Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA), Pasar Bergerak 1 Malaysia, Baucar Buku 1Malaysia (BB1M), Teksi Rakyat 1 Malaysia (TR1Ma), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Program 1 AZAM, Coop 1Malaysia (Coop1M), Pakej Komunikasi Belia dan Skim Prihatin Pendidikan 1Malaysia (SPP1M). Kerajaan dijangka akan menyediakan lebih banyak bantuan tambahan untuk rakyat selepas pelaksanaan GST. Golongan rakyat yang layak menerima bantuan dan inisiatif ini adalah digalakkan untuk memanfaatkannya. 

8. Merujuk “Panduan Pembeli” yang dikeluarkan oleh pihak Kastam

Pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dijangka akan menerbitkan risalah “Panduan Pembeli” tiga bulan sebelum pelaksanaan GST pada April 2015. Pengguna boleh merujuk risalah ini untuk mengetahui maklumat serta membuat perbandingan mengenai harga barang dan perkhidmatan sebelum dan semasa era GST.

Secara ringkasnya, negara sudah kesuntukan masa untuk menangguhkan pelaksanaan GST untuk kesekian kalinya. Justeru itu, GST harus direalisasikan dan semua pihak yang memahami tentang mekanisme GST haruslah mengambil tanggungjawab untuk menjelaskannya kepada masyarakat supaya pemahaman mereka tidak terpesong atau dipengaruhi oleh ideologi-ideologi songsang yang akhirnya akan merugikan negara. Ayuh kita bersatu atas nama Malaysia dan mengalu-alukan GST demi masa depan negara yang lebih gemilang. 

Penulis adalah Ketua Jabatan GST dan Pengurus Projek GST di firma SALIHIN GST Services Sdn. Bhd.

Thursday, April 17, 2014

Takziah: Karpal Singh meninggal dunia dalam kemalangan malam tadi


Admin ingin mengucapkan Takziah kepada seluruh keluarga YB Karpal Singh dan juga keluarga pembantu beliau yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Tapah, malam tadi. 

Friday, March 7, 2014

KESAN GST TERHADAP PENIAGA #SAYASOKONGGST












SALAH TANGGAPAN MENGENAI GST #SAYASOKONGGST










Tuesday, February 25, 2014

GOLONGAN PENIAGA BERTANGGUNGJAWAB UNTUK KEJAYAAN GST

29 Julai 2013
  
Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST bakal mengambil posisinya di dalam sistem ekonomi Malaysia tidak lama lagi. Sebagai pihak yang bertanggungjawab ke atas masa depan Rakyat dan negara, Kerajaan tiada pilihan untuk menolak GST dari dilaksanakan. GST adalah suatu keperluan ekonomi yang mendesak yang dirumus bagi menghasilkan kelangsungan sumber serta memastikan kestabilan di dalam sistem kewangan negara untuk mendepani perubahan persekitaran dunia yang semakin mencabar.

Pada majlis Konsultasi Bajet 2014 yang berlangsung di Kementerian Kewangan Malaysia pada 18hb Jun 2013 yang lalu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Malaysia telah menerima maklum balas yang tegas daripada para peserta industri (peniaga) yang mengharapkan Kerajaan segera melaksanakan GST demi kepentingan ekonomi negara. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa terdapat peningkatan tahap pemahaman di kalangan para peserta industri mengenai GST dan kepentingannya. 

Di dalam kitaran GST terdapat tiga pihak yang utama yang memainkan peranan bagi menyelaraskan pergerakkan GST iaitu pihak Kerajaan, peniaga dan pengguna. Pihak Kerajaan bertanggungjawab menyediakan polisi dan memantau pematuhan tadbir urus GST. Sementara para peniaga pula adalah pihak yang akan memungut GST bagi pihak Kerajaan. Peranan terakhir di dalam kitaran GST akan dimainkan oleh pengguna-pengguna akhir yang akan berbelanja serta membayar GST untuk barang dan perkhidmatan yang disediakan oleh para peniaga.

GST dirumus bagi menggantikan sistem cukai kepenggunaan sedia ada iaitu Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST). Pada masa kini, Cukai Jualan berkadar 10% dikenakan di peringkat jualan oleh pengilang sahaja, manakala Cukai Perkhidmatan berkadar 6% pula dikenakan apabila sesuatu perkhidmatan ditawarkan kepada pengguna. Cukai SST ini menerima layanan perakaunan sebagai elemen kos yang harus ditanggung oleh pihak-pihak yang menggunakannya sama ada peniaga atau pengguna akhir.

Secara relatifnya, jika peniaga yang menanggung cukai SST sebagai kos, maka sudah pasti mereka akan menyalurkannya kembali ke dalam pengiraan margin untung jualan mereka. Sebagai contoh, peniaga yang bertindak sebagai pemborong, akan dicaj Cukai Jualan 10% semasa membeli barang dari kilang dan dikenakan caj Cukai Perkhidmatan 6% kerana menggunakan khidmat syarikat pengangkutan untuk membawa barang yang dibeli di kilang ke tempat penyimpanannya. Bagi menampung kos tambahan ini, pemborong akan menyalurkan elemen SST ke dalam inbois jualan sebagai margin keuntungan kepada peruncit dan seterusnya peruncit pula menyalurkan kepada pengguna akhir.

Di dalam era GST kelak, golongan peniaga tidak lagi perlu menanggung kos cukai SST atas sebarang transaksi pembelian barang atau perkhidmatan untuk tujuan perniagaan. Mereka juga tidak akan dibebankan dengan GST kerana mekanisma GST akan membolehkan mereka menuntut semula daripada Kerajaan, GST yang telah dibayar setelah ditolak dengan GST yang dipungut daripada pelanggan. Akan tetapi, jika berlaku lebihan pada GST yang dipungut daripada pelanggan, maka peniaga haruslah memulangkannya kepada Kerajaan sebanyak mana lebihan itu sahaja.

Mekanisma GST jelas menunjukkan bahawa peniaga mempunyai ruang untuk menurunkan harga barang dan perkhidmatan di pasaran sehingga ke paras kadar maksimum 10% (SST 16% - GST6%) apabila GST dilaksanakan kelak. Dalam masa yang sama, peniaga masih lagi mampu mengekalkan keuntungan pada kadar sedia ada, kerana hanya elemen cukai SST yang dikeluarkan daripada pengiraan kos untuk penentuan margin untung jualan. Justeru itu, penurunan kos akibat daripada pemansuhan cukai SST sewajarnya disalurkan kembali kepada para pengguna yang berhak menikmatinya. Peniaga tidak seharusnya menyembunyikan fakta ini daripada pengguna kerana pemotongan kos ini dibuat oleh Kerajaan dan bukannya daripada pengurusan kos dalaman peniaga itu sendiri.

Selain itu, tiada sebarang kenaikan kos yang signifikan yang terpaksa ditanggung oleh golongan peniaga semasa pelaksanaan GST. Kos yang wujud hanyalah kos pra pelaksanaan GST iaitu kos menaik taraf atau menukar sistem perakaunan untuk mematuhi tuntutan GST serta kos perundingan dan latihan mengenai GST. 

Bagi mengimbangi keperluan pra pelaksanaan GST serta mengelakkan penyaluran sebarang kos berkaitan pelaksanaan GST kepada para pengguna, Kerajaan dijangka akan memperuntukkan dana khas bagi membantu golongan peniaga iaitu dengan memberikan subsidi perisian perkaunan-GST, latihan serta insentif perniagaan yang bersesuaian agar pentadbiran GST dapat dilaksanakan dengan lebih baik oleh para peniaga. Untuk rekod, perkara yang sama telah dilakukan oleh Kerajaan Singapura dan Australia apabila mereka melaksanakan GST masing-masing pada tahun 1994 dan 2000.

GST sebenarnya merupakan satu formula percukaian yang lebih telus, efisyen dan mesra perniagaan. GST akan menghasilkan manfaat nilai kepada golongan peniaga di mana Kerajaan telah memberikan komitmen untuk menyediakan insentif-insentif khusus seperti merasionalisasikan kadar Cukai Pendapatan Syarikat bagi menjana pertumbuhan sektor perniagaan secara keseluruhan. Justeru itu, golongan peniaga haruslah bersikap positif dan memandang ke hadapan untuk bersedia menerima peluang-peluang ekonomi yang mendatang yang terhasil daripada pelaksanaan GST kelak.

Secara umumnya, kejayaan pelaksanaan GST di Malaysia sangat bergantung kepada sikap kebertanggungjawaban para peniaga di dalam urusniaga mereka dengan pengguna dan Kerajaan. Jika para peniaga mengamalkan etika murni dengan mengenepikan ketamakan dalam meraih keuntungan, maka aspirasi GST untuk memakmurkan golongan peniaga dan pengguna akan beroleh kejayaan.

Penulis adalah Ketua Jabatan GST dan Pengurus Projek GST di firma SALIHIN GST Services Sdn. Bhd.

Sila layari Blog: http://www.gst-m.blogspot.com/ dan https://www.facebook.com/GstMalaysiaSupportTeam untuk maklumat lanjut mengenai GST Malaysia.

GST DAN KUASA PENGGUNA

19 Ogos 2013


Kematangan pengguna merupakan teras kepada kekukuhan sistem ekonomi sesebuah negara. Ini kerana, pengguna mempunyai kuasa yang besar dalam mempengaruhi hala tuju pasaran. Tanpa permintaan oleh pengguna, maka sebarang penawaran oleh peniaga adalah tidak memenuhi hukum ekonomi dan begitu juga sebaliknya.

Kita memahami hakikat bahawa matlamat utama setiap peniaga adalah untuk memaksimumkan keuntungan perniagaan mereka. Oleh itu, peniaga akan sentiasa mencari titik ruang di dalam pasaran untuk mereka memenuhi matlamat keuntungan di atas sesuatu urusniaga. Antara kaedah paling biasa digunakan oleh peniaga adalah dengan mencipta inovasi terhadap penawaran dengan mengambil kira kehendak serta citarasa pengguna. Sebagai contoh, penciptaan teknologi telefon bimbit yang semakin berkembang pantas sehingga penawaran yang mempengaruhi permintaan dan bukan sebaliknya. Strategi peniaga melalui penciptaan dan inovasi telah menjadikan pengguna terikut-ikut rentak peniaga dalam memenuhi citarasa mereka.

Senario hal ehwal kepenggunaan di Malaysia

Senario hal ehwal kepenggunaan di Malaysia mempunyai perbezaan berbanding senario di negara-negara maju. Di Malaysia, Kerajaan adalah pihak yang memainkan peranan paling besar terhadap hal ehwal kepenggunaan berbanding pengguna itu sendiri. Dalam masa yang sama, Kerajaan juga harus membangunkan institusi perniagaan demi menggerakkan ekonomi negara. Kebergantungan pengguna terhadap Kerajaan untuk mempengaruhi pasaran telah menjadikan peniaga lebih kuat berbanding pengguna yang sepatutnya mempunyai kuasa terbesar di dalam sistem ekonomi. 

Peniaga di Malaysia hari ini amat dominan dalam menentukan harga atau barang dan perkhidmatan yang hendak mereka tawarkan. Mereka menekan pengguna dan menyalahkan Kerajaan sekiranya strategi perniagaan mereka mendatangkan risiko kepada diri mereka. Sebagai contoh, di musim-musim perayaan golongan peniaga akan mengganggu proses pembekalan barangan keperluan seperti daging, ayam, minyak masak, gula dan banyak lagi, bagi memanipulasi harga di pasaran. Situasi yang sama berulang-ulang saban tahun tahun kerana peniaga sangat memahami akan sikap dan tingkah laku pengguna yang tidak komited terhadap hak dan kuasa yang ada ditangan pengguna. Ini menjadikan bebanan melindungi pengguna seolah-olah terletak sepenuhnya ke atas bahu Kerajaan semata-mata.

Senario ini berbeza dengan negara-negara maju di mana pengguna dan peniaga saling melengkapi tanpa pengaruh yang besar dari Kerajaan. Pengguna di negara maju amat berani menggunakan hak dan keistimewaan mereka sehinggakan peniaga amat berhati-hati dalam mewujudkan penawaran supaya kepentingan perniagaan sentiasa dilindungi. 

Di Malaysia, terdapat beberapa badan-badan bukan kerajaan atau NGO yang bergerak aktif untuk mempertahankan hak pengguna. Antaranya ialah Persatuan Pengguna Pulau Pinang atau CAP dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia atau PPIM, masing-masing ditubuhkan pada tahun 1970 dan 1997. Kedua-dua NGO ini telah menggerakkan pelbagai program kepenggunaan dengan matlamat mendidik dan mempertahankan hak pengguna. Namun begitu, sokongan daripada pengguna sendiri terhadap usaha kedua-dua NGO ini pula tidak begitu kuat. Sebagai contoh, beberapa siri kempen memboikot beberapa jenis barang pengguna untuk tujuan tertentu, tidak begitu dihiraukan oleh pengguna walaupun kesan tindakan memboikot itu mampu menekan peniaga untuk bersikap lebih perihatin terhadap hak pengguna.

Selain itu, Kerajaan juga telah menubuhkan mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia dengan objektif untuk membantu pengguna membuat tuntutan atau mendapatkan keadilan atas hal-hal yang berkaitan dengan kepenggunaan dan golongan peniaga. Walau bagaimanapun, tidak ramai pengguna yang menyedari atau mengambil tahu mengenai peranan besar tribunal ini dalam membantu menegakkan hak pengguna. 

Kebimbangan pengguna mengenai GST

Umum mengetahui bahawa Kerajaan pada ketika ini sedang membuat persedian rapi bagi melaksanakan pelan tranformasi terhadap sistem percukaian negara. Di dalam pelan tersebut, Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST akan diperkenalkan untuk menggantikan sistem cukai kepenggunaan sedia ada iaitu Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST).

Ramai pengguna mempunyai kebimbangan mengenai situasi pasaran apabila GST dilaksanakan kelak iaitu jangkaan bahawa akan berlaku kenaikan harga barang dan perkhidmatan di semua peringkat pembekalan secara drastik. Kebimbangan pengguna ini sebenarnya telah memberikan kemenangan moral kepada para peniaga kerana ia menunjukkan bahawa pengguna tidak memahami mekanisma sebenar GST dan ini menjadi peluang besar kepada peniaga untuk terus membuat kawalan ke atas pasaran berbanding pengguna. 

Pengguna harus sedar bahawa GST bukanlah kos kepada peniaga malahan GST akan mengurangkan kos sedia ada bagi proses pengeluaran barang dan perkhidmatan yang peniaga tawarkan. Secara teorinya harga barang dan perkhidmatan mempunyai ruang untuk diturunkan tanpa sebarang kerugian di pihak peniaga, sehingga jumlah maksimum 12% apabila Cukai Jualan 10% dan Cukai Perkhidmatan 6% dimansuhkan dan diganti dengan GST berkadar Standard 6%. 

Di dalam sistem GST, tidak semua barang dan perkhidmatan akan dikenakan GST pada Kadar Standard 6%. Pembekalan barangan asas keperluan isi rumah seperti produk pertanian, bekalan ternakan, bahan asas masakan dan banyak lagi, akan diletakkan di dalam kategori Kadar Sifar (0%). Manakala barang atau perkhidmatan awam pula seperti tanah dan kediaman, pengangkutan awam, pendidikan, perkhidmatan kesihatan, perkhidmatan kewangan serta caj lebuhraya, akan diletakkan di dalam kategori Dikecualikan GST.

Sekiranya pengguna masih mengabaikan tanggungjawab sendiri untuk melihat sisi sebenar sistem ekonomi semasa era GST kelak, maka peniaga akan terus memperoleh kawalan ke atas pasaran dan menikmati hasil lumayan tanpa menghiraukan kesusahan pengguna. 

Pelaksanaan GST amat berkait rapat dengan usaha Kerajaan untuk membimbing Rakyat Malaysia menjadi pengguna yang matang dan bijak. Melalui GST, pengguna dapat melihat gelagat sebenar para peniaga dalam memenuhi matlamat perniagaan mereka. Aspek ketelusan di dalam sistem GST telah dirumus bagi memelihara hak serta kepentingan pengguna dan seterusnya membantu pengguna membuat pilihan yang tepat semasa berbelanja. GST juga boleh mendidik pengguna supaya bijak merancang perbelanjaan mengikut tahap kemampuan kewangan masing-masing.

GST tidak akan mencapai kejayaan jika pengguna masih berada di dalam zon selesa dengan meletakkan tanggungjawab melindungi diri mereka di bahu Kerajaan atau NGO sahaja. Pengguna harus memperlihatkan kekuatan mereka apabila merasakan diri teraniaya atau ditindas oleh peniaga yang tamak. Gunakan saluran undang-undang yang telah disediakan oleh Kerajaan serta perlihatkan hak kuasa beli yang ada ditangan pengguna. Jangan sesekali membiarkan peniaga memanipulasi keadaaan kerana matlamat peniaga pastinya berbeza dengan pengguna. 

Ingatlah bahawa GST akan mambawa bersama suatu cabaran yang besar kepada hal ehwal kepenggunaan di Malaysia dan kematangan pengguna itu sendiri adalah alat penyelesaiannya. 

Penulis adalah Ketua Jabatan GST dan Pengurus Projek GST di firma SALIHIN GST Services Sdn. Bhd.

Sila layari Blog: http://www.gst-m.blogspot.com/ dan https://www.facebook.com/GstMalaysiaSupportTeam untuk maklumat lanjut mengenai GST Malaysia.

Thursday, February 20, 2014

SALAH TANGGAPAN MENGENAI GST

23 Julai 2013
Gambar Resit Bayaran Tempat Letak Kereta
Isu mengenai GST telah berdendang rancak di laman-laman sosial sejak tamatnya Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) Mei lalu. Sekeping gambar resit pembayaran caj tempat letak kereta yang tertera bersama caj “GST”, beralamat di sebuah pasaraya besar di Mutiara Damansara, telah menjadi viral yang popular di kalangan Rakyat Malaysia setelah ianya dimuat naik ke laman Facebook, Twitter dan Instagram serta disalin pula oleh penulis-penulis blog dan laman berita online. Antara tajuk yang diletakkan pada gambar tersebut ialah “belum PRU, GST dah dilaksanakan????” dan “Padan muka penyokong (parti politik) GST 6% dah berkuat kuasa”.

Gambar resit tersebut telah menjadi bahan perbincangan terbuka dengan pelbagai komentar santai dan sinis antaranya bernada jenaka, berbaur politik serta terdapat juga yang berbunyi keluhan, kekecewaan dan kemarahan. 

Situasi sebegini sedikit sebanyak dapat menggambarkan kepada Kerajaan mengenai kedudukan dan pemahaman Rakyat mengenai “apakah itu GST?”.

Hakikatnya, tedapat dua kesalahan pada gambar resit tersebut yang menimbulkan salah tanggapan pelbagai pihak terhadap GST yang sebenar dan juga Kerajaan. Kesalahan pertama adalah perkataan “GST” yang ditulis di atas resit dan yang kedua adalah tiada nota penjelasan mengenai maksud singkatan “GST” yang ditulis.

Kekeliruan mengenai Cukai Perkhidmatan

Menurut penilaian penulis, “GST 6%” yang tertera di atas resit pembayaran caj tempat letak kereta tersebut sebenarnya adalah Cukai Perkhidmatan (Service Tax) atau CP yang dikenakan ke atas pengguna perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat pengendalinya. Terma “GST” yang digunakan di atas resit besar kemungkinan merujuk kepada singkatan “Government Service Tax” dan bukannya “Goods and Services Tax” atau terma Melayunya, Cukai Barang dan Perkhidmatan. 

Syarikat pengendali tempat letak kereta tersebut dipercayai telah memungut Cukai Perkhidmatan 6% daripada para pelanggannya kerana ianya telah mencapai syarat kelayakkan untuk berbuat demikian mengikut Akta Cukai Perkhidmatan 1975 (ACP 1975), iaitu penerimaan hasil tahunan (threshold) melebihi RM150,000.00. Cukai yang dipungut akan dipulangkan kepada Kerajaan untuk setiap dua (2) bulan sekali.

Untuk rekod, Cukai Perkhidmatan telah dilaksanakan di Malaysia sejak tahun 1975 melalui penguatkuasaan ACP 1975. Manakala, Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST yang sebenar pula belum lagi dilaksanakan di Malaysia, malahan undang-undangnya juga masih belum diluluskan di Parlimen. 

Kekeliruan mengenai Cukai Perkhidmatan di Malaysia bukanlah perkara baru. Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ogos 2011 dan dikemaskini pada April 2012, pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) iaitu agensi pengendali urusan cukai tidak langsung telah menerima pelbagai aduan atas kekeliruan pengguna dan pengusaha perniagaan mengenai terma serbenar Cukai Perkhidmatan ini. 

Pasa masa kini, terdapat sekurang-kurangnya tiga (3) terma tidak rasmi sebagai pengganti nama kepada Cukai Perkhidmatan iaitu Government Tax, Government Service Tax yang disingkatkan sebagai “GST” serta Service Charge. Ketiga-tiga terma tidak rasmi ini kerap ditetapkan (setting) secara salah di dalam sistem pengebilan (Inbois Jualan) oleh perusahaan-perusahaan yang layak memungut Cukai Perkhidmatan di Malaysia. 

Menurut semakan penulis, pihak JKDM tidak pernah menukar terma Cukai Perkhidmatan kepada mana-mana terma atau singkatan yang selain dari “CP” atau “Service Tax”. Justeru itu, mana-mana terma tidak rasmi yang digunakan bagi mengganti nama Cukai Perkhidmatan, adalah menyalahi terma asal seperti yang dinyatakan di dalam ACP 1975. 

Fahami GST yang sebenar

Kesilapan penggunaan terma “GST” sebagai pengganti nama Cukai Perkhidmatan telah mewujudkan kekeliruan yang serius terhadap sistem cukai GST yang sebenar yang bakal dilaksanakan oleh Kerajaan untuk menggantikan Cukai Perkhidmatan itu sendiri. 

GST yang sebenar telah dicadangkan pada Kadar Standard 6%, iaitu peratusan yang sama dengan kadar Cukai Perkhidmatan sedia ada, 6%. GST juga dirumus untuk menggantikan Cukai Jualan semasa yang berkadar 10%. Secara relatifnya, pengguna mempunyai peluang untuk memperoleh penjimatan sehingga ke paras maksimum 12% di dalam kebanyakan harga barang dan perkhidmatan apabila GST dilaksanakan.

Selain itu, syarat threshold turut ditingkatkan di mana sesebuah perusahaan perlu mencapai tingkat jualan RM500,000.00 dalam tempoh 12 bulan berturut-turut sebelum layak memohon daripada JKDM untuk memungut GST daripada pengguna. Ini bermakna, di dalam era di mana GST sebenar telah dilaksanakan kelak, tidak semua barang atau perkhidmatan akan layak dikenakan GST bersandarkan asas threshold. 

Pengguna tidak seharusnya berasa cemas dengan pelaksanaan GST yang sebenar kelak kerana pelbagai pertimbangan telah diambil kira oleh para pembuat polisi GST di dalam Kerajaan, di mana kepentingan Rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah adalah menjadi keutamaan. Sebagai contoh, pembekalan barangan asas keperluan isi rumah seperti produk pertanian, bekalan ternakan, bahan asas masakan, dan banyak lagi, akan diletakkan di dalam kategori Kadar Sifar (0%) GST. Manakala barang atau perkhidmatan awam pula seperti tanah dan kediaman, pengangkutan awam, pendidikan, perkhidmatan kesihatan, perkhidmatan kewangan serta caj lebuhraya, akan diletakkan di dalam kategori Dikecualikan GST. Pembekalan yang dilakukan oleh pengusaha kedai-kedai runcit juga berkemungkinan besar tidak akan mengenakan GST 4% kepada para pelanggan mereka disebabkan paras threshold tidak mencapai kelayakkan yang ditetapkan.

Apa yang penting kepada pengguna dan pengusaha perniagaan adalah mereka perlu memahami hak dan tanggungjawab masing-masing apabila GST menggambil posisinya di dalam sistem ekonomi Malaysia tidak lama lagi.

Penulis adalah Ketua Jabatan GST dan Pengurus Projek GST di firma SALIHIN GST Services Sdn. Bhd.

Sila layari Blog: http://www.gst-m.blogspot.com/ dan https://www.facebook.com/GstMalaysiaSupportTeam untuk maklumat lanjut mengenai GST Malaysia.

Monday, January 27, 2014

Bajet 2014: Penarafan kredit, TPPA, KDNK DAN GST (Original)


*Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas

Rencana di Utusan Online klik di sini

RENCANA ASAL
BAJET 2014: PENARAFAN KREDIT, TPPA, KDNK DAN GST

Oleh Abdussalam Shokhawi
30 Ogos 2013

Menurut perancangan kerajaan, pembentangan Budget 2014 akan dibuat pada 25 Oktober 2013 di Dewan Rakyat. Bajet pasca Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) ini akan menjadi perhatian semua pihak yang ingin melihat buah tangan pertama daripada kerajaan di bawah kepimpinan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak kepada Rakyat bagi penggal baharu 5 tahun yang diperbaharui pada Mei 2013 yang lalu. 

Bagi kebanyakan pemerhati ekonomi dan politik, adalah tidak sukar untuk menelah apa yang bakal menjadi perhatian kerajaan kerana indikasi mengenainya telah pun dinyatakan di dalam Manifesto Barisan Nasional pada pilihanraya umum yang lalu. Namun begitu, perincian terhadap isi kandung bajet ini masih lagi menjadi aspek kejutan dan tetap dinanti-nantikan. 

Seperti kebiasaan, bajet nasional ini perlu menyeimbangi pelbagai perkara penting yang membebani kerajaan, daripada isu keperluan Rakyat terbanyak, isu alam sekitar, isu keselamatan dalam dan luar negara, isu pendidikan, isu pembangunan ekonomi, isu percukaian dan banyak lagi.

Bagi isu pembangunan ekonomi, antara perkara terbesar yang perlu diberi perhatian kali ini adalah untuk memperlihatkan inisiatif-inisiatif hala tuju ekonomi yang mampan bagi mengukuhkan kedudukan fiskal dan makro ekonomi negara. Kerajaan perlu membuktikan komitmennya untuk menstabilkan situasi kredit negara serta menunjukkan prospek pelaksanaan pembaharuan bajet negara adalah tidak suram seperti yang ditakrifkan oleh agensi penarafan global, Fitch Ratings pada Julai 2013. 

Dalam hal ini, kerajaan harus memperkasakan pentadbiran dan pengurusan sistem kewangan negara agar keyakinan pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan di dalam sistem ekonomi negara termasuklah pelabur, bakal pelabur, pemiutang dan penghutang akan dapat dipertingkatkan. Usaha tekun perlu digembeling untuk mengembalikan bajet berimbang serta menghasilkan petunjuk positif ekonomi seperti pengukuhan Ringgit berbanding matawang utama dunia, peningkatan jumlah dagangan, pengurangan kredit, peningkatan eksport dan sebagainya.

Perkara ini bukan mudah untuk dilakukan kerana penurunan ramalan (Outlook) penarafan kredit Malaysia daripada stabil kepada negatif yang dibuat oleh Fitch Ratings telah memberikan impak yang besar terhadap situasi pasaran seperti kejatuhan pasaran saham di Bursa Malaysia dan pengucupan nilai Ringgit berbanding Dollar Amerika. Kesan pasaran ini juga adalah kesan berganda dan perlu ditangani segera dengan bijaksana oleh kerajaan untuk mengelakkan bencana kemelesetan ekonomi berulang lagi. 

Selain isu penarafan Fitch Ratings, Bajet 2014 turut dijangka akan memperkatakan mengenai perkembangan rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau TPPA yang melibatkan 12 buah negara iaitu Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Malaysia, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan Jepun. 

Pelbagai pihak telah menyatakan kerisauan mengenai isi kandung serta keseimbangan perjanjian perdagangan ini kerana faktor pengaruh negara kuasa besar yang diketuai oleh Amerika Syarikat. Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam kenyataan kritikalnya mengenai TPPA telah membangkitkan isu-isu ketelusan kerajaan dalam rundingan perjanjian tersebut serta telah melahirkan kebimbangan yang serius bahawa Malaysia bakal terdedah kepada risiko perjanjian berat sebelah terutamanya dalam memenuhi agenda tersirat Amerika Syarikat terhadap negara kecil yang makmur seperti Malaysia.

TPPA sebenarnya adalah satu bentuk perjanjian bebas untuk menggalakkan kegiatan perdagangan dan pelaburan merentas sempadan di antara negara-negara yang menandatanganinya. TPPA menyediakan pelbagai manfaat pasaran yang memungkinkan syarikat-syarikat tempatan untuk berpeluang meneroka pasaran antarabangsa, memindahkan teknologi dan berkongsi ilmu pengetahuan. 

Walaupun begitu, TPPA dikatakan mempunyai terma-terma khusus yang dilihat akan memberikan kelebihan kepada negara-negara maju terutamanya Amerika Syarikat. Sebagai contoh, negara anggota tidak dibenarkan mengenakan kawalan ke atas pertukaran matawang, dikehendaki membentuk dasar kesamarataan bagi peluang pemerolehan kontrak kerajaan serta pengenaan syarat ketat kepada industri ubat-ubatan/farmasutikal yang dibimbangi akan meningkatkan kos perubatan kepada Rakyat di negara-negara membangun seperti Malaysia.

Dalam hal lain, Bajet 2014 turut dijangka akan menjadi medium perbahasan mengenai pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) yang baru-baru ini telah menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada antara 5 peratus dan 6 peratus kepada antara 4.5 peratus dan 5 peratus. Menurut kenyataan BNM, KDNK 2013 Malaysia telah disemak semula berikutan situasi ketidaktentuan yang belarutan dalam ekonomi global. Aktiviti eksport dalam separuh pertama tahun 2013 telah mencatatkan pertumbuhan yang negatif berikutan faktor persekitaran luar yang lemah dan ini amat memberikan kesan terhadap prestasi KDNK keseluruhannya. 

Hakikatnya, disebalik ketidaktentuan ekonomi global, KDNK Malaysia masih mampu mencatatkan pertumbuhan pada kadar 4.3 peratus pada suku kedua tahun 2013 berbanding 4.1 peratus pada suku pertama. Statistik ini telah disumbangkan oleh kekukuhan asas ekonomi domestik yang merangsang teguh daya tahan ekonomi Malaysia. Jika dihurai secara menyeluruh, aktiviti sektor swasta telah menjadi faktor utama yang mendorong kepada perkembangan positif KDNK negara bagi separuh pertama 2013. 

Tahukan anda bahawa situasi ekonomi di Malaysia sebenarnya telah dipantau secara dekat oleh pelbagai pihak yang berkepentingan sama ada di dalam dan luar negara? Mereka yang memantau termasuklah Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kesatuan Eropah, ahli-ahli politik dunia barat, para pelabur asing yang berpotensi, negara-negara serantau serta spekulator-spekulator ekonomi yang sentiasa mencari ruang kelemahan untuk mengaut keuntungan atas kelalaian negara kita.

Beberapa pihak yang sedang memantau ini telah berusaha keras untuk mengubah lanskap kehidupan masyarakat dunia dengan cogan kata “untuk menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik”. Mereka mencipta teknologi, mewujudkan persaingan dan menggubah polisi-polisi tingkah laku mengikut acuan mereka sendiri dan menjadikan pihak yang menolak oder baru mereka sebagai menolak kemajuan dan minda tertutup. 

Bukanlah sesuatu yang ganjil apabila Fitch Ratings menurunkan penarafan terhadap unjuran kredit Malaysia dengan tafsiran bahawa pengurusan kewangan Malaysia sedang melalui fasa yang lemah selepas Mei 2013 dan terdedah kepada sebarang kejutan ekonomi. Pengumuman Fitch Ratings dibuat ketika Amerika Syarikat memperlihatkan tekanan kepada Malaysia agar TPPA segera dimuktamadkan. Para pelabur asing pula menunjukkan reaksi dingin terhadap pasaran sehingga mengakibatkan mata dagangan Bursa Malaysia dan matawang negara mengucup dengan agak ketara. Ini memaksa statistik ekonomi Malaysia dipotretkan sebagai tidak memberangsangkan, walaupun pada hakikatnya asas ekonomi domestik kekal kukuh.

Semua tindak-tanduk ini telah mendedahkan sikap membuli negara-negara kuasa besar ekonomi yang menginginkan Malaysia menari mengikut tempo yang ditetapkan oleh mereka. Matlamat utama negara-negara ini adalah untuk menguasai pasaran supaya ekonomi mereka sendiri akan terlindung dan stabil. Malaysia ditekan dengan pelbagai cara supaya tunduk kepada kemahuan mereka dan membuka pasaran secara bebas. 

Secara realistiknya, ekonomi Malaysia masih berada dalam landasan yang teguh kerana dipacu oleh aktiviti dalam pasaran domestik yang berdaya tahan. Namum begitu, untuk Malaysia bergerak kehadapan dalam situasi ekonomi global yang yang dikawal (walaupun barat selalu mengatakan bahawa pasaran sepatutnya bebas), penyesuaian yang signifikan wajar dilakukan untuk menyeimbangi segala tindak balas persekitaran global.

Ekonomi Malaysia tidak selamanya mampu bertahan dengan kapasiti domestik kerana pada akhirnya yang menerima bebanan adalah pelabur tempatan dan Rakyat. Sifat globalisasi tidak memungkinkan ekonomi Malaysia mampu menyerap ancaman luaran yang berterusan mendesak. Malaysia perlu menggunakan strategi menyerang atau berkawan berbanding memilih untuk bertahan sahaja. 

Untuk itu, Malaysia perlu pantas membuat transformasi melalui caranya sendiri serta berani mengambil risiko untuk mengelakkan dari dipandang rendah oleh negara-negara kuasa besar. Malaysia pernah melakukannya dua kali dengan membuat transformasi melawan arus untuk keluar dari krisis ekonomi pada tahun 1987 dan 1997. Kejayaan ini telah memberikan makna besar kepada Malaysia sehinggakan dunia menjadi kelu dan terpaksa mengiktiraf apa yang dilakukan sebagai sesuatu yang sangat hebat (walaupun mengambil masa yang lama untuk mengiktiraf).

Isu penarafan unjuran kredit Malaysia oleh Fitch Ratings sebenar tidak timbul sekiranya Malaysia menerima pendekatan yang dianjurkan oleh Amerika Syarikat iaitu dengan menerima TPPA segera. Permainan licik sebegini adalah perkara biasa bagi negara Uncle Sam itu. Tidak dinafikan bahawa dengan adanya TPPA, unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia akan lebih mampan kerana potensi kemasukan pelabur asing akan lebih tinggi. Aktiviti ekonomi akan menjadi lebih rancak melalui aliran modal terbuka rentas sempadan antara negara-negara yang terlibat dan ini boleh memotivasikan pelabur-pelabur tempatan untuk menjadi lebih inovatif dalam membentuk strategi masa depan pelaburan mereka. TPPA juga boleh menguntungkan para pengguna kerana ia akan menggalakkan persaingan harga di pasaran. Situasi ini seterusnya berupaya menstabilkan perbelanjaan kerajaan yang kebelakangan ini terpaksa meningkatkan pinjaman untuk tujuan pembangunan dan merangsang ekonomi domestik.

TPPA sebenarnya bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian yang ada bagi menangani isu peningkatan kadar hutang (yang kini berada beberapa mata dibawah paras siling 55% mengikut Akta Pinjaman Tempatan 1959) dan kelembapan pertumbuhan ekonomi negara. Selain TPPA, Malaysia juga boleh menggunakan formula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang sememangnya dirumus untuk mempertingkatkan daya saing negara di peringkat global. 

GST adalah sistem cukai kepenggunaan yang mempunyai asas menyeluruh di dalam kitaran pembekalan. Ia berkebolehan menarik minat pelabur asing yang berpotensi, mengekalkan bakat di dalam negara, menggalakkan kemasukan pelancong asing serta menjana sumber hasil yang lebih stabil kerana kurang dipengaruhi oleh faktor turun naik ekonomi. Dengan adanya GST, kerajaan boleh mengurangkan kebergantungan kepada hasil berasaskan cukai langsung serta memansuhkan sistem Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) yang mempunyai banyak kelemahan. GST juga berupaya mempercepatkan usaha kerajaan untuk memperolehi bajet berimbang dan mengurangkan hutang awam. Walau bagaimanapun, sebelum melaksanakan GST, kerajaan disaran mempertingkatkan usaha bagi membuka minda masyarakat mengenai mekanisma sebenar GST dan seterusnya memperbetulkan persepsi yang salah mengenainya.

Sama ada TPPA atau GST atau kedua-duanya skali, ianya terletak secara eksklusif di bahu kerajaan. Kedua-duanya mempunyai nilai yang boleh mempengaruhi pertumbuhan KDNK dan memperbaiki situasi kredit Malaysia. Apa yang penting, keputusan segera yang jitu haruslah dibuat demi mengelakkan Malaysia daripada terjerumus ke dalam era kemelesetan untuk kesekian kalinya. Malaysia perlu terus mengecap kemakmuran dan mendepani perubahan zaman.

Pada 21 Ogos 2013 yang lalu, laman sosial peribadi YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Malaysia telah memuat naik status mengalu-alukan idea dan padangan Rakyat berkaitan Bajet 2014 yang akan datang. Mengambil peluang ini, Rakyat perlulah matang dan rasional supaya setiap cadangan yang diberikan terutamanya yang berkaitan dengan ekonomi, adalah bermanfaat untuk semua. Salurkan semangat patriotisme dan semarakkan jiwa Malaysia yang teguh bagi setiap cadangan yang diutarakan.

Selamat Hari Merdeka ke 56.

Penulis adalah Ketua Jabatan GST dan Pengurus Projek GST di firma SALIHIN GST Services Sdn. Bhd.

Sila layari Blog: http://www.gst-m.blogspot.com/ dan https://www.facebook.com/GstMalaysiaSupportTeam untuk maklumat lanjut mengenai GST Malaysia.