GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, October 22, 2009

Jangan terlalu berharap


ARKIB : 21/10/2009


KUALA LUMPUR 20 Okt. - Meskipun lebih sejuta pembayar cukai pendapatan individu di negara ini sememangnya mengharapkan diberikan pengurangan bayaran dalam pembentangan Bajet 2010 Jumaat ini, harapan itu mungkin tinggal harapan.

Bersandarkan situasi ekonomi semasa yang masih tidak menentu, idea dan langkah menurunkan cukai pendapatan bukanlah langkah bijak.

Menurut Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Datuk Dr. Zainal Aznam Yusof, pengurangan itu akan hanya mengurangkan pendapatan negara, sekali gus memberi kesan negatif kepada proses pemulihan negara selepas krisis ekonomi global.

''Rakyat sepatutnya perlu diberi gambaran yang jelas kerana apabila kita bercakap mengenai pengurangan cukai pendapatan individu, ia membabitkan pendapatan negara.

''Malaysia diunjurkan bakal berhadapan dengan defisit bajet yang tinggi iaitu 7.6 peratus, tertinggi di ASEAN dan Asia.

''Jadi, saya berpendapat kerajaan perlu menghalusi dan mengkaji sekiranya ia mahu dilaksanakan,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas Persidangan Persekutuan Insurans dan Insurans Semula AFRO-Asia (FAIR) di sini hari ini.

Beliau yang berpendapat cadangan tersebut sukar dilaksanakan kerana kerajaan memerlukan wang untuk proses pemulihan akibat krisis kewangan global.

Katanya, jika semuanya dikurangkan apakah yang lagi tinggal untuk dibelanjakan bagi kos operasi dan pembangunan negara.

Bagaimanapun, pakar ekonomi itu tidak menolak pengurangan cukai individu mungkin boleh dilakukan sekiranya kerajaan berupaya menambah nilai cukai-cukai lain sebagai penggantinya.

Dr. Zainal Aznam menegaskan, kerajaan tidak boleh lagi terlalu bergantung kepada sumber pendapatan daripada Petronas termasuk cukai produk petroleum dan dividen daripada firma minyak itu.

''Rakyat perlu sedar pada masa yang sama Petronas terpaksa menanggung kos yang tinggi bagi penerokaan baru, lagi dalam penerokaannya (mencari minyak) lagi tinggi kos yang perlu ditanggungnya.

Dr. Zainal Aznam berkata, sudah sampai masanya kerajaan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) atau cukai-cukai nilai tambah (VAT), yang dijangka bakal menjadi cadangan populis pada Bajet 2010 kerana ia memberi faedah yang lebih kepada golongan berpendapatan rendah.

Katanya: ''Kerajaan sewajarnya membina platform bagi pelaksanaan GST supaya ia akan memudahkan apabila sistem tersebut berjalan.

''Yang penting ialah berapa tinggi atau rendah kadar cukai yang akan dikenakan, itu sebenarnya yang ditunggu oleh rakyat, jelas beliau.

''Saya yakin sekiranya kerajaan berani memperkenalkan GST dan VAT, tindakan itu membantu meringankan beban hidup golongan kumpulan pertengahan rendah dan rendah memandangkan Malaysia masih dalam kemelesetan ekonomi.

''Walaupun kita telah berada di paras kemelesetan tetapi untuk ekonomi berada di landasan sebenar ia bukan sesuatu yang boleh berlaku dalam sekelip mata.

''Sebab itu, rakyat masih perlu bergantung kepada pelaksanaan polisi fiskal oleh kerajaan untuk memberi sokongan kepada kumpulan berpendapatan rendah,'' ujar beliau.

Ditanya apakah bentuk 'goodies' yang bakal diumumkan kerajaan pada Bajet 2010 Jumaat ini, Dr. Zainal Aznam berpendapat, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pasti akan mengutamakan golongan berpendapatan rendah.

''Kemelesetan ekonomi menyebabkan pendapatan dan lebihan tunai golongan ini sangat terjejas dan Bajet 2010 akan memberi kelegaan,'' tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak Bajet 2010 bakal memberi cabaran kerana kerajaan dijangka mengumumkan penstrukturan semula subsidi untuk memastikan ia dimanfaat sepenuhnya kepada golongan sasar.

''Subsidi-subsidi kerajaan sekarang memberi faedah kepada semua...termasuk golongan yang tidak memerlukan.

''Saya percaya Bajet 2010 akan mencatatkan perubahan. Subsidi perlu diberi kepada mereka yang sepatutnya dan inilah cabaran kepada kerajaan untuk melaksanakannya,'' jelas beliau.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1021&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm#ixzz2WRQuXBpO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, October 21, 2009

Naikkan cukai barangan mewah


ARKIB : 20/10/2009


KUALA LUMPUR 19 Okt. – Anggota Persatuan Akauntan Berkanun Bertauliah (ACCA) mahu kerajaan menaikkan cukai barangan mewah, rokok dan minuman keras dan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan bagi mengukuhkan hasil negara.

ACCA dalam kenyataannya di sini berkata, pelbagai pendekatan perlu dilaksanakan untuk melindung dan memastikan asas pendapatan kerajaan tidak hanya diperoleh melalui peningkatan kadar cukai dan melupuskan beberapa insentif.

Katanya, kerajaan sewajarnya lebih fokus mengukuh pelaksanaan kutipan jualan dan cukai perkhidmatan-perkhidmatan.

‘‘Isu utama adalah penguatkuasaan, penguatkuasaan yang lemah boleh menyebabkan kerajaan kehilangan wang dan menjejaskan pendapatan tambahan.

Sementara itu, kajian yang dijalankan oleh ACCA pada September lalu mendapati 91 peratus daripada 417 responden bersetuju supaya cukai persendirian dikurangkan bagi meningkatkan keyakinan dan menggalakkan perbelanjaan.

Menurut beliau, langkah itu penting untuk menjana sektor peruncitan dan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhannya.

‘‘Pengurangan cukai persendirian ini akan dihargai sebagai tanda prihatin kerajaan kepada rakyat. Selain itu, rakyat juga mahu pilihan penangguhan cukai, rebat persendirian yang lebih banyak dan cadangan pelepasan cukai,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebanyak 75 peratus responden yakin Malaysia belum bersedia untuk melaksanakan cukai banrangan dan perkhdimatan (GST) memandangkan sistem itu belum sedia sepenuhnya.

Kebanyakan memberi alasan sistem sepenuhnya belum bersedia, latihan dan garis panduan tidak mencukupi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1020&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm#ixzz2WRQObggM 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, October 20, 2009

Lebih banyak wang di tangan


ARKIB : 19/10/2009


KUALA LUMPUR 18 Okt. – Bajet 2010 yang bakal diumumkan Jumaat ini, dijangka menyaksikan had jumlah pendapatan individu yang patut dikenakan cukai dinaikkan lagi.

Keadaan ini bermakna kutipan cukai kerajaan akan berkurangan tetapi jumlah wang yang boleh dibelanjakan oleh rakyat Malaysia bertambah, sekali gus merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.

Langkah itu dipercayai diambil kerajaan dalam pembentangan sulung Bajet 2010 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana golongan berpendapatan sederhana sebelum ini dipinggirkan dalam aspek bantuan dan inisiatif berbanding golongan miskin, kata para penganalisis tempatan.

Pengarah Eksekutif Urus Niaga Jupiter Securities Sdn. Bhd., Nazzary Rosli berkata, peningkatan had cukai individu bakal menjadi hadiah kerajaan kepada rakyat kerana ia melibatkan bilangan yang ramai.

Pada masa kini jumlah cukai pendapatan individu ialah sebanyak 12 peratus untuk pendapatan yang dikenakan cukai melebihi RM35,000 hingga RM50,000.

‘‘Langkah ini tidak mustahil untuk dilakukan oleh kerajaan memandangkan sejak Malaysia diterajui oleh Najib, beliau amat bersungguh-sungguh menangani masalah rakyat.

‘‘Bajet 2010 nanti merupakan peluang kepada kerajaan untuk merealisasikan hasrat tersebut dan jika langkah itu benar-benar dilakukan, ia bakal mengubah struktur kehidupan rakyat Malaysia ke arah lebih baik,’’ katanya di sini hari ini.

Sementara itu, tokoh ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, peningkatan jumlah had cukai pendapatan akan memberi lebihan pendapatan kepada golongan terbabit, sekali gus memberi faedah kepada negara melalui kitaran ekonomi.

Beliau berkata, sudah sampai masanya langkah ini diambil memandangkan kehidupan golongan pertengahan di bandar semakin terhimpit akibat peningkatan harga barangan.

‘‘Di Kuala Lumpur misalnya apalah yang boleh dibuat dengan gaji RM3,000. Kita mungkin tidak ada masalah untuk membeli pakaian atau barangan rumah sebab murah dan pelbagai pilihan jenama.

‘‘Masalah utama kita adalah harga makanan yang melambung tinggi sedangkan ia merupakan keperluan hidup.

‘‘Jadi sekiranya kerajaan mengambil pendekatan ini, saya percaya kehidupan rakyat Malaysia akan lebih baik,’’ tambahnya.

Beliau berkata, bagi mengimbangi penurunan pendapatan, kerajaan perlu meningkatkan nilai tambah cukai kepada golongan berpendapatan tinggi, sejajar dengan prinsip percukaian progresif.

Di bawah prinsip itu, golongan kaya atau mewah perlu membayar cukai yang lebih besar berbanding golongan miskin.

Selain itu, kerajaan juga sewajarnya mempertimbangkan untuk menghapuskan bayaran perkhidmatan yang membabitkan jumlah kecil terutama bagi mendapatkan rawatan di hospital miliknya.

‘‘Golongan miskin masih dikenakan bayaran RM1 untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan dan tidak salah jika bayaran kecil ini dihapuskan terus,’’ kata beliau.

GST: Tidak perlu bimbang hilang populariti


ARKIB : 19/10/2009


KUALA LUMPUR 18 Okt. - Kerajaan tidak perlu bimbang akan kehilangan populariti sekiranya melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada rakyat Malaysia.

Sebaliknya, pertimbangan pelaksanaan GST sewajarnya dilakukan atas dasar memastikan kestabilan ekonomi negara untuk jangka panjang.

Para penganalisis ekonomi menyifatkan, kestabilan ekonomi dan populariti politik adalah dua aspek yang berbeza dan ia tidak boleh dijadikan alasan untuk kerajaan melengah-lengahkan pelaksanaan cukai tersebut.

GST adalah cukai yang dikenakan terhadap bekalan kebanyakan barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam negara dan bagi barang import.

Presiden Institut Akauntan, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, Malaysia perlu memperkenalkan GST bagi memastikan kebergantungan kepada petroleum dikurangkan melalui asas cukai yang lebih luas.

''GST merupakan pilihan terbaik yang boleh dipertimbangkan.

''Lagipun dengan melaksanakan GST, ia dapat mempelbagai asas pendapatan terutama dalam menampan impak krisis ekonomi global yang masih belum ada penghujungnya,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau tidak menolak, pelaksanaan GST memang sukar diterima tetapi apabila ekonomi menjadi lebih stabil, rakyat mungkin berupaya menyerap kesannya.

Beliau yakin pelaksanaan GST tidak akan menerima bantahan kerana ia tidak membabitkan golongan miskin.
''Golongan miskin tidak membeli atau mendapatkan perkhidmatan yang bernilai tinggi, jadi apa masalahnya kalau GST dilaksanakan?,'' katanya.

Sementara itu, tokoh ekonomi tempatan, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, secara prinsip GST diperkenalkan untuk membantu kerajaan menyeimbangkan kos yang perlu dibayar oleh golongan berpendapatan rendah.

Sunday, October 18, 2009

FMM bantah pelaksanaan GST


ARKIB : 17/10/2009


KUALA LUMPUR 16 Okt. - Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) bimbang dengan gesaan untuk melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang disifatkan tidak sesuai untuk Malaysia dan patut ditunda bagi jangka masa yang tidak pasti.

Dalam satu kenyataan, FMM berkata Hong Kong telah menilai dan menghentikan keputusannya untuk melaksanakan GST walaupun nisbah dagangannya berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ialah 404 peratus dan 98 peratus daripada perniagaannya ialah perusahaan kecil dan sederhana.

"Ahli perniagaan Australia juga telah menggesa kerajaan mereka untuk mengurangkan GST daripada 10 peratus kepada lima peratus untuk merangsangkan pertumbuhan ekonomi," katanya.

FMM berkata, Malaysia, dengan nisbah jumlah dagangan berbanding KDNK sebanyak 220 peratus, patut sedar akan kebimbangan negara-negara ini terhadap GST dan implikasinya, terutamanya terhadap penggunaan dan kos operasi perniagaan.

Ia berkata, kebimbangan besar perniagaan, terutamanya pengeksport, ialah kecukupan pembiayaan semula.
FMM berkata daripada perspektif pengguna, GST, cukai penggunaan adalah regresif.

"Rakyat, yang tidak perlu membayar cukai pendapatan sebelum GST, kini perlu berbuat demikian bagi penggunaan barangan dan perkhidmatan mereka setiap hari dan mereka tidak mendapat manfaat daripada pengurangan cukai pendapatan yang dijangka turut serta dalam pelaksanaan GST," katanya.
- BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1017&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm#ixzz2WRNpsQMq
© Utusan Melayu (M) Bhd