GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Saturday, October 20, 2012

Pengajian tinggi satu pilihan


ARKIB : 19/10/2012

DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN
Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.
Beliau boleh dihubungi melalui emel mkhaled.mohe@gmail.com


Pengajian tinggi adalah sebahagian proses pendidikan yang bermula daripada peringkat rendah dan menengah. Sistem pendidikan negara pada masa ini mewajibkan pendidikan rendah dan menengah dan kerajaan membiayai sepenuhnya kos pendidikan di peringkat tersebut.

Pengajian tinggi pula adalah bersifat pilihan apabila individu boleh memilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi atau memasuki alam pekerjaan. Ia adalah pelaburan yang boleh meningkatkan keupayaan seseorang individu untuk bersaing merebut peluang kerjaya dan pendapatan yang lebih baik.

George Psacharopoulos yang merupakan pakar Bank Dunia melalui kajian bertajuk "Returns To Investment In Higher Education: A European Survey" menyatakan keputusan untuk memilih pengajian tinggi merupakan satu pelaburan kepada individu dan pulangan yang diperolehi oleh individu hasil daripada pengajian tinggi juga adalah lebih besar iaitu 10.2 peratus (%) berbanding 7.9% oleh masyarakat.

Maka, adalah wajar individu membiayai sebahagian pelaburan itu daripada ditanggung keseluruhannya oleh pembayar cukai (orang awam). Pendidikan percuma anjuran parti pembangkang telah memberi isyarat yang salah dari segi harga pendidikan yang menyebabkan over-education kerana pengguna membuat keputusan yang tidak betul dari segi pelaburan pendidikan.

Kos pengajian tinggi harus dikongsi bersama oleh pembayar cukai dengan individu kerana pengajian tinggi mempunyai ciri quasi public goods.

Walaupun begitu, di negara kita ketika ini di peringkat pengajian tinggi, kerajaan memberi subsidi bagi yuran yang dikenakan kepada pelajar. Umpamanya, kos program pengajian perubatan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sebelum subsidi adalah sebanyak RM166,000 tetapi pelajar hanya membayar yuran sebanyak RM9,000 sahaja, yang mana 94.6 peratus diberikan subsidi oleh kerajaan.

Bagi program kejuruteraan pula, kadar yuran yang sepatutnya adalah RM61,200, manakala yuran yang dibayar pelajar hanya RM5,600 iaitu 90 peratus diberi subsidi oleh kerajaan. Bagi program farmasi pula kos sebenar adalah dalam lingkungan RM51,000 dan pelajar hanya perlu membayar yuran RM6,800. Malah, yuran yang dikenakan oleh IPTA ini juga tidak pernah dinaikkan sejak 1990-an lagi.

Secara keseluruhannya, lebih 90% pembiayaan IPTA adalah bersumberkan dana awam (cukai).

Pokoknya, falsafah di sebalik pembayaran yuran pengajian tinggi sebenarnya sebagai tanda penghargaan kepada nilai ilmu dan keilmuan. Ia sangat penting dalam meletakkan kepentingan dan nilai pengajian tinggi pada tempatnya.

Bagi negara maju, mereka juga mula mengenakan yuran pengajian di institusi pengajian tinggi awam masing-masing, antaranya United Kingdom bermula 1998. Namun bagi meringankan beban pelajar, kerajaan Britain memperkenalkan skim pinjaman pelajar. Langkah ini juga diikuti beberapa negara Eropah lain seperti Austria, Perancis, Ireland, Sepanyol, Belgium, dan Belanda.

Kadar yuran yang dikenakan juga berbeza mengikut negara dari serendah 50 Euro sehinggalah 1,302 Euro. Begitu juga dengan Maghribi di mana Menteri Pengajian Tinggi dalam laman sesawang Morocco World News pada 23 Julai 2012 mengumumkan keputusan kerajaannya untuk menghentikan pengajian tinggi percuma.

Sungguhpun terdapat negara seperti Finland, Denmark dan Norway, yang dikatakan menawar pendidikan tinggi secara percuma, namun negara-negara ini mempunyai struktur cukai pendapatan yang paling tinggi di dunia. Kadar cukai pendapatan individu di negara itu adalah antara 6.5 hingga 55.4% dan mereka juga melaksanakan cukai perkhidmatan dan barangan (goods and services tax - GST) dan Value-added Tax (VAT) sekitar 23 hingga 25% yang belum lagi diamalkan di Malaysia.

Pendapatan perkapita setahun negara-negara itu juga adalah jauh lebih tinggi berbanding Malaysia yang mana Finland mempunyai pendapatan perkapita setahun sebanyak AS$48,420, Denmark AS$60,390, dan Norway sebanyak AS$88,890, manakala pendapatan perkapita Malaysia hanya AS$8,420.

Pendapatan per kapita hasil daripada cukai yang tinggi ini digunakan untuk membiayai pengajian tinggi. Ini menunjukkan sebenarnya tidak wujud istilah pendidikan percuma di mana-mana negara kerana pasti akan ada pihak yang membiayainya.

Dalam erti kata lain, pendidikan percuma di Finland, Denmark dan Norway dibiayai oleh dana awam sepenuhnya melalui kadar cukai yang tinggi tetapi Malaysia dengan kadar cukai 0-26% masih mampu memberikan subsidi yuran sehingga 95% kepada lebih 500,000 pelajar IPTA setahun.

Hujah yang menjadikan Turki sebagai contoh negara yang memberi pendidikan percuma adalah tidak tepat sama sekali. Turki sebenarnya turut mengenakan yuran pengajian di peringkat tertiari dan pasca siswazah, dan keadaannya sama seperti Malaysia.

Turki hanya menawarkan pendidikan percuma di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah tinggi dari gred 1 hingga 12 (dari umur 6 - 18 tahun). Gred 1-4 adalah sekolah rendah; gred 5-8 adalah sekolah menengah; dan gred 9-12 adalah sekolah tinggi).

Malaysia juga menawarkan pendidikan percuma di peringkat sekolah rendah dan menengah dari darjah 1 hingga tingkatan 6 atas (dari umur 7-18 tahun) sama seperti Turki.

Pada masa sama, sebahagian besar pelajar Turki terpaksa memohon pinjaman menerusi Higher Education Credit and Dormitories Institution yang ditubuhkan pada 1961 dan kadar faedah yang dikenakan berdasarkan Indeks Harga Pengguna (CPI) yang mengikut kadar inflasi semasa.

Kadar purata CPI untuk 2010 ialah 8.58% dan tahun 2011 ialah 6.46%. Kadar faedah tambahan sebanyak 2.5% daripada kadar asas CPI akan dikenakan kepada pelajar yang gagal membuat bayaran dalam tempoh yang ditetapkan.

Sebagai rumusan, pelaksanaan pengajian tinggi percuma akan melibatkan implikasi-implikasi yang memerlukan pertimbangan rasional agar tindakan tersebut tidak menjejaskan hala tuju negara dalam mencapai status negara maju menjelang 2020. Di samping itu, pengajian tinggi percuma tidak boleh dilaksanakan ke atas IPTS kerana ia adalah entiti perniagaan yang berasaskan keuntungan.

Situasi ini, akan menyebabkan tumpuan masyarakat akan beralih kepada IPTA. Kualiti pengajian tinggi negara juga boleh jatuh kerana faktor percuma akan menghilang nilai sebenar ilmu dan sikap kebertanggungjawaban pelajar.

Sehubungan itu, pada masa ini, kerajaan belum bersedia memberi pengajian tinggi percuma kerana jika dilaksanakan kerajaan terpaksa mengenakan bebanan cukai yang tinggi terhadap rakyat. Maka di sinilah letaknya kepentingan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Sebelum penubuhan PTPTN, kerajaan hanya mampu menyediakan biasiswa untuk sekitar 26,000 orang pelajar sahaja setahun. Ini bermaksud, ramai pelajar yang layak ke IPT tidak mendapat penajaan khususnya dalam kalangan mereka yang miskin dan berpendapatan sederhana.

Namun, hari ini, PTPTN berjaya meningkatkan akses kepada pengajian tinggi di mana pada 2011 sahaja, sejumlah 227,209 orang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat pengajian tinggi dengan bersumberkan pembiayaan PTPTN.

Kerajaan melihat cadangan untuk memberikan pendidikan percuma dan menghapuskan PTPTN adalah satu lagi janji yang populis tanpa mengkaji implikasinya. Tindakan pemansuhan PTPTN sebenarnya akan memberi kesan amat besar kepada pelajar dan negara kerana ia akan:

i. Mengehadkan akses kepada pengajian tinggi dalam kalangan pelajar miskin;
ii. Menyebabkan ketiadaan sumber untuk membiayai yuran pengajian pelajar IPTS;
iii. Menyebabkan ketiadaan sumber untuk membiayai kos sara hidup pelajar IPTA/IPTS, yang mana bagi pelajar IPTA hanya sekitar 15 - 30% pinjaman PTPTN digunakan untuk membayar yuran, manakala 70 - 85 % digunakan bagi menanggung kos sara hidup. Bagi pelajar IPTS pula, 70% digunakan untuk yuran dan 30% untuk sara hidup; dan
iv. Merencatkan usaha bagi merealisasikan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pengajian tinggi negara menjelang tahun 2020

Oleh itu, kerajaan akan mengekalkan pembiayaan PTPTN. Sehingga 31 Ogos 2012, PTPTN meluluskan pembiayaan pendidikan kepada 2,031,259 pelajar yang layak dengan komitmen sehingga pelajar tamat pengajian berjumlah RM45.4 bilion. Jumlah ini amat tinggi tetapi komitmen ini adalah pelaburan besar negara untuk manfaat rakyat dan pembangunannya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121019/re_02/Pengajian-tinggi-satu-pilihan#ixzz2WdCN782C
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sistem cukai negara perlu diperbaharui dengan GST

Posted on October 19, 2012, Friday

KUCHING: Sistem percukaian negara perlu diperbaharui dengan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) untuk memastikan sumber perolehan negara kekal stabil.

Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Faizulnuddin Hashim berkata terdapat kelemahan dalam sistem percukaian sedia ada iaitu cukai perkhidmatan dan jualan.

Malah, kerajaan katanya bergantung penuh kepada cukai pendapatan dan perolehan petroleum yang mana perolehan petroleum ketika ini tidak mapan dan boleh habis.

Oleh sebab itu katanya, negara perlu mencari sumber lain untuk kestabilan perolehan melalui satu sistem percukaian yang lebih efektif dan cekap.

“GST merupakan sebahagian daripada program reformasi cukai kerajaan bagi memperkukuhkan kecekapan dan keberkesanan sistem percukaian negara.

“Jika dibandingkan dengan cukai pendapatan, sumber perolehan GST lebih stabil dan lebih cekap serta berkesan dan membolehkan perniagaan menuntut kembali cukai input,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pembentangannya mengenai kesedaran terhadap GST pada program latihan dan kesedaran GST di Dewan Utama, Tingkat 4, Wisma STA di sini semalam.

Program tersebut merupakan anjuran Persatuan Perkayuan Sarawak (STA) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Terdahulu dalam ucapannya, Bendahari STA Philip Choo Kwong Hui bagi pihak penganjur berkata GST telah diusulkan oleh kerajaan pusat menggantikan cukai perkhidmatan dan jualan pada 2005.

Ia sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Januari 2007, namun ditangguhkan pada bacaan kedua rang undang-undang pada Mac 2010 bagi membolehkan kerajaan memperluaskan penglibatan sektor perniagaan dan memastikan GST diterima baik sebelum dilaksanakan.

Hasil daripada kajian pada 1 Januari 2007, didapati tahap kesedaran ahli-ahli STA terhadap GST agak cetek dan mereka keseluruhannya masih belum bersedia untuk pelaksanaan GST.

Bagaimanapun, demi kepentingan industri perhutanan dan perkayuan di negeri ini, kumpulan kerja STA GST telah menghantar memorandum mengenai GST.

Memorandum ini termasuk kertas cadangan beberapa rujukan GST yang berpatutan meliputi pendaftaran, pembekalan, sektor perhutanan spesifik, pentadbiran dan perkara- perkara transisional.

Ini bagi memastikan industri perkayuan dan perhutanan di Sarawak terus kekal mencapai kecemerlangan dan mengekalkan persaingan di bawah rejim GST yang dicadangkan.

Sekitar 150 peserta menyertai program tersebut yang berlangsung selama dua hari iaitu pada 18 dan 19 Oktober 2012.


Friday, October 19, 2012

Pendidikan percuma isyarat salah


ARKIB : 18/10/2012

KUALA LUMPUR 17 Okt. - Dewan Rakyat diberitahu, pendidikan percuma anjuran pembangkang memberi isyarat salah dari segi harga pendidikan sehingga menyebabkan pengguna membuat keputusan yang tidak betul khususnya dalam aspek pelaburan pendidikan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kos pengajian tinggi tidak harus dibebankan ke atas pembayar cukai semata-mata sebaliknya perlu ditanggung bersama individu terbabit kerana kos itu merupakan pelaburan demi pulangan masa depan mereka.

Tegasnya, tiada istilah pendidikan percuma di mana-mana negara untuk pengajian tinggi kerana pasti ada pihak yang perlu membiayai kos pendidikan tersebut walaupun pembangkang sering menjadikan Turki sebagai contoh dalam membuat janji populis.

Menurut Mohamed Khaled, Turki sebenarnya turut mengenakan yuran pengajian di peringkat universiti dan pasca siswazah sama seperti di Malaysia.

“Sebahagian besar pelajar Turki terpaksa memohon pinjaman menerusi Higher Education Credit and Dormitories Institution yang ditubuhkan pada 1961 dan kadar faedah yang dikenakan berdasarkan Indeks Harga Pengguna (CPI) mengikut kadar inflasi semasa.

“Menerusi kaedah itu, kadar faedah tambahan sebanyak 2.5 peratus daripada kadar asas CPI akan dikenakan kepada pelajar Turki yang gagal membuat bayaran dalam tempoh yang ditetapkan," katanya semasa membahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, Turki hanya menawarkan pendidikan percuma di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah tinggi sama seperti di Malaysia.

“Di negara kita ketika ini di peringkat pengajian tinggi, kerajaan memberi subsidi bagi yuran. Umpamanya, kos program pengajian perubatan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sebelum subsidi adalah RM166,000, tetapi pelajar hanya membayar yuran sebanyak RM9,000 sahaja.

“Ini bermakna sebanyak 94.6 peratus yuran telah diberi subsidi oleh kerajaan," katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, negara seperti Finland, Denmark dan Norway yang dikatakan menawarkan pendidikan tinggi secara percuma sebenarnya melaksanakan cukai pendapatan individu antara 6.5 hingga 55.4 peratus.

Selain itu, katanya, negara berkenaan turut melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan cukai nilai tambah (VAT) sekitar 23 hingga 25 peratus bagi membolehkan pendidikan tinggi diberi secara percuma kepada rakyat mereka.

“Ini menunjukkan tidak wujud istilah pendidikan percuma di mana-mana negara atau dalam erti kata lain, pendidikan percuma di Finland, Denmark dan Norway dibiayai dana awam sepenuhnya melalui kadar cukai yang tinggi," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121018/dn_08/Pendidikan-percuma-isyarat-salah#ixzz2WdD3w5Ii
© Utusan Melayu (M) Bhd