GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Saturday, March 13, 2010

GST tak dibentang esok


KUALA LUMPUR 13 Mac – Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga yang dijadualkan pada sesi Persidangan Dewan Rakyat bermula Isnin ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menjelaskan, kerajaan membuat keputusan itu kerana memerlukan lebih banyak masa untuk mengumpul maklum balas dan penerimaan rakyat mengenai pelaksanaan cukai tersebut.

“Kami memerlukan lebih banyak masa untuk mendekati dan mengambil kira pandangan rakyat mengenai pelaksanaan GST.

“Pelaksanaan GST juga akan bergantung kepada penerimaan rakyat terhadapnya,” kata beliau.

Ahmad Husni berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (DPMMKL) ke-35, di sini hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua DPMMKL, Prof. Datuk Syed Amin Aljeffri.

Kepada satu soalan, Ahmad Husni memberitahu, kerajaan tidak menetapkan sebarang tarikh atau sidang Dewan Rakyat tertentu untuk bagi bacaan kali kedua dan ketiga pembentangan Rang Undang-Undang GST itu.

Khamis lalu, beliau menafikan spekulasi yang menyebut mesyuarat Kabinet pada hari sebelumnya membuat keputusan untuk membatalkan pelaksanaan GST.

Katanya, mesyuarat Kabinet itu membincangkan secara mendalam mengenai kesediaan kerajaan melaksanakan GST bagi memastikan tiada sebarang masalah timbul pada masa depan.

Bacaan pertama Rang Undang-undang GST telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 16 Disember lalu dan bacaan kali kedua dan seterusnya dijadual pada sidang Dewan Rakyat bermula Isnin ini.

GST yang dicadangkan itu adalah bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sedia ada.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0314&pub=utusan_malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm#ixzz2WNDGdW8S
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pembentangan Rang Undang-Undang GST ditangguhkan


13/03/2010 2:41pm

KUALA LUMPUR 13 Mac – Pembentangan Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk bacaan kali kedua dan ketiga yang dijadualkan pada sesi Persidangan Dewan Rakyat bermula Isnin ini akan ditangguhkan.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menjelaskan, penangguhan itu kerana kerajaan masih lagi mengumpul pandangan, penerimaan dan maklum balas rakyat mengenai dasar tersebut. – Utusan


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0313&pub=utusan_malaysia&sec=Terkini&pg=bt_14.htm#ixzz2WND1F2u9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

GST dijangka beri impak positif


ARKIB : 13/03/2010

KUALA LUMPUR, 12 Mac - Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mungkin akan memberi impak positif pada perniagaan, kerajaan dan pengguna, kata seorang perunding kanan cukai.

Pengurus Kanan Ernst & Young Tax Consultants Sdn. Bhd. Yeoh Cheng Guan berkata, kadar piawaian GST diunjurkan serendah 4.0 peratus, iaitu kadar lebih rendah berbanding SST sekarang, masing-masing sebanyak 10 peratus dan 5.0 peratus.

Mungkin dengan pengenalan kadar GST rendah dan pelbagai itu, pengguna Malaysia dapat memanfaatkan pengurangan pada harga komoditi tertentu yang pada masa ini dikenakan sama ada cukai jualan atau cukai perkhidmatan pada kadar yang lebih tinggi," katanya di seminar Perakaunan GST.

Cheng Guan berkata, aplikasi GST itu berdasarkan pada penggunaan di Malaysia, bermaksud kebanyakan barangan dan perkhidmatan yang dibekalkan di Malaysia dikenakan cukai, import dikenakan cukai, sementara eksport dikecualikan daripada GST melalui sistem kadar sifar.

"Liabiliti GST pada bekalan boleh dikenakan cukai pada kadar piawaian yang ditanggung oleh pembekal, jadi pembekal perlu memastikan mereka mengutip GST daripada pengguna mereka," katanya.

"Walau pun GST merupakan cukai yang akan ditanggung oleh pengguna yang terakhir, perlu diingatkan bahawa ia berdasarkan kemampuan individu.

"Contohnya, jika seseorang memutuskan untuk makan di sebuah restoran ekslusif atau membeli produk berjenama dari sebuah butik, dia mestilah mampu membayar levi GST pada bekalan yang dikenakan cukai itu," kata Cheng Guan.

Di bawah pentadbiran GST itu, satu sistem kemasukan cukai kredit boleh diperoleh untuk perniagaan, katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0313&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_04.htm#ixzz2WNB46PKw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday, March 12, 2010

Kerajaan nafi GST dimansuhkan


ARKIB : 12/03/2010

KUALA LUMPUR 11 Mac - Kementerian Kewangan (MOF) menafikan Kabinet telah memansuhkan cadangan pelaksanaan pengenalan cukai perkhidmatan barangan (GST) yang dijadualkan diperkenalkan pada 2011.

Sebaliknya Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Husni Hanadzlah (gambar) berkata, Kabinet telah memperincikan tentang pendekatan yang akan diambil bagi meningkatkan pemahaman rakyat tentang pelaksanaan GST.

''Kami tidak memansuh atau membatalkan GST. Perkara tersebut (pembatalan) tidak disentuh,'' katanya selepas merasmikan majlis penyampaian sijil kepada vendor Kumpulan Faber di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi pembatalan pelaksanaan GST oleh Kabinet semalam.

Beliau berkata, Kabinet turut membincangkan secara mendalam mengenai kesediaan kerajaan melaksanakan GST untuk memastikan tiada masalah dibangkitkan pada kemudian hari.

''Perbincangan mengenai GST begitu komprehensif termasuk melibatkan cadangan memperbanyakkan kempen berkaitan dengan seluruh rakyat Malaysia.

''Ini kerana, bagi kerajaan pelaksanaan GST merupakan bahagian paling kritikal dan akan memastikan sudah betul-betul bersedia melaksanakannya,'' ujar beliau.

Ditanya sama ada spekulasi pembatalan pelaksanaan GST itu benar atau sebaliknya, Husni berkata: ''Tiada ada keputusan (pembatalan atau diteruskan) dibuat''.

Dalam pada itu, Husni memberi jaminan bahawa pelaksanaan Model Ekonomi Baru akan memberi keutamaan kepada rakyat.

Katanya, ia juga bakal dijadikan asas kepada Rancangan Malaysia Ke-10.

Perdana Menteri dijangka mengumumkan peringkat pertama pelaksanaan Model Ekonomi Baru itu pada 30 Mac ini.

''Selepas pengumuman itu nanti kita mahu mendengar maklum balas daripada sektor kerajaan, swasta dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan terutama pandangan rakyat.

''Kemudian nanti baru kita membuat keputusan mengenainya,'' tambahnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0312&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm#ixzz2WNAdVFI7
© Utusan Melayu (M) Bhd