GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Saturday, March 13, 2010

GST tak dibentang esok


KUALA LUMPUR 13 Mac – Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga yang dijadualkan pada sesi Persidangan Dewan Rakyat bermula Isnin ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menjelaskan, kerajaan membuat keputusan itu kerana memerlukan lebih banyak masa untuk mengumpul maklum balas dan penerimaan rakyat mengenai pelaksanaan cukai tersebut.

“Kami memerlukan lebih banyak masa untuk mendekati dan mengambil kira pandangan rakyat mengenai pelaksanaan GST.

“Pelaksanaan GST juga akan bergantung kepada penerimaan rakyat terhadapnya,” kata beliau.

Ahmad Husni berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (DPMMKL) ke-35, di sini hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua DPMMKL, Prof. Datuk Syed Amin Aljeffri.

Kepada satu soalan, Ahmad Husni memberitahu, kerajaan tidak menetapkan sebarang tarikh atau sidang Dewan Rakyat tertentu untuk bagi bacaan kali kedua dan ketiga pembentangan Rang Undang-Undang GST itu.

Khamis lalu, beliau menafikan spekulasi yang menyebut mesyuarat Kabinet pada hari sebelumnya membuat keputusan untuk membatalkan pelaksanaan GST.

Katanya, mesyuarat Kabinet itu membincangkan secara mendalam mengenai kesediaan kerajaan melaksanakan GST bagi memastikan tiada sebarang masalah timbul pada masa depan.

Bacaan pertama Rang Undang-undang GST telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 16 Disember lalu dan bacaan kali kedua dan seterusnya dijadual pada sidang Dewan Rakyat bermula Isnin ini.

GST yang dicadangkan itu adalah bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sedia ada.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0314&pub=utusan_malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm#ixzz2WNDGdW8S
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment