GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Saturday, December 5, 2009

GST tidak bebankan rakyat


ARKIB : 04/12/2009

Najib Tun Razak berbual dengan Mustafa Mansur pada majlis Makan Malam Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 3 Dis. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan memastikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dirancang untuk diperkenalkan tahun hadapan tidak akan membebankan rakyat terutama kumpulan berpendapatan rendah.

Menurut Perdana Menteri, barangan keperluan asas yang banyak digunakan rakyat akan dikecualikan daripada GST.

“Untuk meneruskan (pengenalan GST) kita akan lakukannya dengan struktur yang teratur dan lembut di mana cukai akan diperkenalkan secara semula jadi sejajar dengan tahap perkhidmatan dan cukai jualan agar ia (GST) tidak menjadi satu beban tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam ke-41 Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) di sini malam ini.

Hadir sama Presiden FMM, Datuk Mustafa Mansur.

Sebelum ini, FMM dilaporkan bimbang dengan cadangan pelaksanaan GST yang disifatkan tidak sesuai untuk Malaysia dan patut ditunda bagi jangka masa yang tidak pasti.

Melalui satu kenyataan, FMM menyebut Hong Kong telah menilai dan menghentikan keputusannya untuk melaksanakan GST walaupun nisbah dagangannya berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah 404 peratus dan 98 peratus daripada perniagaannya tertumpu kepada perusahaan kecil dan sederhana.

Kenyataan itu menjelaskan, ahli perniagaan Australia juga telah menggesa kerajaan mereka mengurangkan GST daripada 10 peratus kepada lima peratus bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.

Najib menjelaskan bahawa pengenalan GST di negara ini adalah satu bentuk keperluan jangka panjang memandangkan pergantungan negara kepada sektor petroleum sebagai penyumbang utama pendapatan perlu diganti dari sekarang.

Jelas beliau, seperti yang diketahui umum, pengeluaran petroleum negara tidak akan kekal selama-lamanya.

“Untuk memastikan negara terus bergerak, kita merancang untuk memperkenalkan GST yang akan membantu mengatasi sebarang kehilangan pendapatan cukai akibat pengurangan simpanan minyak kita,” jelasnya.

Kata beliau, pengenalan GST bukan semata-mata untuk mengenakan cukai ke atas barangan dan perkhidmatan tetapi bagi mempelbagaikan punca pendapatan agar negara tidak hanya bergantung kepada satu sektor untuk ia bergerak pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga malam ini mendedahkan bahawa Malaysia akan memperkenalkan model ekonomi baru dalam beberapa minggu akan datang.

“Model ekonomi ini bukan sahaja akan membentuk kembali aktiviti dan perancangan ekonomi kita, tetapi juga masyarakat kita.

“Bagi membantu pengenalan ini, kita telah menubuhkan satu pasukan pakar ekonomi tempatan dan antarabangsa di bawah Majlis Penasihat Ekonomi Kebangsaan,” katanya.

Jelas beliau, pengenalan model ekonomi baru adalah tepat pada masanya kerana walaupun ekonomi Malaysia memperlihatkan tanda positif, namun ia belum keluar dari ‘kegelapan’ sepenuhnya.

Kata Najib, pengenalan model ekonomi baru juga sejajar dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan kedudukan negara dari ekonomi pendapatan sederhana kepada negara dengan ekonomi berpendapatan tinggi.

Beliau juga melahirkan keyakinan keluaran negara kasar akan turut memperlihatkan peningkatan yang kukuh pada tahun hadapan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1204&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm#ixzz2Wcq4K6h1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday, December 4, 2009

PELAKSANAAN GST AKAN BANTU M”SIA ATASI PENURUNAN HASIL CUKAI


ARKIB : 03/12/2009

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) — Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan membantu Malaysia mengatasi penurunan dalam hasil cukai, selari dengan penurunan rizab minyak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini.

Beliau berkata walaupun pendapatan dan pertumbuhan negara bergantung kepada hasil minyak, sumber pendapatan akan habis perlahan-lahan memandangkan sumbernya tidak dapat ditentukan.

"Bagi meneruskan GST, kami akan laksanakannya secara berstruktur dan perlahan-lahan, dengan cukai diperkenalkan secara semula jadi, selari dengan paras semasa perkhidmatan dan cukai jualan supaya ia tidak membebankan,” katanya pada jamuan malam Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia ke-41 di sini malam ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1203&pub=utusan_malaysia&sec=Terkini&pg=bt_43.htm#ixzz2WcpcT2S2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, December 3, 2009

GST: kerajaan, NGO dan korporat berunding


ARKIB : 02/12/2009

KUALA LUMPUR 2 Dis. – Bagi melancarkan lagi perlaksanaan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kerajaan akan mengadakan rundingan bersama badan bukan kerajaan (NGO) serta sektor korporat mengenai pelaksanaan sistem itu bulan ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, selain berunding dengan pihak berkenaan, kerajaan turut merancang untuk mengadakan perjumpaan dengan pihak media.

Tujuan perjumpaan itu, katanya adalah bagi menjelaskan secara terperinci mengenai pelaksanaan sistem tersebut kepada orang ramai. - Utusan

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1202&pub=utusan_malaysia&sec=Terkini&pg=bt_09.htm#ixzz2WcpFuWxR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, December 2, 2009

GST: Tidak Ada Cukai Yang Tidak Membebankan

TUESDAY, DECEMBER 01, 2009

PADA 29 November, Bernama memetik Menteri Kewangan Kedua Ahmad Husni Hanadzlah sebagai berkata kerajaan telah menjalankan kajian yang “agak lama dan komprehensif” mengenai rancangan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST)

Saya tidak berhasrat berbahas mengenai semantik dengannya, tetapi saya rasa kurang selesa apabila dia berkata kajian itu “agak lama dan komprehensif.”

Mengapa agak lama dan agak menyeluruh? Mengapa tidak lama dan menyeluruh? Bagi cadangan yang sangat penting macam GST ini, kerajaan tidak boleh main agak-agak.

Kerajaan wajib tahu dan yakin bahawa pelaksanaannya nanti tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat seperti yang Ahmad Husni janjikan.

Cukai dalam apa bentuk sekalipun akan menjejas kesejahteraan orang atau pihak yang membayarnya. Sebab itulah macam-macam cara dan kaedah diperkenalkan oleh pemerintah di dunia bagi mengurangkan beban dan persepsi negatif percukaian.

Dalam keadaan paling teruk atau ekstrem, tindakan memperkenalkan cukai baru atau menaikkan kadar cukai yang sedia ada telah mencetuskan rusuhan dan dalam hal-hal tertentu telah menjatuhkan kerajaan.

Di negara kita sendiri, cadangan GST ini sudah lama dibuat tetapi tidak dilaksanakan kerana kerajaan kurang yakin dan kurang pasti kesannya kepada pembayar cukai dan pengguna.

Yang pasti adalah kerajaan tidak ada kerajaan yang akan memperkenalkan GST atau apa juga cukai jika ia tidak menambah hasil (pendapatan) perbendaharaan.

GST atau dalam bahasa Inggeris Goods and Services Tax adalah sejenis cukai di mana apa sahaja barang dan perkhidmatan yang digunakan oleh pengguna mengandungi elemen cukai. Sebab itulah ia juga dikenali sebagai cukai kepenggunaan (consumption tax). Dalam erti kata yang lain, asasnya jauh lebih luas daripada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang ada sekarang.

Kali terakhir GST dibangkitkan adalah pada tahun 2004 apabila Pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan yang cukai itu akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari, 2007.

Bagaimanapun, menjelang tarikh itu Pentadbiran Abdullah mengalami krisis kewibawaan dan keyakinan yang serius dan banyak cadangan tidak dilaksanakan.

Bercakap kepada pemberita di Gopeng, Ahmad Husni berkata sebanyak 143 buah negara telah melaksanakan GST. Dalam Asean hanya Malaysia, Brunei dan Myanmar yang belum memperkenalkannya.

Ini bermakna GST menjadi pilihan kerana ia adalah sistem percukaian yang paling luas asasnya dan paling produktif. Ahmad Husni berkata kerajaan menjangka pendapatan tahunan meningkat RM1 bilion dengan pelaksanaan GST bagi menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan.

Pada 21 November, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Mohd Najib Abdul Razak mengumumkan yang rang undang-undang berhubung GST akan dibentangkan untuk bacaan pertama pada akhir sidang Dewan Rakyat sekarang.

Cara pemerintah dan media massa kawalannya menghebah dan memperjelaskan GST akan menentukan penerimaan atau penolakan rakyat jelata terhadapnya. Ini sangat relevan kepada Barisan Nasional kerana pelaksanaan cukai baru itu hampir dengan pilihan raya umum akan datang.

Menurut Ahmad Husni, GST dijangka dilaksanakan 18 bulan selepas bacaan kedua rang undang-undang pada Mac tahun depan. Ini bermakna cukai itu akan berkuat kuasa sekitar Ogos atau September, 2011.

Logiknya kadar GST lebih rendah daripada kadar Cukai Jualan (5-15 peratus) dan Cukai Perkhidmatan (lima peratus). Di negara jiran Singapura kadar GST adalah tujuh peratus manakala Negeri Thai dan Indonesia 10 peratus. Ada ramalan mengatakan kadar yang akan dikenakan di Malaysia lebih rendah daripada itu – di sekitar lima peratus.

Seperti yang pernah dihujahkan oleh ketua bahagian percukaian tidak langsung firma perakaunan KPMG, Philppe Norre, cukai GST perlu dirangka dengan sebegitu rupa agar berkesan dan di masa yang sama tidak menyusahkan pembayar cukai.

Beliau berkata hanya bahan makanan asas dan perkhidmatan seperti kesihatan, perubatan dan pendidikan perlu dikenakan cukai paling rendah. Satu struktur yang mudah dengan hanya satu atau dua kadar adalah lebih berkesan dan berjaya. Tambahnya kebanyakan negara yang mengamalkan GST mengenakan satu kadar sahaja.

Kesimpulannya, pertama, tidak ada cukai yang tidak membebankan. Itulah sebabnya dalam bahasa ekonomi, kewangan dan fiskal disebut beban cukai (tax burden). Bagi GST ini, beban yang dianggarkan adalah RM1bilion yang berupa penambahan hasil kerajaan.

Kedua, pelaksanaan GST jika tidak diawasi dengan ketat akan diperalat dan dimanipulasikan oleh pengeluar, pengedar dan peruncit untuk menipu (profiteering).

Di sinilah kita meletakkan satu lagi penanda aras kepada KPI Perdana Menteri kerana dia juga adalah Menteri Kewangan. Idea dan pelaksanaan GST kini menjadi tanggungjawab mutlak beliau.

Dan ketiga, tambahan hasil cukai daripada GST akan hanya memanfaatkan pembayar cukai dan rakyat jelata jika dibelanjakan dengan berhemah. Rekod pencegahan pembaziran dan penggunaan berhemah tabungan negara oleh sektor awam belum cukup meyakinkan.

GST unjur raih pendapatan RM1 bilion setahun


ARKIB : 01/12/2009


KUALA LUMPUR 30 Nov. - Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), yang dicadang dilaksanakan pada suku ketiga 2011 diunjur dapat meraih pendapatan cukai tahunan RM1 bilion selepas setahun dilancarkan.

Di dalam Laporan Penyelidikan Pelaburannya, OSK Research berkata, walaupun kemungkinan ada bantahan terhadap pelaksanaan GST, langkah Kerajaan itu difaham akan dapat mempelbagaikan sumber pendapatan kerajaan persekutuan dengan kutipan cukai terjamin.

Ketika ini, negara amat bergantung kepada cukai pendapatan korporat dan cukai pendapatan petroleum, di mana kedua-duanya tertakluk kepada ketidaktentuan pusingan ekonomi global dan harga komoditi, kata OSK Research.

Sebagai sumber asli yang terhad, pendapatan petroleum ada risikonya.

Persaingan dalam menarik pelaburan asing adalah terhad kepada kenaikan cukai korporat dan petroleum sementara kos kendalian dan perbelanjaan pembangunan Kerajaan semakin meningkat, yang menyebabkan satu dekat defisit dalam bajet.

"Pendapatan tahunan yang dianggarkan RM1 bilion itu sama nilainya kepada hampir 0.7 peratus unjuran pendapatan rasmi bagi tahun hadapan," katanya.

OSK Research, bagaimanapun, memaklumkan Kerajaan juga akan mengalami beberapa ketidakseimbangan jangka pendek, seperti berhubung kos perlaksanaan dan pentadbiran GST yang tinggi.

Malaysia, Hong Kong dan Brunei adalah di antara beberapa negara Asia yang telah menangguh perlaksanaan GST.
Selain China, Malaysia mencadangkan kadar GST 4.0 peratus, yang paling rendah berbanding negara Asia Pasifik lain.

Bagaimanapun, kadar cukai peribadi dan pendapatan Malaysia, iaitu masing-masing pada 26 peratus dan 25 peratus, adalah masih tinggi berbanding negara jiran, khususnya Singapura dan Hong Kong.

Oleh itu, cukai penggunaan yang meluas yang baharu ini, kata OSK Research telah menarik cadangan, khususnya dari parti politik pembangkang, supaya Kerajaan mengurangkan cukai pendapatan individu dan korporat sejajar dengar pelancaran GST. - BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1201&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_04.htm#ixzz2WcoZIwHc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, November 30, 2009

Kajian mendalam GST jaga kesejahteraan rakyat


ARKIB : 30/11/2009


IPOH 29 Nov. - Kerajaan menjalankan kajian mendalam dan komprehensif berkaitan rancangan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi memastikan ia tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, dalam masa sama, kajian seumpama itu penting bagi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang mempunyai daya saing.

''Kita telah membuat kajian mendalam, matlamat kita adalah untuk menjaga kesejahteraan rakyat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan replika cek bernilai RM300,000 untuk pembinaan pasar di Kampung Manjoi di sini hari ini.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Rang Undang-Undang berhubung pengenalan GST akan dibentangkan untuk bacaan pertama pada akhir sidang Dewan Rakyat.

Kelmarin, Ahmad Husni berkata, kerajaan merancang mengenakan GST pada kadar empat peratus.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, sebanyak 143 negara telah melaksanakan GST dan kajian yang dijalankan turut membabitkan keberkesanannya di negara-negara terbabit.

''Dalam kelompok negara ASEAN, selain Malaysia, hanya Brunei dan Myanmar yang belum memperkenalkan GST," ujar Ahmad Husni.

Kerajaan katanya, menjangka pendapatan tahunan negara akan meningkat sebanyak RM1 bilion dalam tempoh masa setahun selepas GST diperkenalkan bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1130&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_03.htm#ixzz2WMiek65m
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday, November 29, 2009

Kajian komprehensif GST


ARKIB : 29/11/2009


IPOH 29 Nov. — Kerajaan telah menjalankan kajian yang agak lama dan komprehensif mengenai rancangan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, kajian itu penting bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat di samping memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara kompetitif.

"Kita telah membuat kajian yang mendalam...matlamat kita adalah untuk menjaga kesejahteraan rakyat,” katanya ketika diminta mengulas kebimbangan sesetengah pihak terhadap pelaksanaan GST.

Isnin lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Rang Undang-undang berhubung pengenalan GST akan dibentangkan untuk bacaan pertama pada akhir sidang semasa Dewan Rakyat dan Ahmad Husni kelmarin berkata, kerajaan merancang mengenakan GST pada kadar empat peratus. - Bernama

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1129&pub=utusan_malaysia&sec=Terkini&pg=bt_16.htm#ixzz2WMj7nbO0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rakyat Malaysia boleh terima GST


ARKIB : 28/11/2009


KUALA LUMPUR 27 Nov. - Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) boleh dilaksanakan memandangkan cukai perkhidmatan dan jualan yang ada sekarang akan dihapuskan, kata Ahli Ekonomi Kanan Kumpulan AmInvestment Bank (Penyelidikan Ekonomi), Manokaran Mottain.

"GST boleh diterima oleh rakyat Malaysia jika ia dilaksanakan dengan pengurangan cukai individu, memandangkan GST akan menjadi beban tambahan kepada pembayar cukai," katanya semasa mengulas mengenai Rang Undang-undang GST.

Beliau berkata, pelaksanaan struktur baharu cukai itu sebaik-baiknya dilaksanakan pada 2011 atau 2012 kerana sekiranya dilaksanakan lebih awal, orang ramai tidak bersedia.

Pada Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Rang Undang- undang berhubung pengenalan GST akan dibentangkan untuk bacaan pertama pada akhir sidang semasa Dewan Rakyat.

Semalam, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, semalam berkata, kerajaan merancang mengenakan GST pada kadar empat peratus.

Katanya, kerajaan menjangka pendapatan tahunan meningkat RM1 bilion, setahun lepas GST diperkenalkan.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Inter- Pacific Securities Sdn. Bhd. Anthony Dass berkata, cadangan empat peratus bagi GST itu tidak akan membebankan rakyat.

"Ia satu langkah yang baik dan positif, tetapi bagaimanakah kerajaan akan melaksanakannya?" katanya.
Semasa memberi contoh, Dass berkata, kerajaan Singapura mengurangkan cukai pendapatan dan korporat setelah memperkenalkan GST di tahun pertama.

Katanya, langkah seumpama itu boleh dicontohi di Malaysia supaya dapat memanfaatkan kumpulan berpendapatan rendah dan korporat.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengadakan penerangan agresif bagi mempromosikan GST. - BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1128&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm#ixzz2WReDevBT
© Utusan Melayu (M) Bhd