GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Saturday, December 5, 2009

GST tidak bebankan rakyat


ARKIB : 04/12/2009

Najib Tun Razak berbual dengan Mustafa Mansur pada majlis Makan Malam Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 3 Dis. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan memastikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dirancang untuk diperkenalkan tahun hadapan tidak akan membebankan rakyat terutama kumpulan berpendapatan rendah.

Menurut Perdana Menteri, barangan keperluan asas yang banyak digunakan rakyat akan dikecualikan daripada GST.

“Untuk meneruskan (pengenalan GST) kita akan lakukannya dengan struktur yang teratur dan lembut di mana cukai akan diperkenalkan secara semula jadi sejajar dengan tahap perkhidmatan dan cukai jualan agar ia (GST) tidak menjadi satu beban tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam ke-41 Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) di sini malam ini.

Hadir sama Presiden FMM, Datuk Mustafa Mansur.

Sebelum ini, FMM dilaporkan bimbang dengan cadangan pelaksanaan GST yang disifatkan tidak sesuai untuk Malaysia dan patut ditunda bagi jangka masa yang tidak pasti.

Melalui satu kenyataan, FMM menyebut Hong Kong telah menilai dan menghentikan keputusannya untuk melaksanakan GST walaupun nisbah dagangannya berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah 404 peratus dan 98 peratus daripada perniagaannya tertumpu kepada perusahaan kecil dan sederhana.

Kenyataan itu menjelaskan, ahli perniagaan Australia juga telah menggesa kerajaan mereka mengurangkan GST daripada 10 peratus kepada lima peratus bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.

Najib menjelaskan bahawa pengenalan GST di negara ini adalah satu bentuk keperluan jangka panjang memandangkan pergantungan negara kepada sektor petroleum sebagai penyumbang utama pendapatan perlu diganti dari sekarang.

Jelas beliau, seperti yang diketahui umum, pengeluaran petroleum negara tidak akan kekal selama-lamanya.

“Untuk memastikan negara terus bergerak, kita merancang untuk memperkenalkan GST yang akan membantu mengatasi sebarang kehilangan pendapatan cukai akibat pengurangan simpanan minyak kita,” jelasnya.

Kata beliau, pengenalan GST bukan semata-mata untuk mengenakan cukai ke atas barangan dan perkhidmatan tetapi bagi mempelbagaikan punca pendapatan agar negara tidak hanya bergantung kepada satu sektor untuk ia bergerak pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga malam ini mendedahkan bahawa Malaysia akan memperkenalkan model ekonomi baru dalam beberapa minggu akan datang.

“Model ekonomi ini bukan sahaja akan membentuk kembali aktiviti dan perancangan ekonomi kita, tetapi juga masyarakat kita.

“Bagi membantu pengenalan ini, kita telah menubuhkan satu pasukan pakar ekonomi tempatan dan antarabangsa di bawah Majlis Penasihat Ekonomi Kebangsaan,” katanya.

Jelas beliau, pengenalan model ekonomi baru adalah tepat pada masanya kerana walaupun ekonomi Malaysia memperlihatkan tanda positif, namun ia belum keluar dari ‘kegelapan’ sepenuhnya.

Kata Najib, pengenalan model ekonomi baru juga sejajar dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan kedudukan negara dari ekonomi pendapatan sederhana kepada negara dengan ekonomi berpendapatan tinggi.

Beliau juga melahirkan keyakinan keluaran negara kasar akan turut memperlihatkan peningkatan yang kukuh pada tahun hadapan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1204&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm#ixzz2Wcq4K6h1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment