GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Sunday, December 6, 2009

Pastikan rakyat senang hati dengan GST


ARKIB : 05/12/2009

Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my

KERAJAAN jelas bersungguh-sungguh merancang memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Untuk tujuan itu Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan bagi menggantikan cukai perkhidmatan dan jualan akan dibentangkan pada akhir sidang Dewan Rakyat yang kini sedang berjalan.

Pembentangan akta untuk bacaan kali pertama itu dikatakan akan membolehkan orang ramai memberikan maklum balas. Malah jika ada keperluan, kerajaan bersedia melakukan pengubahsuaian agar ia menepati kehendak rakyat.

Tetapi belum dibentangkan di Parlimen sudah ada suara-suara sumbang untuk mempolitikkan isu GST ini. Walhal lebih 143 negara telah melaksanakannya. Di ASEAN pula hanya tiga negara iaitu Malaysia, Brunei dan Myanmar yang belum melaksanakan sistem percukaian ini.

Sebenarnya dalam Bajet 2005, kerajaan telah merancang untuk melaksanakan GST pada tahun 2007. Tujuannya untuk menjadikan sistem percukaian negara lebih berkesan dan berupaya menjana hasil negara. Sekarang ia tertangguh.

Kita harus terima hakikat bahawa negara tidak boleh bergantung harapan kepada sumber petroleum yang semakin berkurangan dan habis untuk menampung kewangan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah menjelaskan bahawa pengenalan GST di negara ini adalah satu bentuk keperluan jangka panjang memandangkan pergantungan negara kepada sektor petroleum sebagai penyumbang utama pendapatan perlu diganti dari sekarang.

Untuk memastikan negara terus bergerak, katanya, kerajaan merancang untuk memperkenalkan GST yang akan membantu mengatasi sebarang kehilangan pendapatan cukai akibat pengurangan simpanan minyak negara.

Beberapa kenyataan Najib sebagai Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan juga menegaskan kerajaan akan memastikan kadar GST jika dilaksanakan tidak membebankan golongan miskin dan berpendapatan sederhana serta tidak menyebabkan inflasi.

Memang rakyat mengharapkan demikian. Lebih-lebih lagi dalam soal barangan keperluan asas yang banyak digunakan rakyat. Perkara ini patut diberi perhatian utama dalam pengecualian GST.

Tradisi kerajaan membela rakyat perlu dipertahankan dan dijayakan. Apabila kerajaan memberi perhatian kepada golongan rakyat bawahan dan pertengahan, maka tiada alasan untuk mereka mengetepikan sokongan kepada kerajaan.

Jangan naikkan kemarahan rakyat dengan perkara-perkara yang dianggap kecil kepada pemimpin dan pegawai kerajaan tetapi ia adalah 'masalah besar' kepada rakyat terutama golongan marhain.

Dalam konteks pengenalan GST, kerajaan kena belajar memahami hati rakyat dan mengambil iktibar pilihan raya umum lalu - jangan wujudkan masalah hingga rakyat 'marah.'

Sesungguhnya tiada siapa suka kepada pengenalan cukai baru yang sudah tentu menambah satu lagi potongan kepada pendapatan rakyat.

Sebab itu kerajaan perlu membuat penjelasan demi penjelasan sehingga rakyat faham kenapa GST perlu dilaksanakan.

Kita tidak ingin rakyat Malaysia dihasut dan menyalahkan kerajaan gara-gara cukai baru ini hingga boleh mencetuskan tunjuk perasaan dan protes senyap.

Lebih teruk lagi, kita tidak mahu jika pelaksanaan GST tidak dipantau dengan ketat akan dimanipulasikan oleh pengeluar, pengedar dan peruncit kerana mengejar keuntungan.

Walau apa pun, ingatlah kata-kata Perdana Menteri bahawa dalam pengenalan GST ini, kerajaan akan melakukannya dengan struktur yang teratur dan lembut di mana cukai diperkenalkan secara semula jadi sejajar dengan tahap perkhidmatan dan cukai jualan agar GST tidak menjadi satu beban tambahan.

Pesanan Perdana Menteri itu perlu diingati oleh pelaksana dan penguat kuasa di bawah sistem percukaian negara dan juga para peniaga dan usahawan.

Di samping itu elok juga kerajaan mengambil perhatian terhadap cadangan daripada pihak tertentu misalnya kaji pengurangan cukai individu memandangkan GST akan menjadi beban tambahan kepada pembayar cukai dan cadangan pelaksanaannya pada 2011 atau 2012 supaya rakyat lebih bersedia.

Kita berharap sangat GST ini dilaksanakan dengan syarat ia lebih baik daripada kadar cukai perkhidmatan yang kita bayar untuk menjamu selera di restoran ternama sebanyak 15 peratus seperti sekarang.

Apa pun pastikan rakyat berasa senang hati, barulah kerajaan boleh tumpang gembira kutip cukai demi pembangunan negara.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1205&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm#ixzz2WcqaVBoN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment