GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Sunday, February 10, 2013

Nilai rasional janji pendidikan percuma


ARKIB : 09/02/2013

LABIS 8 Feb. - Pelaksanaan pengajian tinggi secara percuma yang dijanjikan pembangkang perlu dinilai secara rasional oleh rakyat.

Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong berkata, kajian daripada segala aspek perlu dilakukan termasuk membuat perbandingan dengan negara luar sebelum menerimanya.

"Memang negara maju seperti Norway dan Denmark memberikan pendidikan tinggi secara percuma kepada rakyatnya tetapi turut mengenakan cukai tinggi sehingga 47 peratus bagi cukai persendirian dan 23 peratus cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Australia yang kaya sumber galian serta maju turut mengenakan cukai persendirian pada kadar 46 peratus dan GST tujuh peratus berbanding 26 peratus kadar tertinggi cukai persendirian yang pernah dikenakan oleh Malaysia," katanya selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pekan Air Panas, di sini baru-baru ini.

Menurut Tee Yong, kerajaan memberi pendidikan percuma di peringkat sekolah rendah dan menengah selain pelbagai kemudahan serta tawaran biasiswa kepada penuntut universiti dengan contoh terdekat, pembinaan SJKC dan SJK Tamil di Parlimen Labis yang membabitkan kos RM40 juta dari tahun 2008 hingga 2011.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Labis turut meminta penduduk yang layak memohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 tetapi masih belum berbuat demikian agar segera mengunjungi kaunter disediakan di Pejabat MCA Labis dan Pejabat Daerah Segamat.

"Permohonan juga boleh dibuat melalui laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Bagi penerima yang gagal menuntut baucer ketika pembayaran fasa pertama baru-baru ini, boleh mengambil baucar masing-masing pada 14 dan 15 Februari ini di Pejabat Daerah Segamat pada waktu pejabat," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130209/po_08/Nilai-rasional-janji-pendidikan-percuma#ixzz2WdAubyEJ
© Utusan Melayu (M) Bhd