GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Sunday, July 18, 2010

Tahun 2012 tepat untuk laksana GST


ARKIB : 17/07/2010


KUALA LUMPUR 16 Julai - Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) berkata tahun 2012 merupakan masa yang tepat untuk kerajaan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Timbalan Pengerusi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) & Ketua Unit Kaji Selidik PKS, Koong Lin Loong berkata, kebanyakan perniagaan merasakan mereka perlu diberi sekurang-kurangnya 24 bulan untuk membuat persediaan bagi sistem cukai baharu itu.

Memetik Kaji Selidik PKS 2010 ACCCIM, Kin Loong berkata, 33 peratus daripada responden berkata perniagaan masing-masing belum bersedia untuk melaksanakan GST kerana kekurangan maklumat dari kerajaan.

"Kerajaan perlu memperkukuhkan usahanya dalam hal ini. Kerajaan perlu mendidik orang ramai menerusi pelbagai media untuk mendapatkan pandangan positif mengenai GST," kata Presiden ACCCIM, Tan Sri William Cheng.

Beliau mencadangkan kerajaan untuk menyusun satu jadual yang jelas dan memberikan butiran lebih lanjut supaya orang ramai mempunyai masa yang mencukupi untuk memahami dan bersedia.

Melalui persiapan yang mencukupi, orang ramai, khususnya perniagaan tidak akan terkejut atau mempunyai sebarang tentangan dan salah faham mengenai GST, kata Cheng.

Kaji selidik itu juga mendedahkan bahawa 80 peratus daripada sistem komputer responden belum bersedia menampung pentadbiran GST.

Kajian itu dibuat pada Jun 2010 oleh ACCCIM.

Sejumlah 2,000 salinan soalan kaji selidik itu telah diedarkan di mana 1,250 daripadanya dikembalikan.

Lin Loong berkata, kekurangan persediaan begitu ketara di Sabah dan Sarawak dengan masing-masing 92 peratus dan 86 peratus entiti di sana yang mempunyai komputer berkata masing-masing belum bersedia untuk perlaksanaan itu.

Beliau berkata, kerajaan perlu juga menimbang untuk memberi secara percuma perisian GST supaya dapat memulakan perlaksanaannya.

Katanya, latihan oleh kerajaan dan juga insentif perniagaan juga diperlukan bagi pentadbiran GST yang lebih baik.

"Dua puluh lima peratus daripada responden berkata mereka akan menunggu kerajaan menyediakan latihan sementara 31 peratus yang lain sanggup menghantar pekerja masing-masing menghadiri latihan di luar," kata Lin Loong.

Sementara itu, Cheng berkata, perniagaan terutama PKS, perlu menerima inisiatif itu supaya mereka tidak terlepas pandang tentang kepentingan penggunaan sistem berkomputer mengendalikan akaun masing-masing.

Apabila GST dilaksanakan, PKS tanpa menggunakan sistem komputer akan menerima kesan langsung dan operasi masing-masing akan terjejas, kata beliau.

Kerajaan, pada November 2009, telah menyatakan hasratnya untuk melaksanakan GST menjelang 2011.

Bagaimanapun, pembacaan kedua Rang Undang-undang GST, yang pada mulanya dijadualkan pada Mac 2010 telah ditangguhkan oleh kerajaan. -- BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0717&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_04.htm#ixzz2WRpEmEDD
© Utusan Melayu (M) Bhd