GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, December 27, 2013

'Jangan naik dulu...'


Publication: HM
Date of publication: Dec 24, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 028
Byline / Author: Oleh Syafiq Aznan

Shah Alam: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) digesa menangguhkan kenaikan kadar fi dan lesen perniagaan baru yang dikenakan kepada peniaga dalam kawasan pentadbirannya mulai tahun depan.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata, penangguhan perlu dilaksanakan MBSA supaya perbincangan antara pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dengan peniaga berhubung kenaikan kadar baru itu dapat dijalankan terlebih dulu.

Menurutnya, hasil perbincangan itu, maklum balas juga perlu diambil kira untuk memastikan kenaikannya tidak membebankan mana-mana pihak.

"MBSA sebenarnya boleh menangguhkan pelaksanaan kadar baru itu bagi memberi penjelasan kepada peniaga mengenai rasional kenaikan kadar fi dan lesen perniagaan ini supaya peniaga lebih faham.

"Selepas mendapat maklum balas daripada peniaga, langkah yang sistematik perlu diambil untuk melaksanakan kenaikan kadar baru, bukan kenaikan mendadak seperti diumumkan sekarang," katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Beliau berkata, ada aduan daripada peniaga yang dipaksa menjelaskan bayaran pembaharuan lesen dalam tempoh singkat sememangnya dilihat sebagai tindakan yang membebankan golongan itu.

Tambahnya, peniaga terbabit mengadu kadar bayaran baru RM1,127 perlu dijelaskan sebelum 31 Disember ini walaupun menerima notis selepas 9 Disember lalu.

"Sekiranya peniaga terbabit gagal menjelaskan bayaran lesen dalam tempoh diberikan, denda 10 peratus daripada kadar lesen berkenaan akan dikenakan.

"Untuk kadar sebelum ini, hanya perkhidmatan dikenakan bayaran, tetapi untuk kadar baru, perkhidmatan disediakan dan tempat penyimpanan barang turut dikenakan caj.

"Tidak munasabah tiga jenis lesen dikenakan bayaran dalam satu premis yang sama," katanya.

Khalid berkata, kadar baru itu juga membebankan pembeli secara tidak langsung apabila mereka terpaksa membayar harga barangan lebih tinggi.

"Bebanan kenaikan fi dan lesen perniagaan mengakibatkan peniaga menaikkan harga barangan untuk menampung kos pembayaran lesen.

Jadi rakyat juga menanggung beban apabila terpaksa membeli barangan pada harga tinggi," katanya.

Pada sidang media sama, Abdul Khalid turut memuji langkah diambil Kerajaan Pusat dalam memperkenal Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada rakyat kerana Kerajaan Pusat mengambil masa yang lama untuk memberi penjelasan kepada rakyat mengenai GST dan hanya akan dilaksanakan pada 2015.

"Sepatutnya MBSA mengambil langkah sama memberi penjelasan mengenai kadar baru ini sebelum melaksanakannya," katanya.

No comments:

Post a Comment