GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, January 23, 2014

Persaingan pengeluar boleh turunkan harga kereta, kata MAA

OLEH MD IZWAN
JANUARY 22, 2014
LATEST UPDATE: JANUARY 22, 2014 02:33 PM

Harga kereta boleh turun jika ada persaingan antara pengeluar kereta
di negara ini, kata Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad. Gambar fail.
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata harga kereta boleh turun dengan mewujudkan persaingan antara pengeluar, selepas kerajaan masih enggan memansuhkan duti eksais yang tinggi.

Semasa mengumumkan Dasar Automotif Nasional (DAN) 2014 baru-baru ini, kerajaan mengumumkan tidak akan memansuhkan duti eksais dan Permit Import (AP) walaupun ia dikatakan punca utama kepada harga kereta yang tinggi di Malaysia kerana faktor kewangan tidak mengizinkan.

"Persaingan dalam erti kata jiran saya menurunkan harga dan kemudian pesaing saya juga mengikut jejak sama," kata Presiden (MAA), Datuk Aishah Ahmad pada sidang media di pejabatnya pagi ini.

Aishah berkata, bagi menggalakkan persaingan dalam menghasilkan kereta paling murah, beban tersebut masih di bahu pengeluar kereta yang perlu melakukan penambahbaikan dalam proses mengeluarkan kereta.

"Anda boleh ubah spesifikasi, jika spesifikasinya rendah ia akan menurunkan harga kereta," katanya.

Beliau berkata, pengeluar kereta juga perlu menambah baik kos pengeluaran supaya pengguna dapat manfaat dengan harga kereta lebih rendah.

Selain itu, katanya, pengeluar kereta boleh memilih untuk memasang kereta dengan membuka kilang di Malaysia.

“Anda boleh merombak dana industri dengan membuka kilang di dalam negara dan duti yang akan dibayar akan lebih rendah. Ini boleh memberi faedah kepada pengguna," katanya.

MAA turut mengumumkan jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) pada tahun lalu adalah tertinggi yang pernah dicatat dan melangkaui jumlah 600,000 kenderaan.

Tahun lalu sebanyak 655,793 kenderaan dijual berbanding 2012 iaitu hanya 627,753 yang menunjukkan peningkatan sebanyak 4.5%.

Bagaimanapun, MAA tidak menolak janji dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum pada 5 Mei lalu sedikit sebanyak menyumbang kepada peningkatan tersebut, apabila jumlah kenderaan yang dijual selepas tamat pilihan raya meningkat naik.

Pada Julai 2013, jumlah kereta terjual adalah yang paling tinggi iaitu 68,431, bagaimanapun jumlah tersebut menurun sehingga Disember kerana masalah teknikal daripada sistem Mysikap yang menyebabkan pembeli terpaksa menunggu lama untuk mendapat kenderaan mereka.

"Ssuku kedua TIV 2013 menurun hasil impak daripada manifesto pilihan raya untuk menurunkan harga kereta yang menyebabkan pengguna menangguhkan pembelian kereta baru.

"Namun, suku ketiga TIV 2013 melonjak semula dengan kukuh sebanyak 11% berbanding suku sama pada tahun 2012," katanya.

Sementara itu, MAA mengunjurkan jumlah TIV pada 2014 akan meningkat sebanyak 2% berbanding 655,793 pada 2013.

Selain itu, TIV juga diujur meningkat naik untuk tempoh empat tahun selepas Cukai Perkhidmatan dan Barang (GST) diperkenalkan pada 2015.

Duti eksais paling banyak menyumbang kepada pendapatan kerajaan, pada tahun lalu sahaja sebanyak RM7.3 bilion dikutip oleh kerajaan, meningkat berbanding 2012 di mana hanya RM7.1 bilion sahaja yang dikutip.

Harga kereta di Malaysia antara paling tinggi di dunia dan tahun lalu akhbar perniagaan mendedahkan laporan harga kereta di Malaysia adalah kedua tertinggi daripada 10 negara lain di dunia, merujuk kepada laporan automobil Amerika Syarikat, Jalopnik.

Jalopnik dalam laporan di laman webnya mendedahkan Singapura dan Malaysia berkongsi kedudukan di ranking kedua harga kereta tertinggi, diikuti Indonesia, Nicaragua, China, Brazil, United Kingdom, St Kitts dan Nevis, Korea Utara serta Cuba. – 22 Januari, 2014.anuari 2014.

No comments:

Post a Comment