GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, January 24, 2014

Peniaga daftar GST elak rugi kos meningkat, kata Rafizi


OLEH DIYANA IBRAHIM
JANUARY 24, 2014
Kempen Faham GST, Tolak GST akan diteruskan dengan kemuncaknya ialah
demonstras pada 1 Mei, kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli. Gambar fail.
Kempen Faham GST, Tolak GST diteruskan untuk menjelaskan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan menyebabkan lebih ramai peniaga tampil berdaftar secara sukarela sebagai cara mengimbangi peningkatan kos operasi sebuah perniagaan.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, berkata mengikut undang-undang percukaian GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia, syarikat yang layak mengenakan cukai GST sebenarnya tidak hanya melibatkan perniagaan berpendapatan RM500,000 dalam tempoh setahun, tetapi bagi jumlah kurang daripada itu.

"Undang-undang sedia ada menyatakan sebarang entiti perniagaan selagi ia melibatkan transaksi, maka peniaga itu berhak untuk mendaftar sebagai pengutip cukai dan mengenakan GST sekiranya pendapatan mereka sebanyak RM500,000 atau lebih dalam tempoh 12 tahun.

"Namun undang-undang juga membenarkan peniaga berpendapatan RM15,000 ke bawah untuk mengenakan GST sekiranya mereka berdaftar secara sukarela," katanya menjawab pertanyaan daripada hadirin dalam program di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Rafizi berkata, situasi itu bertentangan dengan dakwaan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang menyatakan rakyat tidak akan terbeban sekiranya cukai GST dikenakan kerana hanya melibatkan perkhidmatan dan barangan mewah.

"Sekiranya undang-undang menyatakan peniaga layak, tidak kira perniagaan jenis apa bahkan kedai di bawah pokok selagi ia memenuhi piawaan tersebut secara logiknya pasti lebih ramai tampil berdaftar secara sukarela.

"Apabila lebih ramai peniaga berdaftar maka mereka akan terlepas untuk menanggung beban GST. Umno yang berkata GST hanya pada barangan mewah, mereka ini tidak tahu mengira walhal perniagaan kampung pun juga dikenakan cukai tersebut," katanya.

Selain itu, katanya, syarikat yang berdaftar dengan pelaksanaan GST terpaksa memperuntukkan secara purata RM15,000 dalam menyediakan dokumen dan mengupah peguam serta akauntan bagi memastikan rekod kewangan cukai tersebut selari.

Rafizi berkata, kos itu akan memberi kesan kepada pulangan pendapatan entiti perniagaan dalam jangka masa panjang berbanding dengan apa yang diperolehi daripada kerajaan.

Katanya, ia akan menyebabkan syarikat berkenaan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sebagai cara menutup kos tersebut selain menyelaraskan wang yang diguna dengan cukai diterima.

Rafizi berkata, setiap peniaga biarpun tidak tertakluk dengan peraturan GST mempunyai hak untuk menaikkan harga barangannya bagi menebus kembali bayaran cukai yang terpaksa dibayar.

Katanya, walaupun pengeluar dan pengedar diberi peluang dikecualikan daripada membayar GST dengan mendaftar bagi bayaran balik cukai, kesan pelaksanaan sebanyak 7% kepada setiap peringkat operasi secara tidak langsung menyaksikan harga barangan akan naik.

Pelaksanaan cukai GST sebanyak 6% yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2014 Oktober lalu menyaksikan bantahan oleh pembangkang.

Pakatan Rakyat (PR) berkata, biarpun sistem GST ini diakui keberkesanannya, dengan situasi negara di mana penyelewengan dan rasuah berleluasa, ia tidak akan meningkatkan ekonomi seperti didakwa kerajaan.

Kempen Faham GST, Tolak GST adalah antara usaha PR untuk memberi kefahaman orang ramai tentang impak dan pelaksanaan cukai tersebut kepada rakyat dan negara.

Sesi penerangan malam tadi dihadiri lebih 100 orang daripada pelbagai peringkat umur dan kaum dan berlangsung ' meriah' dengan pertanyaan daripada hadirin.

"GST secara jelas menguntungkan kerajaan apabila syarikat yang gagal mematuhi peraturan biarpun hanya kecil mereka tetap akan didenda, ia adalah hukuman," katanya.

Rafizi berkata, walaupun pemulangan kembali cukai diberikan kepada pemilik syarikat berdaftar namun tidak dipastikan berapa lama tempoh yang akan diambil oleh jabatan kastam.

Katanya, sistem pembayaran jabatan tersebut mungkin akan mengambil jangka masa lama dan akan menyebabkan syarikat berdepan dengan kesukaran pusingan modal yang menjejaskan perniagaan.

Ahli Parlimen Pandan itu turut menyelar Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek berhubung kenyataannya.

Beliau berkata, menteri tersebut sering menyalahkan peniaga atau pengedar kerana kenaikan harga barangan.

"Kita memang tidak faham kenyataan beliau (Hasan) yang sering menyalahkan pengedar, peniaga kerana peningkatan kos barangan walhal mereka ini juga membayar setiap cukai dikenakan kerajaan," katanya.

Acara kemuncak kempen Faham GST, Tolak GST PR ialah demonstrasi raksasa pada 1 Mei depan sebagai bantahan kepada pelaksanaan cukai tersebut dan peningkatan kos sara hidup.

"Kita percaya Najib akan mengalah dengan tentangan dan usaha yang kita lakukan kerana sebelum ini Umno-BN sudah tiga kali kalah kepada kita," katanya. – 24 Januari, 2014.

No comments:

Post a Comment