GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, January 23, 2014

DAN 2014 menurunkan harga kereta


ARKIB : 22/01/2014
Oleh Fauzi Jaafar
pengarang@utusan.com.my
Dalam keadaan ekonomi sekarang, rakyat mahukan harga kereta direndahkan
bagi mengurangkan kos sara hidup kerana kereta adalah satu keperluan. - Gambar hiasan
SEDIKIT lewat, tetapi faktanya adalah jelas iaitu menjadikan Malaysia hab sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV).

Dasar Automotif Negara (DAN) 2014 yang diumumkan semalam sebenarnya telah terlewat apabila sepatutnya diumumkan pada Disember 2013.

Dalam hal itu, kerajaan mengambil masa 18 bulan untuk melakukan kajian semula DAN dengan mengambil pandangan dan input daripada industri tempatan dan agensi-agensi kerajaan.

Sebenarnya DAN 2014 amat dinanti-nantikan bukan sahaja oleh pemain industri, tetapi juga rakyat jelata yang hanya mahukan satu perkara iaitu adakah harga kenderaan akan turun ataupun tidak.

Dalam hal ini, kerajaan secara khususnya tidak mengumumkan penurunan harga kereta dalam DAN 2014 untuk tahun ini, tetapi secara konsistennya mengkaji kedudukan fiskal negara.

Ini ditegaskan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed pada pelancaran itu semalam.

Beliau yang diminta mengulas tentang penurunan duti eksais berkata: ''Buat masa ini tiada kemungkinan kerajaan melalui Kementerian Kewangan menurunkan duti eksais.''

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan untuk kerajaan mengurangkan duti eksais dan pelbagai jenis cukai yang dikenakan kepada kereta jika terdapat sumber pendapatan lain yang boleh menggantikan hasil untuk cukai tersebut.

Ini bermakna kerajaan cenderung untuk mengurangkan cukai apabila keadaan fiskal mengizinkan. Dalam pada itu, kerajaan sudah memulakan usaha mengurangkan kadar duti eksais di bawah Program Rangkaian Industri (ILP).

Menerusi program itu, pengeluar bahagian kenderaan dari Malaysia dan negara- negara ASEAN dibenarkan memohon rebat cukai, sekali gus membantu mengurangkan harga jualan.

Di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Rangka Kerja Pengurangan Harga Kereta (CPR) dimulakan pada 2013 yang menyebabkan beberapa syarikat pengeluar kereta termasuk pengeluar kereta tempatan mengurangkan harganya pada tahun lalu.

Langkah mengurangkan harga kenderaan itu sebenarnya terkandung dalam manifesto Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Umum ke-13 lalu yang berjanji untuk mengurangkan harga kenderaan secara berperingkat-peringkat sebanyak 20 hingga 30 peratus menjelang 2017.

Dan proses mengurangkan harga itu dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Secara amnya, duti import adalah sehingga 30 peratus, manakala duti eksais antara 65 hingga 125 peratus.

Selain itu, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula April tahun depan dijangka membantu mengurangkan harga kenderaan di negara ini.

Mengikut kajian, GST akan membantu mengurangkan harga kereta kerana cukai jualan kenderaan ketika ini adalah 10 peratus, manakala GST hanya enam peratus.

Sektor automotif negara merupakan komponen penting dalam ekonomi apabila menyumbang sebanyak RM30 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2013 dan menghasilkan lebih kurang 550,000 pekerjaan.

Melihat kepada sudut ekonomi sebagai satu proses rantaian, sektor automotif banyak menghasilkan peluang dan ruang kepada pembangunan negara.

Bagaimanapun, satu kelainan dalam sektor automotif negara ialah imbangan perdagangan dalam sektor itu mencatatkan defisit ekoran lebih banyak kenderaan yang diimport berbanding eksport.

Sebagai contoh, pada tahun 2012, jumlah defisit adalah sebanyak RM16 bilion di mana jumlah import adalah RM21.7 bilion, manakala eksport pula sebanyak RM5.3 bilion.

Ini menunjukkan pengaliran wang keluar yang signifikan dan jika sesuatu tidak dilakukan, ini akan memberi kesan yang besar kepada ekonomi negara secara keseluruhannya.

Sehubungan itu, DAN 2014 merupakan satu platform untuk membangunkan Malaysia sebagai pusat atau hab automotif serantau bagi kenderaan cekap tenaga (EEV)

Dengan menjadikan negara sebagai pusat serantau EEV, kerajaan akan menawarkan insentif yang menarik kepada pelabur asing untuk membuka kilang di Malaysia.

Walaupun ada yang skeptikal terhadap usaha kerajaan tersebut, namun dalam hal ini peluang dan masa perlu diberikan kepada kerajaan untuk menjayakan dan 2014 Malaysia mungkin sukar untuk mengatasi Detroit Timur iaitu Thailand yang merupakan pendahulu dari segi pengeluaran dan jualan kenderaan di ASEAN.

Thailand mencatatkan pengeluaran tertinggi sebanyak 2.45 juta buah kenderaan berbanding dengan negara-negara lain di ASEAN, dan jumlah itu agak jauh jika dibandingkan dengan Malaysia yang tidak mencecah 1 juta buah kenderaan.

Dengan memilih EEV, ini membolehkan Malaysia sekurang-kurangnya kembali memberi saingan dalam industri automotif kepada negara jiran itu dan juga mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi yang besar.

Umum mengetahui hab EEV tidak boleh direalisasikan semalaman, tetapi ini memaparkan dengan jelas visi dan misi kerajaan terhadap industri automotif negara.

Apabila imbangan perdagangan dalam sektor automotif mencatat lebihan, sudah tentu kerajaan sanggup untuk melonggarkan cukai yang dikenakan pada kereta.

Amat penting untuk tidak menafikan dalam keadaan ekonomi sekarang, rakyat mahukan harga kereta direndahkan bagi mengurangkan kos sara hidup.

Kereta pada awal 70-an dan awal 80-an boleh disifatkan sebagai barang mewah, tetapi kini menjadi satu keperluan yang penting.

Walaupun ramai yang mendesak supaya harga direndahkan, Tetapi, malangnya amat sedikit yang mengetahui bahawa industri automotif di Malaysia agak unik kerana terdapat dua syarikat pengeluar kereta dan sebuah motosikal tempatan.

Proton Holdings Bhd. (Proton), Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) dan Modenas telah banyak memberi faedah kepada rakyat dari segi peluang pekerjaan, pemindahan teknologi dan kenderaan mampu milik.

Ketiga-tiga syarikat itu telah menyumbang nilai yang besar kepada ekonomi dan juga rantaian industri automotif yang memerlukan kerajaan mengekalkan kepentingannya kepada negara serta rakyat.

Seperti yang ditegaskan, DAN 2014 merupakan satu dasar yang mencetuskan permulaan liberalisasi automotif dengan membuka pintu kepada pelabur luar,

Seperti kata Presiden Persatuan Automotif Malaysia, Datuk Aishah Ahmad, dasar itu merupakan satu tanda ke arah liberalisasi pasaran untuk hab EEV ASEAN.

''Sebelum ini kerajaan seperti menutup pintu sektor automotif kepada pelabur luar, tetapi kini membuka seluas-luasnya mereka (pelabur luar),'' katanya.

Cuma tarikan DAN 2014 kini adalah kepada industri automotif berasaskan aliran teknologi automotif hijau yang kini ditekankan oleh ramai pihak bagi mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Malaysia komited dalam mengurangkan kadar pelepasan karbon sebanyak 40 peratus menjelang 2020.

Oleh itu, bagi menjayakan usaha murni tersebut, DAN 2014 dicetuskan sebagai inisiatif mentransformasi dan menghijaukan keseluruhan rantaian industri automotif.

Percayalah, DAN 2014 bukanlah untuk menurunkan harga kereta semata-mata tetapi ia satu pelan yang komprehensif untuk kepentingan rakyat Malaysia.

Lebih ramai pelabur luar ke Malaysia, ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang meningkatkan pendapatan per kapita dan mewujudkan kuasa beli yang mapan.

Apabila lebih banyak eksport dihasilkan, akan lebih banyak pengaliran masuk wang asing dan memberi lebih banyak pendapatan kerajaan yang boleh disalurkan semula dalam bentuk kemudahan untuk rakyat.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment