GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, January 20, 2014

Gembleng usaha baru


Publication: HM
Date of publication: Jan 16, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 012
Byline / Author: Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Satu jawatankuasa khas dikenali Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup Rakyat diwujudkan bagi melihat secara lebih mendalam usaha bersepadu boleh dilakukan kerajaan untuk menangani isu kenaikan harga barang.

Penubuhan jawatankuasa khas itu diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet pada 8 Januari lalu dan ia dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bertindak sebagai sekretariat.

Muhyiddin berkata, jawatankuasa khas itu juga akan disertai beberapa kementerian lain termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pengangkutan dan kementerian lain yang relevan.

Beliau berkata, jawatankuasa itu diperkenalkan sebagai inisiatif meningkatkan keberkesanan usaha kerajaan terutama menerusi langkah penguatkuasaan undang-undang berhubung kenaikan harga barangan.

"Kerajaan menubuhkan Makmal Khas hari ini (semalam) yang berperanan mengkaji langkah mengurangkan beban rakyat termasuk mengkaji konsolidasi fiskal perlu dilaksana bagi memastikan ianya tidak membebankan rakyat.

"Malah, makmal itu juga akan mengkaji bentuk bantuan yang boleh diberikan bagi mengurangkan beban rakyat dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup," katanya pada sidang media khas, di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Muhyiddin berkata, jawatankuasa itu juga akan melakukan kajian kenaikan harga yang tiada kaitan dengan langkah konsolidasi fiskal, tetapi berpunca daripada struktur pasaran semasa seperti isu bekalan dan sistem pemasaran.

Menurutnya, beliau sendiri akan turun padang untuk melawat kawasan terpilih bagi menemui peniaga serta pengguna mulai Sabtu ini bagi mengenal pasti punca kenaikan harga di pelbagai premis jualan sekali gus mencari rumusan bagi menangani isu itu.

Katanya, kerajaan menerusi KPDNKK juga akan menguatkuasakan undang-undang lebih tegas terutama kepada peniaga yang menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya selain mereka akan diberikan surat tunjuk sebab dan tindakan akan diambil jika alasan diberikan tidak munasabah.

"Langkah itu diambil bagi menangkis tohmahan pembangkang yang mendakwa kenaikan harga barangan berlaku berikutan keputusan kerajaan memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sedangkan ia hanya berkuat kuasa pada April 2015," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga memberi galakan kepada pembekal, peruncit dan premis perniagaan menawarkan harga barangan berpatutan kepada rakyat.

Muhyiddin berkata, konsep kedai harga patut juga diperluaskan termasuk memperluas Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Menu Rakyat 1Malaysia.

Katanya, kerajaan juga mahu persatuan pengguna memainkan peranan lebih agresif membantu kerajaan menangani isu kenaikan harga barangan keperluan.

"Jika perlu, kerajaan boleh membantu persatuan pengguna terutama dari segi kewangan bagi membolehkan mereka 'cergas' memperjuangkan isu pengguna di negara ini," katanya.

No comments:

Post a Comment