GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, January 23, 2014

GFI Mesti betulkan kaedahnya yang lemah


ARKIB : 22/01/2014
Oleh Mikhail Raj Abdullah

INTEGRITI Kewangan Global (GFI), yang menetapkan objektif misinya untuk menggalakkan perjanjian dan dasar bagi membendung aliran wang haram rentas sempadan, perlu membetulkan kaedah pengiraan dalam laporannya ke atas Malaysia tahun ini.

Ini penting kerana wujud kebimbangan bahawa pertubuhan bukan kerajaan akan terus menggunakan kaedah yang sama yang kerap kali ditegur oleh para pengawal selia kewangan Malaysia sebagai lemah dan patut dibetulkan.

Kecuali GFI memperbaiki kelemahan dan membetulkan kaedahnya yang tidak konsisten, keputusan akhir sekali lagi merupakan laporan yang cacat, dan memaksa pengawal selia Malaysia untuk sekali lagi membuat penerangan bagi membetulkan apa yang sebenarnya aliran kewangan lebih anggaran dari negara ini.

Apa yang tidak dipedulikan oleh GFI ialah angka Ralat & Ketinggalan (E&O) dalam lembaran imbangan (BOP) sebenarnya akan timbul bagi negara yang bergantung kepada perdagangan.

Bagi Malaysia, jumlah dagangan menyumbang 162 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ternyata, keseluruhan angka E&O dalam BOP tidak boleh dikaitkan dengan aktiviti wang haram atau rasuah seperti yang didakwa oleh pengkritik kerajaan.

Angka E&O yang ketara boleh disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk penghantaran balik dana oleh pekerja asing atau wang yang dihantar melalui saluran tidak rasmi, penentuan harga yang salah dan 'harga pindah'.

Aktiviti-aktiviti ini bukan unik dan berlaku di Malaysia sahaja, malah di negara- negara maju.

Pada 2012, kiriman wang oleh pekerja asing dari Malaysia dianggarkan RM25 bilion.

Dan dalam kes Malaysia, 82 peratus daripada aliran keluar itu disebabkan oleh penentuan harga perdagangan yang salah. Ini bukan sesuatu yang luar biasa dan keadaan ini sama dengan ekonomi lain yang berorientasikan eksport.

Perangkaan rentas sempadan Malaysia secara konsisten memenuhi kesemua piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh institusi pelbagai hala seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.

E&O daripada BOP yang mencatat pada puratanya dua peratus daripada jumlah perdagangan, jauh di bawah had penanda aras lima peratus yang ditetapkan oleh IMF, perlu diberikan perhatian.

Pasukan IMF yang berada di Kuala Lumpur pada akhir tahun lepas untuk rundingan dengan pengawal selia kewangan, tidak pun membincangkan laporan GFI dengan Bank Negara Malaysia (BNM).

Laporan GFI tidak pun disebut sepanjang masa perbincangan dan perundingan.

Ini tidak menghairankan memandangkan GFI merupakan NGO dan tidak mempunyai hubungan dengan Bank Dunia atau IMF.

Kaedah pengiraan GFI terus menyebabkan aliran kewangan terlebih nyata tanpa rekod. Ia juga tidak selaras memandangkan GFI tidak, sebagai contoh, mengambil kira perdagangan Malaysia melalui negara ketiga seperti Singapura, yang sejak 10 tahun lepas mencatatkan purata 13.3 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

Sebaliknya, perdagangan China melalui Hong Kong diambil kira. Mengapa berlaku percanggahan itu? Perangkaan perlu sudah sedia ada seperti menerusi Atlas Perdagangan Dunia, yang merekodkan kesemua perangkaan perdagangan yang diperlukan, termasuk import dan eksport Malaysia melalui Singapura dan negara ketiga yang lain, secara terbuka dan mudah didapati.

Bukan itu sahaja, aspek mengenai penilaian juga perlu diambil kira. Eksport dari Malaysia adalah percuma atas kapal (FOB) manakala barangan Malaysia yang diimport ke China adalah CIF.

Oleh itu, harga yang berbeza dinyatakan untuk barangan yang sama di Malaysia dan China. Sekali lagi, ini bukanlah satu perkara baharu bagi Malaysia.

Satu lagi faktor yang menyumbang kepada tuntutan GFI mengenai 'aliran modal haram' dari Malaysia jelas dikaitkan dengan 'harga pindah, isu teknikal yang melibatkan syarikat-syarikat multinasional (MNC).

Memandangkan Malaysia ialah pusat kepada sebilangan besar syarikat multinasional, penentuan harga pindah boleh berlaku secara meluas. Pemindahan ini tidak boleh diketepikan dalam mana-mana analisis aliran modal dan sudah tentu tidak boleh dilabel sebagai 'haram'.

Bank Negara Malaysia menegaskan bahawa pengenalan Cukai Barang & Perkhidmatan (GST) akan membantu meningkatkan ketelusan memandangkan ia memerlukan pelaporan nilai ditambah dalam rantaian pengeluaran.

Malaysia telah melaksanakan beberapa langkah untuk memerangi aktiviti haram yang boleh membawa kepada aliran modal haram. Ini termasuk penubuhan sebuah Pasukan Petugas Khas Peringkat Tinggi Pelbagai Agensi, mengukuhkan rangka kerja kawal selia, meningkatkan penguatkuasaan dan mempergiat mekanisme pengawasan.

Selain mengakui usaha dan langkah- langkah kerajaan itu, GFI perlu menerima hakikat bahawa kaedah yang digunakannya tidak konsisten ke atas semua negara seperti dalam kes dagangan Malaysia melalui Singapura dan China melalui Hong Kong.

Keadaan tidak konsisten ini sudah tentu memesongkan angka-angka perdagangan dan aliran modal negara secara tidak adil.

Sudah sampai masanya untuk GFI membetulkan keadaan tidak konsisten dalam laporannya atas alasan kredibiliti.

Penyelewengan yang tidak adil ini menyebabkan beberapa pihak mengkritik kerajaan atas kesilapan GFI. - Bernama

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment