GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, January 23, 2014

Mendepani cabaran masa hadapan


Publication: BH
Date of publication: Jan 21, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 030
Byline / Author: Oleh Azha

Pada 30 Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam sepanjang 2014 selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengamalkan perbelanjaan yang berhemat.

Jika diperhalusi setiap satu langkah yang diumumkan, terdapat beberapa perkara yang membabitkan peniaga tempatan khususnya Bumiputera seperti membekukan permohonan baru bagi pengubahsuaian ruang pejabat, mengurangkan penyediaan makanan bagi program kerajaan dan mengurangkan penggunaan kain pemidang.

Umum mengetahui bahawa kebanyakan perniagaan berkenaan dibekalkan oleh peniaga Bumiputera. Selain itu, langkah penjimatan ini bukan saja memberi kesan kepada peniaga kecil, malah turut memberi kesan kepada syarikat besar dalam industri perhotelan dan penerbangan.

Bagaimanapun, inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan adalah satu tindakan yang wajar dan perlu diteruskan bagi memastikan kedudukan kewangan negara sentiasa kukuh dengan membabitkan inisiatif lain seperti rasionalisasi subsidi dan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015.

Bagi merealisasikan hasrat mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020, pertumbuhan ekonomi perlu dipacu oleh sektor swasta, manakala sektor kerajaan bertindak sebagai pemudah cara. Ini adalah penting dalam memastikan kedudukan kewangan yang kukuh sekali gus dapat mengelakkan negara terjerumus dalam krisis ekonomi seperti yang berlaku di Greece yang mempunyai kadar hutang yang tinggi.

Erti sebenar negara maju

Erti sebenar negara maju bukan saja mempunyai pendapatan perkapita yang tinggi (AS$12,616) seperti yang digariskan oleh Bank Dunia, tetapi mempunyai rakyat yang mampu berjaya dalam pelbagai bidang pada peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, sikap kebergantungan peniaga sama ada kecil atau besar terhadap kontrak kerajaan perlu diubah agar mereka lebih berdikari dengan mengambil pendekatan lebih kreatif dan inovasi dalam memajukan perniagaan. Mesti belajar untuk berdiri di atas kaki sendiri untuk terus maju berdaya saing dengan bangsa lain yang sudah berada satu langkah di hadapan. Bukan bermaksud perniagaan Bumiputera tidak perlu dijaga, tetapi secara realitinya agak besar jumlah Bumiputera bergantung kepada semua kontrak termasuk badan profesional Bumiputera.

Bumiputera perlu lebih yakin dan berani dalam mendepani cabaran mendatang dengan memperkukuhkan diri dengan ilmu dan keazaman agar tidak hanyut dalam dunia perlumbaan. Ketahuilah bahawa kerajaan sebenarnya membantu anda bagi mengekalkan kestabilan ekonomi negara.

Azha
Putrajaya

No comments:

Post a Comment