GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, January 20, 2014

Kabinet tubuh Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup Rakyat


2014/01/15 - 16:08:11 PM

PUTRAJAYA: Kabinet hari ini menubuhkan Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup Rakyat sebagai inisiatif meningkatkan keberkesanan usaha kerajaan dan penguatkuasaan undang-undang berhubung kenaikan harga barangan. 

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan mempengerusikan jawatankuasa khas itu, berkata jemaah menteri turut mewujudkan sebuah Makmal Khas bagi tempoh dua minggu untuk mengkaji langkah mengurangkan beban rakyat. 

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan makmal terbabit, antara lain, akan mengkaji secara holistik konsolidasi fiskal yang perlu dilaksana bagi memastikan ia tidak terlalu membebankan rakyat selain bentuk bantuan yang boleh diberi bagi mengurangkan beban rakyat menghadapi kenaikan kos sara hidup semasa. 

"Ini termasuk kajian kenaikan harga yang tiada kaitan dengan langkah konsolidasi fiskal tetapi berpunca daripada struktur pasaran semasa seperti isu bekalan dan sistem pemasaran. 

"Saya sendiri akan turun padang, malah semua menteri juga akan turun padang bagi melawat kawasan terpilih untuk menemui peniaga serta pengguna bagi kenal pasti punca kenaikan harga di pelbagai premis jualan, sekali gus mencari rumusan bagi menangani isu ini. 

"Kabinet juga putuskan susulan penguatkuasaan yang tegas di mana kedai yang naikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya akan diberi surat tunjuk sebab dan tidakan diambil jika alasan tidak munasabah," katanya pada sidang media di sini, hari ini. 

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Muhyiddin berkata, pendekatan itu juga bertujuan menangkis tohmahan pembangkang yang mendakwa kenaikan harga barangan sekarang berlaku berikutan keputusan kerajaan memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sedangkan ia hanya berkuatkuasa pada April 2015.

No comments:

Post a Comment