GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, January 20, 2014

Pemahaman penduduk tentang GST penting


Posted on January 20, 2014, Monday

MIRI: Pemahaman mendalam penduduk kampung dan rumah panjang tentang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) penting agar pelaksanaannya tidak diputarbelitkan oleh pihak berkepentingan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Lambir, Ripin Lamat (gambar) berkata, penduduk harus dibekalkan sumber-sumber maklumat yang tepat agar pelaksanaan GST tidak dianggap membebankan.

Sehubungan itu, Ketua Kaum dan Tuai Rumah diminta memainkan peranan mereka menjelaskan kepada penduduk tentang kepentingan GST oleh kerajaan yang bakal dilaksanakan pada bulan April tahun depan.

Selain GST, pemahaman penduduk khasnya di kawasan luar bandar tentang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga harus diperluaskan.

Ripin berkata demikian ketika menghadiri taklimat tentang GST dan BR1M yang dihadiri oleh ketua kaum, tuai rumah, penghulu, pemanca serta ahli-ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk kawasan DUN 62 Lambir.

“Ini kerana, bila kita berada di kampung dan rumah panjang, banyak persoalan mengenai BR1M, ada yang belum faham, ada yang dapat dan ada yang tidak dapat, jadi inilah peluang kita untuk menyatakan soalan kepada pihak yang berkenaan,” jelas beliau.

Menurut Ripin, antara tujuan utama aktiviti semalam ialah menyampaikan maklumat-maklumat tepat tentang GST dan BR1M kepada pemimpin di peringkat akar umbi yang seterusnya menerangkan manfaatnya kepada penduduk.

Penganjuran aktiviti itu adalah peluang terbaik untuk mereka mendengar sendiri penerangan yang disampaikan oleh pihak yang arif.

“Harapan saya ialah ketua masyarakat supaya memberi perhatian yang khusus mengenai perkara ini walaupun GST tidak dilaksanakan tahun ini.

“Tetapi, kita perlu pemahaman yang lengkap dan menyeluruh supaya kita dapat memberitahu rakan-rakan, keluarga kita, masyarakat kampung dan rumah panjang tentang GST dan pelaksanaannya, biarlah kita dapat menerangkan maklumat yang tepat dan betul kepada masyarakat kita,” jelasnya.

Dalam pada itu, taklimat tentang GST dikendalikan oleh Penolong Kanan Pengarah Kastam Dua, Ketua Unit GST Negeri Sarawak, Bahagian Cukai Dalaman Negeri Sarawak Noelle Lily.

Sementara taklimat tentang BR1M disampaikan oleh Pegawai Eksekutif (Penaksiran) Unit Khidmat Pelanggan Lembaga Hasil Dalam Negeri Miri Zamri Hasbi.

No comments:

Post a Comment