GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, December 2, 2013

Kor Ming diarah keluar sidang DUN


ARKIB : 30/11/2013
Nga Kor Ming (tengah) keluar dari Dewan Undangan Negeri atas arahan Speaker,
S.K. Devamany di Ipoh, semalam.
IPOH 29 Nov. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang dari DAP, Nga Kor Ming diarah keluar dan digantung daripada mengikuti sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini setelah enggan menarik tuduhannya bahawa Speaker, Datuk Seri S. K. Devamany mempercepat sesi perbahasan kerana pemilihan MIC.

Kor Ming melontarkan tuduhan tersebut apabila Devamany meminta beliau duduk dan tidak mengganggu Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Shamsudin Abu Hassan (BN-Air Kuning) yang sedang menggulung pembentangan dan perbahasan Bajet 2014 negeri.

Ketika itu, Setiausaha DAP negeri berkenaan sedang bertikam lidah dengan Shamsudin berhubung isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksana bermula 1 April 2015.

Devamany membuat keputusan tersebut mengikut Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri 44 (2) selepas Ahli Parlimen Taiping itu berdegil tidak mahu menarik balik kenyataan tersebut walaupun telah banyak kali diminta berbuat demikian.

"Ini tidak ada kena-mengena dengan penjelasan tadi. Ini memalukan Dewan dan satu penghinaan kepada Yang Dipertua (Speaker). Saya minta Kepayang tarik balik kenyataannya tetapi dia tidak mahu.

"Jadi saya dengan ini membuat keputusan menggantung Kepayang daripada Dewan. Keputusan sudah dibuat, minta bahtera iringi dia keluar," katanya.

Devamany juga menjelaskan tindakan itu diambil bukan kerana bersifat peribadi tetapi kerana tuduhan tersebut cukup serius dan menghina Speaker.

"Sepanjang perjalanan Dewan, banyak tohmahan dilemparkan tetapi tuduhan ini terhadap Yang Dipertua yang mempengerusikan Dewan. Saya dipilih oleh Dewan," katanya.

Pengerusi DAP negeri, Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan) kemudian mencelah menjelaskan Kor Ming sebenarnya sekadar bergurau kerana apa yang cuba disampaikan beliau ialah semua ADUN memerlukan masa yang lebih panjang untuk perbahasan.

Devamany kemudian menyatakan beliau menerima baik cadangan itu dan memuji cara Koo Ham mengutarakan perkara tersebut secara berhemah.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment