GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, December 5, 2013

ETP, PPP bantu kekal pertumbuhan, permintaan domestik


Publication: BH
Date of publication: Dec 4, 2013
Section heading: Bisnes
Page number: 005
Byline / Author: Oleh Peck Boon Soon

Pertumbuhan ekonomi Malaysia turun kepada 4.3 peratus pada separuh pertama 2013 daripada 5.6 peratus pada 2012 berikutan penurunan ketara dalam eksport, sambil permintaan domestik kekal berdaya tahan.

Dalam banyak perkara, saya percaya penurunan pertumbuhan ekonomi pada separuh pertama tahun ini adalah bersifat kitaran, dijejaskan oleh permintaan luar yang semakin lemah bagi eksport negara.

Pada masa sama, permintaan domestik berkembang sederhana pada separuh pertama 2013, sebahagiannya disebabkan oleh ketidaktentuan pasaran menjelang pilihan raya umum pada Mei lalu.

Pertumbuhan permintaan domestik bagaimanapun kekal berdaya tahan sepanjang tempoh itu, terima kasih sebahagiannya kepada Program Transformasi Ekonomi (ETP) kerajaan serta pelbagai inisiatif koridor ekonomi.

Inisiatif berkenaan, bersama dengan pelaksanaan beberapa projek kerjasama awam-swasta (PPP) sejak 2010, menerajui kebangkitan kitaran pelaburan baru di negara ini.

Kitaran pemulihan

Menuju ke depan, kami menjangkakan Malaysia akan berada dalam kitaran pemulihan, dipengaruhi oleh peningkatan permintaan domestik yang mapan selain pemulihan dalam eksport.

Walaupun pengukuhan fiskal kerajaan serta beberapa langkah penyusunan semula yang dibentangkan dalam Bajet 2013 berkemungkinan akan mengehadkan arah aliran kenaikan permintaan domestik, saya menjangkakan pertumbuhan permintaan domestik akan kekal berdaya tahan, dipacu oleh pemulihan dalam kitaran pelaburan swasta serta peningkatan berterusan perbelanjaan pengguna.

Pemulihan eksport akan memberikan rangsangan tambahan kepada pertumbuhan ekonomi pada 2014, selepas prestasi kurang memberangsangkan dua tahun berturut-turut pada 2012 dan 2013.

Daripada segi keseimbangan, dijangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar berkembang pada kadar lebih pantas 5.4 peratus pada 2014, selepas berkembang sederhana kepada 4.7 peratus tahun ini.

Sementara itu, inflasi dijangka bergerak pada arah aliran lebih tinggi antara 2.8 hingga 3.2 peratus pada 2014 susulan penyusunan semula subsidi dan akan meningkat kepada 3.8 hingga 4.2 peratus apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan.

Kenaikan semasa inflasi kebanyakannya dipengaruhi dasar dan bank pusat melihatnya sebagai fenomena `sementara' serta tidak melihat keperluan menaikkan kadar faedah dalam masa terdekat di sebalik jangkaan kenaikan inflasi.

Kawal kenaikan inflasi

Begitupun, saya percaya adalah penting bagi bank pusat mengambil langkah awal untuk mengawal jangkaan kenaikan inflasi, memandangkan inflasi dijangka meningkat pantas bagi dua tahun akan datang.

Sebagai rumusan, adalah dijangkakan bank pusat akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus bermula daripada suku ketiga 2014 atau selepas itu.

Pengurangan pelonggaran kuantitatif

Di peringkat global, pengurangan program pelonggaran kuantitatif (QE) Amerika Syarikat (AS) yang kini hanya menunggu masa berkemungkinan akan menerajui aliran keluar modal jangka pendek dari Malaysia, di samping kelemahan dalam mata wangnya.

Sebaik saja tempoh masa pengurangan QE dapat dipastikan, ringgit dijangka akan menjadi lemah berkemungkinan kepada RM3.30 bagi setiap dolar AS, sebelum kembali kukuh kepada paras RM3.20 apabila situasi kembali normal.

Di sebalik kelemahan nilai ringgit, saya tidak menjangkakan bank pusat akan menaikkan kadar dasar utamanya hanya semata-mata untuk meredakan tekanan ke atas ringgit.

* Penulis ialah Ahli Ekonomi RHB Research Institute Sdn Bhd.

No comments:

Post a Comment