GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, March 26, 2014

Syarikat terbabit GST perlu daftar Mei



Publication: BH
Date of publication: Mar 25, 2014
Section heading: Bisnes
Page number: 003
Byline / Author: Oleh Mahanum Abdul Aziz

Pendaftaran awal bagi syarikat dan perniagaan yang termaktub di bawah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dibuka pada Mei ini.

Penolong Kanan Pengarah Kastam 1, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Rohana Ahmad, berkata pendaftaran itu boleh dibuat secara dalam talian di portal rasmi GST yang dikendalikan jabatan berkenaan.

Beliau berkata, pendaftaran awal itu dibuka bagi mengelakkan kesesakan dan melancarkan pelaksanaanGST yang akan berkuat kuasa pada 1 April 2015 bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Penalti jika tak daftar

Katanya, syarikat yang wajib mendaftar di bawah GST ialah syarikat yang memperoleh pendapatan tahunan sebanyak RM500,000.

"Syarikat yang wajib mendaftar akan dikenakan penalti jika gagal mendaftar selewat-lewatnya pada Januari tahun depan," katanya ketika ditemui pada Seminar Cukai Barangan dan Perkhidmatan 2014 anjuran bersama Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MPKM), Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kuala Lumpur semalam.

Yang turut hadir ialah Presiden MPKM, Md Adnan Md Zain dan Timbalan Presiden FPAM, Tang Wee Hen.

Rohana berkata, syarikat yang mempunyai pendapatan tahunan di bawah paras RM500,000 tidak perlu mendaftar di bawah GST tetapi masih boleh memohon untuk berdaftar secara sukarela.

Beliau berkata, GST adalah satu sistem cukai yang adil dan menyeluruh yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia.

Bendung ketirisan

Katanya, pelaksanaan GST dapat membendung pelbagai ketirisan di sepanjang rantaian bekalan pengeluaran barangan, sekali gus membolehkan kerajaan mengutip cukai lebih tinggi dalam jangka panjang.

"GST akan dilaksanakan pada 1 April 2015 pada kadar enam peratus bagi menggantikan cukai jualan, yang kini dikenakan sebanyak lima dan 10 peratus serta cukai perkhidmatan iaitu sebanyak enam peratus," katanya.

No comments:

Post a Comment