GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, September 17, 2004

Pengenalan GST tidak akan tingkatkan inflasi


ARKIB : 16/09/2004

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan sebelum 1 Januari 2007 dijangka tidak akan mewujudkan kadar inflasi yang lebih tinggi di Malaysia.

Sebaliknya, pengenalan GST jika dilaksanakan dengan perancangan yang teliti dilihat mampu mengurangkan kadar inflasi negara seterusnya mewujudkan belanjawan berimbang, kata Penasihat Ernst & Young Tax Consultant Sdn. Bhd., Dr. Veerinderjeet Singh.

Menurut beliau, berdasarkan pengalaman negara-negara lain yang lebih awal melaksanakan GST, kadar inflasi mereka turun sehingga lebih satu peratus selepas setahun GST diperkenalkan dan membolehkan hasil sesebuah negara meningkat.

Katanya, GST akan menyediakan satu lagi sumber pendapatan kepada kerajaan sekali gus mewujudkan peluang untuk mengurangkan pendapatan daripada cukai langsung.

``Sebagai contoh, Singapura berjaya mengurangkan kadar inflasinya sehingga kurang daripada satu peratus selepas pelaksanaan GST pada tahun 2005 berbanding kadar 2.4 peratus pada tahun sebelumnya,'' katanya pada sidang media Seminar Bajet 2005 anjuran Ernst & Young di sini hari ini.

Veerinderjeet berkata, pengenalan GST ini juga seterusnya dilihat mampu mengurangkan kadar cukai perseorangan dan korporat.

Ujar beliau, di Australia misalnya, kadar cukai korporat berjaya dikurangkan kepada 34 peratus sebelum pengenalan GST berbanding 36 peratus kadar asal.

``Kadar itu kemudiannya berjaya dikurangkan lagi sehingga 30 peratus selepas setahun GST diperkenalkan,'' katanya sambil menambah kadar permulaan GST di Malaysia akan dikenakan melebihi lima peratus.

Kadar yang dijangkakan ini, menurut beliau adalah selepas mengambil kira kadar GST yang dikenakan oleh negara-negara lain seperti Australia dan Singapura.

Namun begitu, beliau berharap agar formula guna pakai GST tidak akan melibatkan barangan asas seperti makanan serta keperluan rumah yang turut melibatkan perbelanjaan golongan berpendapatan rendah.

``Adalah lebih baik untuk kita bermula dengan kadar tiga peratus memandangkan kadar pengenalan ini belum meliputi banyak barang dan perkhidmatan.

``Bagaimanapun, ia tetap bergantung, kepada apa sahaja barangan dan perkhidmatan yang akan tertakluk kepada GST,'' katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ernst & Young, Azhar Lee berkata, hasrat kerajaan kerajaan untuk mencapai bajet berimbang selewat-lewatnya pada 2008 lebih mudah sekiranya kerajaan menghapuskan cukai jualan.

Sebagai contoh, katanya, Australia yang juga mempunyai sistem cukai jualan borong, serupa dengan cukai jualan Malaysia, yang dihapuskan selepas adanya GST.

Azhar berkata sebelum pelaksanaan GST, kutipan cukai jualan borong bagi Australia adalah A$16 bilion.

``Dengan mempunyai perolehan sebanyak A$24 bilion melalui GST dan pada masa yang sama perolehan melalui cukai korporat naik sebanyak A$6 bilion, Australia berjaya mempunyai lebihan belanjawan dua tahun lalu,'' katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0916&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm#ixzz2WdS6YODs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment