GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Sunday, September 12, 2004

Pakar ekonomi sifatkan Bajet 2005 komprehensif dan seimbang


ARKIB : 11/09/2004

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Beberapa pakar ekonomi menyifatkan Bajet 2005 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai bajet yang komprehensif tetapi seimbang.

Pensyarah Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaysia Sabah, Prof. Mohd. Yusof Kassim berkata, bajet kali ini mencakupi semua bidang sama ada ekonomi, sosial, pendidikan serta pengagihan yang adil dan saksama.

Menurutnya, langkah yang begitu menakjubkan ialah apabila membenarkan lima syarikat broker asing untuk tujuan mengembangkan potensi pasaran modal dan bersaing dengan syarikat tempatan.

``Langkah ini diharap akan memperkukuhkan rangkaian pengagihan serta memberi pilihan kepakaran pengurusan dana dan bersaing dalam perkhidmatan kualiti,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai pembentangan Bajet 2005 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Mohd. Yusof, galakan Taraf Perintis kepada pelabur yang ingin melabur di Koridor Pantai Timur Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak merupakan komitmen kerajaan bagi memajukan negeri-negeri tersebut.

Sementara itu, menurut pakar ekonomi Dr. Hamzaid Yahya, tumpuan bajet kali ini begitu hebat telah diberi kepada pertanian terutamanya sektor makanan.

Menurutnya, banyak insentif taraf perintis untuk mengkomersialkan sektor pertanian telah diberi bagi menjadikan Malaysia sebagai pengeluar global yang boleh bersaing bagi produk pertanian berkualiti tinggi, selamat dan memenuhi piawaian antarabangsa.

``Dana dalam Tabung Industri Kecil dan Sederhana serta Tabung Usahawan yang ditambah juga boleh menggalakkan usahawan kecil terus bersaing dan meningkatkan teknologi serta membantu mereka menembusi pasaran globalisasi.

``Satu lagi pembaharuan ialah cadangan supaya bayaran zakat ke atas pendapatan perniagaan yang dibayar oleh syarikat dibenarkan sebagai potongan bagi tujuan pengiraan cukai pendapatan berbanding selama ini tidak mendapat sebarang potongan,'' jelasnya.

Pensyarah Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa, Mohd. Nahar Mohd. Arshad menjelaskan, bajet kali ini cuba memenuhi semua pihak terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Menurutnya, selain itu kerajaan cuba mengukuhkan jenama Malaysia ke peringkat antarabangsa dengan membangunkan produk halal, sistem pendidikan bertaraf dunia dan sistem kewangan Islam.

``Kerajaan juga lebih bersikap terbuka dengan menggalakkan pelabur asing untuk melabur dalam sistem kewangan dan ekonomi Malaysia dalam penyediaan awal ke arah mewujudkan Kawasan Bebas Kewangan yang akan diwujudkan pada 2007,'' katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Fakulti Ekonomi, Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Asan Ali Golam Hassan berkata, bajet ini merupakan bonus Perdana Menteri kepada negeri kurang maju dan sektor pertanian.

Menurutnya, pengecualian cukai dan insentif tambahan kepada sektor pertanian terutamanya makanan dan sektor perindustrian yang terletak di koridor industri Pantai Timur dan Malaysia Timur memberi kesan positif kepada negara keseluruhannya dan mampu menjana pembangunan baru di kawasan itu.

``Penekanan kepada sektor pertanian terutamanya makanan yang mapan bukan sahaja mengurangkan pengaliran keluar wang negara, mengecilkan defisit imbangan perdagangan makanan tetapi dari segi keselamatan makanan negara,'' katanya.

Sehubungan itu, jelas Asan, insentif ini bersesuaian dengan keadaan semasa yang memperlihatkan kurangnya keyakinan institusi kewangan untuk menyalurkan pinjaman kepada sektor pertanian.

Ketua Program Ekonomi Fiskal, Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Nor Ghani Md. Nor berkata, Bajet 2005 ini dilihat sebagai lebih ikhlas dan memberi ruang kepada kerajaan untuk mengurangkan kadar defisit serta mengurangkan beban hutang negara.

Menurutnya, langkah kerajaan untuk meningkatkan kecekapan pengangkutan awam bagi mengurangkan kos perniagaan wajar dilakukan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya di pusat bandar utama.

``Satu lagi aspek yang menarik ialah cukai penggunaan yang berasaskan konsep nilai ditambah yang akan dikenali sebagai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

``Memperkenalkan cukai ini akan mampu mengurangkan kadar cukai pendapatan individu dan syarikat,'' katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0911&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm#ixzz2Wd3qpMvC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment