GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Sunday, September 12, 2004

GST akan diperkenal mulai '07


ARKIB : 11/09/2004

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Kerajaan bercadang memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang berasaskan konsep nilai tambah pada 1 Januari 2007 berikutan pemansuhan cukai jualan dan cukai perkhidmatan.

Ketika mengumumkan mengenai GST, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagaimanapun berkata, kerajaan akan memastikan golongan rakyat yang berpendapatan rendah tidak dibebankan dengan pelaksanaan cukai baru itu.

``Barangan dan perkhidmatan yang merupakan keperluan asas tidak akan dikenakan GST atau diberi pengecualian. Selain itu, perniagaan kecil juga akan dikecualikan daripada cukai ini,'' katanya ketika membentangkan Bajet 2005 di Parlimen di sini, hari ini.

Ketika ini, kerajaan melaksanakan dua jenis cukai yang terdiri daripada cukai jualan dengan kadar antara 5 hingga 25 peratus dan cukai perkhidmatan pada kadar 5 peratus.

Cukai jualan dikenakan ke atas barangan ketika diimport atau di peringkat perkilangan manakala cukai perkhidmatan pula dikenakan ke atas perkhidmatan tertentu termasuk perkhidmatan profesional serta pengusaha hotel dan restoren.

GST pula merupakan cukai penggunaan (consumption) tidak langsung yang dikenakan kepada pengguna terakhir ke atas barangan atau perkhidmatan dan kadar cukai yang dikenakan bergantung kepada sesebuah negara.

Cukai tersebut boleh dilaksanakan pada satu kadar atau pelbagai kadar.

Menurut Perdana Menteri, pengenalan GST akan memberi ruang kepada kerajaan untuk mengurangkan kadar cukai pendapatan dan korporat pada masa depan.

Katanya, GST yang merupakan satu sistem percukaian lebih komprehensif, cekap, telus dan berkesan, juga mampu meningkatkan kadar pematuhan cukai kerana syarikat perlu menyimpan akaun yang teratur.

``Langkah ini juga akan meningkatkan kutipan hasil,'' ujarnya.

Abdullah berkata, bagi melaksanakan cukai baru itu, kerajaan akan memberi peluang kepada semua pihak dalam sektor awam dan swasta untuk memberi pandangan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kanan PricewaterhouseCoopers Malaysia, Peter K. S. Chow berkata, pengenalan GST merupakan langkah yang baik kerana ia boleh membesarkan asas perolehan percukaian.

``Penggunaannya berada pada asas yang lebih adil di mana lebih banyak sesuatu barangan atau perkhidmatan digunakan, pelanggan perlu membayar lebih banyak cukai,'' katanya.

Bagaimanapun, Chow memberitahu, kadar yang dikenakan pada awal pelaksanaannya perlu rendah sebelum ditambah kemudiannya bagi mengelakkan bebanan kepada pengguna.

Sebagai contoh, katanya, Singapura yang mula memperkenalkan cukai seumpama itu pada 1994 mengenakan kadar sebanyak 3 peratus dan menaikkan kadarnya kepada 5 peratus selepas itu.

Selain Singapura, kebanyakan negara ASEAN telah melaksanakan GST, antaranya Filipina, Thailand dan Kemboja.

Ditanya mengenai tempoh masa dua tahun untuk melaksanakan GST, Chow berkata, tempoh itu baik kerana ia memberi peluang kepada kerajaan untuk mendidik penduduk negara ini mengenai cukai baru tersebut selain memberi ruang kepada pihak berkuasa membuat persiapan.

Ahli Jawatan kuasa Industri Kecil dan Sederhana Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), Prof. Madya Faridah Ahmad berkata, apa yang perlu dilakukan ialah memperbaiki mekanisme pengutan cukai sebelum ia dilaksanakan.

``Ini kerana ia bergantung kepada syarikat untuk memungut cukai daripada pelanggan sebelum disalurkan kepada kerajaan,'' katanya.

Bagaimanapun, jelas beliau, cabaran besar yang bakal dihadapi ialah memastikan cukai yang dikutip oleh sesebuah kedai, restoren ataupun syarikat tidak dimasukkan ke dalam poket mereka.

Ditanya mengenai kadar cukai GST, Faridah berkata, berdasarkan kepada kadar cukai jualan antara 5 hingga 25 peratus ketika ini, kadar cukai baru yang akan diperkenalkan itu perlu dibahagikan kepada beberapa kategori produk.

``Sekiranya satu kadar cukai diperkenalkan maka mereka yang menghisap rokok akan membayar kurang manakala bukan perokok pula membayar lebih,'' katanya.

Firma penasihat kewangan dan cukai, KPMG Malaysia dalam kenyataannya berkata, cukai pendapatan dan korporat dijangka turun pada masa depan.

Menurutnya, kini isu menarik yang dinanti-nantikan berhubung pengenalan GST ialah kadar cukai yang akan dikenakan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0911&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_08.htm#ixzz2Wd4xVC1z
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment