GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Saturday, March 27, 2010

Tinjauan ekonomi semakin diyakini


ARKIB : 26/03/2010


KUALA LUMPUR 25 Mac - Persatuan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak enam peratus pada tahun ini boleh dicapai berikutan terdapatnya momentum peningkatan dalam pertumbuhan eksport.

Presidennya, Tan Sri William Cheng berkata, jangkaan itu juga berdasarkan keadaan ekonomi global yang semakin pulih.

Beliau berkata, sektor pembinaan sedang berkembang sambil menyarankan industri perlombongan diberi tumpuan.

"Kerajaan seharusnya membuka lebih banyak tanah untuk perlombongan kerana sumber-sumber seperti timah, batu arang, bijih besi dan tembaga mampu menjana ekonomi.

"Sasaran ini boleh dicapai jika semua pihak bekerjasama,'' kata beliau selepas mempengerusikan laporan kaji selidik ACCCIM mengenai keadaan ekonomi pada separuh kedua tahun lalu, di sini hari ini.

Cheng berkata demikian ketika mengulas hasrat Perdana Menteri untuk mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak enam peratus, pada tahun ini.

Cheng berkata, selain menarik pelabur asing, pelabur tempatan juga berperanan penting meningkatkan jumlah pelaburan di negara ini bagi menjana ekonomi negara.

"Kami sepatutnya mencontohi langkah yang diambil China yang menetapkan indeks prestasi utama (KPI) untuk setiap daerah yang kemudian melaporkan isu-isu berhubung, antaranya pelaburan langsung asing (FDI), pendidikan dan keselamatan ke kerajaan pusat," kata beliau.

Mengulas mengenai kaji selidik tersebut, beliau berkata, sebanyak 70 peratus responden lebih yakin dan optimis mengenai tinjauan ekonomi tahun ini dan depan berikutan peningkatan dalam jualan, tempahan luar negara dan lain-lain untuk perniagaan mereka.

Kaji selidik yang dijalankan meliputi seramai 310 responden iaitu 46.3 peratus merupakan ahli perniagaan Cina merentasi semua sektor dan industri.

Ditanya tentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Cheng berkata, sekiranya GST dilaksanakan kadar cukai korporat seharusnya dikurangkan bagi menarik lebih banyak FDI.

Mengulas tentang Model Ekonomi Baru, beliau berharap kerajaan akan melaksanakan dasar lebih pragmatik dan berani serta memainkan peranan berkesan bagi membangunkan persekitaran yang lebih berdaya saing dan cenderung kepada perniagaan.

"Ini akan menuju ke arah penggunaan dan aktiviti pelaburan lebih tinggi, terus mempromosi momentum pertumbuhan dalam pelbagai sektor ekonomi ke arah negara maju," kata beliau.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0326&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm#ixzz2WQx1QWsN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment