GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, February 17, 2014

Penjawat awam jangan mudah berpuas hati


ARKIB : 13/02/2014

KOTA KINABALU 12 Feb. - Kakitangan perkhidmatan awam negeri dan persekutuan di negeri ini diingatkan agar tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian semasa sebaliknya terus bekerja keras dalam mencipta lebih banyak kejayaan demi rakyat Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, pencapaian baik yang dicatat oleh golongan perkhidmatan awam di negeri ini seharusnya dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi memastikan orang ramai yang merupakan pelanggan utama sentiasa berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.

Katanya, kakitangan perkhidmatan awam perlu melipat ganda usaha dan memberikan komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan berteraskan keikhlasan dan disiplin tinggi.

"Negeri Sabah telah mendapat pengiktirafan daripada Ketua Audit Negara dalam pengurusan kewangan terbaik, malah sembilan agensi di negeri ini termasuk Pejabat Daerah dan jabatan negeri memperolehi penarafan empat bintang.

"Namun kejayaan ini bukanlah satu pengukur bagi kita untuk berpuas hati. Sesungguhnya kerajaan akan terus melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat serta sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan masyarakat," katanya ketika berucap dalam majlis perhimpunan perdana Ketua Menteri bersama anggota perkhidmatan awam negeri dan persekutuan di sini semalam.

Yang hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Abu Bakar Hassan; Setiausaha Kerajaan negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), Datuk Asnimar Sukardi.

Mengulas lanjut, Musa berkata, kerajaan sentiasa peka dan mendengar segala luahan serta denyut nadi rakyat, malah mengambil pendekatan yang bersesuaian untuk memenuhi semua tuntutan tersebut.

Menurutnya, kakitangan perkhidmatan awam yang berada di barisan hadapan diminta untuk terus memberi penjelasan kepada rakyat agar tidak dimomokkan berkaitan isu kenaikan harga barang, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan isu keharmonian agama.

Katanya, anggota perkhidmatan awam juga perlu sentiasa turun padang untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab, selain berusaha membantu memudahkan urusan atau menyelesaikan masalah rakyat.

Tambahnya, kejayaan Sabah bukan sekadar dalam bidang pengurusan itu, bahkan keupayaan negeri ini menjadi contoh terbaik dalam konsep perpaduan kaum di Malaysia.

"Saya berharap agar rakyat tidak mudah terpengaruh dengan dakyah serta hasutan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengganggu gugat kedaulatan dan keamanan yang telah lama berlangsung di negeri ini," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment