GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, October 25, 2013

#Bajet2014 Preview: Cukai Barang dan Perkhidmatan #GST



Cukai Barang dan Perkhidmatan


97. Kerajaan mendapati cukai jualan dan cukai perkhidmatan semasa, mempunyai kelemahan-kelemahan tertentu seperti kesan cukai berganda ke atas pengguna, ketiadaan pelepasan cukai ke atas barang yang dieksport dan isu pindahan harga atau transfer pricing. Kelemahan ini akhirnya akan merugikan rakyat sebagai pengguna dan pihak Kerajaan. 

98. Pada Bajet tahun 2013, Kerajaan telah membayangkan tentang usaha besar pengukuhan kedudukan fiskal negara. Malah sebelum itu, Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan telahpun dibacakan di dewan yang mulia ini. Sejak itu, pelbagai reaksi positif mahupun negatif dan pandangan telah kita terima.

99. Hakikatnya, Kerajaan telahpun mengambil tempoh beberapa tahun, yakni masa yang mencukupi untuk menjalankan kajian dengan teliti dan menyeluruh serta mengambil kira semua pandangan dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk dewan perniagaan, pelabur, pakar ekonomi, ahli akademik, persatuan pengguna dan NGO.

Tuan Yang di-Pertua,

100. Lantaran itu, berasaskan prinsip mendahulukan rakyat, Kerajaan dengan ini memutuskan supaya satu sistem percukaian menyeluruh dan saksama perlu segera dilaksanakan bagi memanfaatkan seluruh rakyat Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua,

101. Sehubungan itu, Kerajaan mencadangkan cukai jualan dan cukai perkhidmatan atau Sales Tax and Services Tax dimansuhkan. Dua cukai yang dimansuhkan ini pula akan digantikan dengan satu cukai sahaja yang dikenali dengan nama Cukai Barang dan Perkhidmatan atau Goods and Services Tax atau GST. Ringkasnya, perlu saya tegaskan, bahawa GST bukanlah cukai tambahan baru. 

102. Realitinya, kadar inflasi kini adalah pada tahap yang rendah di paras dua peratus. Kerajaan yakin, ini adalah masa yang terbaik untuk melaksanakan GST kerana kadar inflasi adalah minimum dan terkawal.

103. Dengan pelaksanaan GST, Kerajaan dapat menangani banyak kelemahan dalam sistem percukaian sedia ada. Sebagai contoh, pada waktu ini, sekiranya kita membeli minuman berkarbonat di restoran, tanpa kita sedari, kita telah membayar dua kali cukai, yakni cukai jualan dan cukai perkhidmatan. 

104. Dalam bahasa mudahnya, untuk difahami oleh semua, dalam sistem GST ini, pengguna hanya perlu membayar satu kali cukai sahaja. Realitinya juga, perubahan harga barangan atau perkhidmatan apabila GST dilaksanakan adalah amat minimum. Malahan, ada harga barangan yang akan menjadi lebih murah bergantung samada ianya adalah barangan asas atau tidak.

105. Kerana itu, kita berasa amat kecewa, apabila, sesetengah pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan dengan mengelirukan orang ramai terhadap kefahaman GST. Mereka mengatakan apabila GST dilaksanakan, kononnya, semua harga barang akan melambung naik, dan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah akan menanggung beban. 

106. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, lebih 160 buah negara di dunia telah pun melaksanakan GST. Ini menunjukkan bahawa GST adalah satu sistem percukaian yang terbaik setakat ini dan terbukti berkesan.

Sekiranya GST ini memudaratkan rakyat dan negara, masakan majoriti negara di dunia telah mengguna pakai sistem percukaian ini. Hampir semua negara maju telah lama melaksanakan GST atau VAT atau cukai nilai ditambah ini, malah negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Filipina, Laos dan Cambodia telah melaksanakannya. Malahan, negara-negara seperti Burkina Faso, Burundi, Zimbabwe, Rwanda dan Kenya pun telah melaksanakan GST.

107. Di pihak Kerajaan pula, perundangan GST, sistem pengkomputeran, latihan pegawai, kemudahan infrastruktur GST dan pelan komunikasi yang menyeluruh telahpun disediakan.

108. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, cadangan model GST yang akan dilaksanakan di Malaysia adalah seperti berikut:

Pertama: GST akan berkuatkuasa mulai 1 April 2015, iaitu kira-kira 17 bulan dari sekarang. Kadar GST yang ditetapkan adalah hanya sebanyak enam peratus berbanding dengan kadar cukai jualan iaitu lima dan 10 peratus dan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus.

Kadar GST ini merupakan yang terendah dikalangan negara ASEAN di mana Indonesia, Vietnam, Cambodia, Filipina dan Laos mengenakan GST pada kadar 10 peratus dan Singapura serta Thailand pada kadar tujuh peratus;

Kedua: Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, usahlah bimbang, janganlah risau, GST tidak akan dikenakan kepada barangan makanan asas antaranya beras, gula, garam, tepung, minyak masak, kacang dhal, rempah ratus, ikan masin, cencalok, budu sekalipun belacan;

Ketiga: Bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna domestik tidak dikenakan GST;

Keempat: Perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan seperti pengeluaran pasport, lesen, perkhidmatan kesihatan, pembelajaran di sekolah, tidak dikenakan GST;

Kelima: Perkhidmatan pengangkutan seperti perkhidmatan bas, keretapi, LRT, teksi, feri, bot, tol lebuhraya serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan dikecualikan dari GST; dan

Keenam: Jual beli dan sewaan rumah kediaman serta perkhidmatan kewangan yang terpilih juga dikecualikan dari GST.

Tuan Yang di-Pertua,

109. Apabila GST dilaksanakan kelak, Kerajaan akan memberi pelbagai bantuan sokongan semasa peringkat peralihannya seperti berikut: 

Pertama: Bantuan tunai secara one-off sebanyak 300 ringgit kepada penerima isi rumah BR1M;

Kedua: Kadar cukai pendapatan individu akan dikurangkan satu hingga tiga mata peratusan untuk semua pembayar cukai bagi menambah pendapatan boleh guna. Dengan pelaksanaan langkah ini, seramai 300 ribu orang yang kini membayar cukai pendapatan tidak lagi perlu membayar cukai.

Umumnya, golongan berkeluarga yang berpendapatan empat ribu ringgit sebulan tidak lagi mempunyai tanggungan cukai. Pembayar cukai sedia ada yang lain juga akan menikmati penjimatan bayaran cukai; dan

Ketiga: Struktur cukai pendapatan individu akan disusun semula untuk menjadikan negara lebih kompetitif di samping mengekal dan menarik bakat serta tenaga mahir dalam negara. Bagi mempastikan struktur cukai lebih progresif, pendapatan bercukai pada kadar maksimum dinaikkan daripada melebihi 100 ribu ringgit kepada melebihi 400 ribu ringgit.

Kadar cukai maksimum kini 26 peratus pula dikurangkan kepada 24, 24.5 dan 25 peratus. Langkah-langkah tersebut akan berkuatkuasa mulai tahun 2015.

110. Dalam aspek ini, supaya syarikat perniagaan melaksanakan GST dengan lancar, Kerajaan mencadangkan pakej tambahan seperti berikut:

Pertama: Kadar cukai pendapatan syarikat dikurangkan satu mata peratusan daripada 25 peratus kepada 24 peratus. Manakala kadar cukai pendapatan syarikat kecil dan sederhana dikurangkan satu mata peratusan daripada 20 peratus kepada 19 peratus. Langkah ini berkuatkuasa mulai tahun taksiran 2016;

Kedua: Kadar cukai pendapatan koperasi dikurangkan satu hingga dua mata peratusan mulai tahun taksiran 2015;

Ketiga: Yuran kesetiausahaan dan pemfailan cukai dibenarkan potongan cukai mulai tahun taksiran 2015;

Keempat: Kos pembelian peralatan dan perisian ICT diberi lanjutan Elaun Modal Dipercepatkan sehingga tahun taksiran 2016;

Kelima: Perbelanjaan latihan perakaunan dan ICT berkaitan GST bagi tahun taksiran 2014 dan 2015 diberi potongan cukai tambahan; dan 

Keenam: Geran latihan sejumlah 100 juta ringgit kepada peniaga yang menghantar kakitangan, untuk menjalani latihan GST bagi tahun 2013 dan 2014. Di samping itu, bantuan kewangan sejumlah 150 juta ringgit disediakan kepada PKS bagi pembelian perisian perakaunan bagi tahun 2014 dan 2015.

111. Dengan pelbagai pakej istimewa yang disediakan ini, Kerajaan yakin, tiada pihak yang akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan sewenang-wenangnya. Harga barang akan sentiasa dipantau. Sebagai panduan kepada pengguna, Kerajaan akan menerbitkan risalah harga barang dan perkhidmatan yang boleh digunakan untuk membuat perbandingan harga.

112. Kepada pengguna pula, gunakanlah hak anda dalam membuat pilihan, berbelanja secara berhemah. Dalam hal ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan meningkatkan usaha penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

113. Selain itu, bagi memastikan kelancaran pelaksanaan GST, satu Jawatankuasa Pemantauan GST akan ditubuhkan yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan Kedua dengan dianggotai oleh agensi Kerajaan, wakil industri dan NGO.

No comments:

Post a Comment