GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, November 5, 2009

GST wajar pada tiga peratus


ARKIB : 04/11/2009


KUALA LUMPUR 3 Nov. – Cukai perkhidmatan dan barangan (GST) yang dicadangkan oleh kerajaan perlu diperkenalkan pada paras tiga peratus bagi membolehkan sektor perniagaan dan pengguna menyesuaikan diri masing-masing.

Pengarah Urusan TAXAND Malaysia Sdn. Bhd., Dr. Veerinderjeet Singh berkata, cukai jualan dan perkhidmatan sekarang masing-masing ditetapkan pada lima dan 10 peratus dan negara ini memerlukan GST dengan asas yang luas (broad-based).

Beliau menjelaskan, kerajaan sedang menjalankan kajian impak sosial dan keputusan tentang pelaksanaan GST akan dibuat pada Disember tahun ini.

“Kami menjangka cukai berkenaan dilaksanakan pada kadar rendah merentasi asas percukaian yang lebih besar bertujuan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan semasa yang mempunyai asas cukai terhad.

“Adalah penting untuk memberi tempoh antara 12 hingga 18 bulan kepada semua pihak untuk memahami dan menyediakan pelaksanaan GST,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada taklimat media mengenai Bajet 2010 anjuran bersama TAXAND dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI), di sini hari ini.

Ketika mengumumkan Bajet 2010 pada bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mengenakan kadar GST lebih rendah berbanding kadar sekarang sekira GST dilaksanakan.

Veerinderjeet berkata, kunci kejayaan GST ialah keberkesanan penguatkuasaan dan pentadbiran adalah amat penting.

Beliau menambah, bagi menggalakkan daya saing, insentif cukai yang tidak relevan atau tidak digunakan sepenuh mungkin dihentikan secara beransur-ansur.

“Cabaran sebenar kerajaan berlandas pada pelaksanaan dasar dan cara peruntukan bajet dibelanjakan bagi memastikan defisit bajet terus menurun tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi keseluruhan,” jelasnya.

Beliau juga berkata, kerajaan perlu memastikan sistem cukai di Malaysia adil dan mampu menjanakan perolehan untuk tujuan pembangunan.

Sementara itu, Presiden MICCI, Irene Dorner berkata, langkah-langkah kerajaan mewujudkan ekonomi inovatif dan berpendapatan tinggi dialu-alukan melalui usaha promosi industri pembinaan, mengukuhkan industri kecil dan sederhana, membangunkan teknologi hijau dan mempromosikan pembinaan bangunan hijau.

Menurut beliau, teknologi hijau berpotensi berkembang sebagai sektor penting dalam pembangunan ekonomi.
“Dengan harga minyak dan masalah kekurangan tenaga, dunia kini menuju ke arah tenaga sumber hijau bagi mengurangkan penggantungan terhadap minyak, pencemaran dan menangani isu yang disebabkan oleh perubahan iklim.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1104&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm#ixzz2WRbQTtva
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment